Opinion

Ke mana arah tuju PAS selepas isu Selangor dan Pengkalan Kubor?

Dua isu, kemelut menteri besar Selangor dan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, jelas sama sekali tidak memihak kepada parti Islam, PAS.

Dalam isu Selangor, tindakan menghina dan mengkritik secara terbuka parti rakan sekutu bukan suatu tindakan bijak, malah mengeruhkan hubungan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, apakah presiden PAS itu sendiri mempunyai tokoh kepimpinan sebagai seorang ahli politik yang boleh dicontohi?

Apakah dengan kekalahan Pengkalan Kubor, mereka boleh mendabik dada dan berbangga dengan diri sendiri mengatakan tanpa PKR dan DAP mereka mampu menang?

Perlu diingat, ini bukan kali pertama kekecohan melibatkan PAS, semasa Pilihan Raya Umum 2013 sendiri kita melihat bagaimana berlaku pertindihan kerusi antara PAS dan parti rakan.

Tindakan tidak bijak presiden PAS ketika itu menghina calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Kota Damansara dengan tuduhan tidak berasas.

Dalam isu di Selangor, perkara sama berlaku apabila dikatakan presiden PKR tidak mempunyai pengalaman dan beberapa kritikan tidak bijak lain.

Sungguhpun tidak bersetuju dengan presiden PKR, kritikan peribadi tidak dialu-alukan tatkala presiden PAS itu sendiri menjadi punca kepada kekalahan dua negeri di Terengganu dan Kedah.

Di sini persoalan timbul, apakah presiden PAS itu sendiri itu mempunyai kredibiliti untuk mengkritik parti lain?

Di mana kuah jika tidak tumpah ke nasi, kelantangan presiden PAS itu disambut pula oleh perwakilan di dalam Muktamar PAS di Johor. Pertemuan tersebut sepatutnya menjadi medan melihat kelemahan dan memperbaiki diri sendiri bertukar menjadi medan menghentam rakan.

Ini bukan satu lagi tindakan bijak, maka tidak hairan di Pengkalan Kubor tidak ada  kepimpinan utama PKR dan DAP yang datang membantu mereka.

PAS mungkin boleh memberi alasan atau berhelah menafikan kekalahan tersebut bukan berpunca daripada rakan DAP dan PKR.

Kemelut di Selangor juga nampaknya tidak menyebelahi mereka. Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang dahulunya  diperuntukan 4 berkurangan menjadi 3. Ia bukan isyarat baik kepada PAS yang sudah  melukakan rakan mereka, DAP dan PKR.

Kalau dahulunya parti Islam itu mula diterima bukan Melayu dan bukan Islam, imej tersebut serba sedikit menghakis kepercayaan mereka.

Pendedahan mengenai kenyataan perkauman seorang Ahli Jawatankuasa PAS sudah cukup menguris pengundi bukan Melayu.

Di Selangor, jika pilihan raya negeri diadakan semula, mustahil untuk PAS mendapat  kejayaan sama dengan memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sumber dalaman PAS menceritakan bagaimana pimpinan  atasan PAS Selangor mengeluh bimbang akan tewas teruk dan hilang kerusi jika pilihan raya diadakan semula.

Mungkin perkara ini tidak disedari oleh presiden PAS, sama seperti beliau tidak menyedari  krisis di Kedah suatu ketika dahulu, hingga akhirnya mereka tewas baru dapat menerima realiti.

Di sini kebijakan dan idea politik pimpinan PAS itu menjadi ukuran, apakah mereka menyedari PAS akan tewas jika pilihan raya negeri diadakan semula?

Rakyat memahami landasan perjuangan Islam dibawa PAS, tapi bukan politik secara ekstrem  sehingga rakan pun dilanggar mereka. Apakah bentuk politik yang cuba disampaikan di sini?

Ramai berharap kekalahan Pengkalan Kubor cukup menyedarkan PAS daripada mimpi-mimpi berkopiah diulit kenangan silam. Mungkin golongan ulama perlu disedarkan daripada realiti politik dan agamawi mereka.

Yang ke penjara melawan pemerintah adalah siswa dan aktivis anak muda, bukan ulama yang  kononnnya pejuang Islam ini. Mungkin selesa menegur dan menjadi ketua dalam agensi  kerajaan sehingga terlupa perjuangan rakyat di bawah ini.

Soalnya di sini, ke mana arah tuju PAS selepas ini?

Adakah PAS sedar dan akan memperbaiki hubungan dengan rakan mereka atau terus terbuai  dengan politik ala Umno di mana satu parti menjadi ketua kepada rakan dalam Barisan Nasional?

Atau PAS kekal bersama dalam PR di mana perbezaan pendapat dijadikan kekuatan dan bukan peluru untuk menyerang satu sama lain? – 27 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments