Opinion

Isma perlu cari buku sejarah sekolah menengah

Musim ini adalah musim Isma, atau nama panjangnya Ikatan Muslimin Malaysia.

Pertubuhan ini mengakui mereka menyuarakan suara majoriti Muslim di Malaysia dengan hanya 20 ribu ahli, tapi Isma terlupa rakyat Malaysia mempunyai 30 juta penduduk.

Anda lakukan kira-kira Matematik, berapa peratus ahli pertubuhan tersebut jika dibandingkan keseluruhan rakyat Malaysia yang membentuk negara majmuk ini.

Adakah mereka majoriti? Sekali lagi rakyat boleh pertimbangkan sebaik mungkin, rakyat boleh berfikir.

Sebelum itu, adakah Isma mempunyai wakil didalam Dewan Rakyat yang terpilih dalam pilihan raya umum ke-13 lalu? Daripada 222 Ahli Parlimen yang dipilih majoriti rakyat Malaysia, Isma tidak mewakili satu pun suara majoriti rakyat Malaysia.

Mereka wajar berterima kasih kepada sistem demokrasi yang dirayakan menerusi kenyataan cetek dan atas dasar sejarah ciptaan mereka sendiri, menuduh bukan Melayu sebagai penceroboh dan mengganggap bukan Islam sebagai musuh.

Terima kasih kepada demokrasi dan transformasi perdana menteri, kalau tidak keberanian anda akan berakhir ditarbiah dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kalau ini terjadi apa berlaku? Sama seperti presiden Perkasa, melaungkan semangat kaum sehinggalah kemudiaannya dilantik Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bezanya Isma dengan Perkasa, satu bijak mencatur politik manakala Isma bukan parti politik.

Saya tidak pernah dengar mengenai Isma. Sejak kali pertama saya terdedah kepada dunia politik negara pada 1998, semasa PRU13 lalu baru saya mengetahui mereka.

Sekali lagi, terima kasih kepada demokrasi kerana memberikan Isma keberanian tidak kecut menjadi pembela agama.

Saya tidak pernah ada masalah dengan rakyat Malaysia kaum lain, Cina atau India, Kristian atau Buddha, malah saya tidak terasa ada ancaman daripada rakan-rakan bukan sebangsa lain.

Untuk pengetahuan Isma, setiap ketika saya terasa nak ke masid saya masih bebas untuk ke masjid tanpa ada sekatan.

Walaupun masjid di Bangsar, dikelilingi kelab dan bar, saya masih boleh berjalan melintasi warung bukan alkohol dan tidak halal untuk ke masjid di Bangsar.

Saya tidak rasa agama saya terancam. Apa justifikasi Isma mengatakan Islam terancam, saya semakin bingung.

Mengatakan Cina adalah penceroboh atau apa saja tanggapan anda di sebelah Isma, saya lihat ramai anak Melayu yang bekerja dengan Cina.

Malah, adik saya bekerja dengan syarikat majoriti Cina. Adik saya masih makan tengahari bersama walaupun ada hidangan tidak halal memandangkan sebelah warung adalah peniaga halal.

Kalau peniaga halal dan haram boleh berniaga bersebelahan, jadi apakah salahnya untuk kita hidup berjiran dan aman damai bersama?

Mungkin Isma tidak pernah ada rakan bukan Melayu, atau mungkin mereka tidak berjalan melintasi pub dan bar sebelum ke masjid di Bangsar.

Kehadiran kaum Cina dan India ke Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu atas niat berdagang, mengatakan British membawa masuk mereka saya anggap tidak tepat sama sekali.

Adakah Isma terlupa membaca sejarah Melaka semasa sekolah menengah?

Syor saya, singgah sebentar di Borders atau Kinokuniya di KLCC untuk membeli buku sejarah sekolah menengah supaya jelas pendirian dan tidak mengeluarkan sejarah yang ditulis sendiri berdasarkan kitab Isma. – 13 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments