Opinion

Percayakah anda dengan undi tidak percaya?

Efek Rumah Kaca, sebuah band indie celik politik berpengkalan di Jakarta pernah tampil sebuah lagu berjudul “Mosi Tidak Percaya” sekitar 2009. Antara kata-kata yang didendangkan Cholil, vokalis kumpulan tersebut berbunyi:

“Kamu tak berubah, selalu mencari celah; lalu smakin parah, tak ada jalan tengah” serta “Ini mosi tidak percaya, jangan anggap kami tak berdaya; ini mosi tidak percaya, kami tak mau lagi diperdaya.”

Sesuai sekali lagu ini dengan mood semasa, kurang 3 selepas kita menyambut ulang tahun peristiwa hartal ke-68; aksi siasah pertama dalam sejarah tanah air yang dicetuskan juga perkumpulan multiras pertama di tanah air, 10 tahun sebelum merdeka.

Hartal antara lain adalah aksi massa terhadap British yang ketika itu mengemukakan rangka kasar perencanaannya untuk terus bertuan di tanah Malaya. Hartal adalah aksi siasah umat Malaya bagi menunjukkan jari tengah kepada penguasa orang putih dan dengan cemerlang menyatakan kepada mereka, ‘Pergilah jahanam, kami mahu merdeka’.

Pendeknya, aksi hartal adalah mosi tidak percaya rakyat Malaya terhadap penguasa pada ketika itu, di saat tanah air belum kenal apa erti demokrasi berparlimen.

68 tahun kemudian, ternyata rakyat tanah air ini masih belum boleh dibeli kepercayaannya. Ini pula dimanifestasi dengan turunnya mereka ke jalan raya, tanggal 29 hingga 30 Ogos lalu menuntut supaya perdana menteri berundur bagi membolehkan siasatan terhadap skandal melibatkannya berjalan secara telus, tanpa ganggu-gugat.

Setiap mereka yang hadir pada dua hari ambang merdeka itu sudah sebulat suara bersetuju  mereka tiada lagi percaya kepada kepimpinan suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Najib Razak sebagai kepala cabang eksekutif negara.

Kemudian, kita saksikan gerombolan baju merah beria turut sama berhimpun bagi menunjukkan taat setia mereka kepada sang penguasa.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kemudiannya tidak terus berdiam diri, malah memulakan pula kempen undi tidak percaya terhadap perdana menteri. Ini lantaran setiap satu tuntutannya tidak dipeduli, termasuklah supaya sang penguasa mendedahkan butiran akaun peribadinya yang didakwa menerima sejumlah wang dari Timur Tengah untuk tujuan yang belum dikenal pasti.

Ramai orang bertanya, kalau dibuat kempen undi tidak percaya terhadap perdana menteri, siapakah yang nak kena ganti? Apakah perancangan untuk menyambut vakum yang ditinggalkan se jawatan perdana menteri dikosongkan?

Jawapannya panjang. Namun sebagai permulaan, kita harus faham undi tidak percaya di Parlimen hanyalah pernyataan hilang keyakinan majoriti wakil rakyat kepada ketua kerajaan.

Sang perdana menteri kemudiannya harus secara terhormat mengemukakan peletakan jawatannya bersama anggota Kabinetnya sekali kepada Yang di-Pertuan Agong, dan menasihati baginda supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Ini merupakan jalan yang betul untuk menukar kerajaan. Bukan dengan mengemukakan undi tidak percaya, kemudian menggunakan pintu belakang istana negara bagi meyakinkan Agong, kumpulan yang memiliki bilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Kita pastinya tidak mahu mengulangi tragedi rampasan kuasa negeri Perak pada 2009.

Namun selepas menyaksikan silat kuntau Parlimen sepanjang minggu ini seputar usul undi tidak percaya itu, percayakah kita dengan undi tidak percaya? Apatah lagi selepas speaker Dewan Rakyat sendiri beberapa ketika lalu menyatakan Parlimen Malaysia tidak mempunyai prosedur dalam aturan mesyuarat untuk menguruskan usul undi tidak percaya.

Pun begitu, awal minggu ini kita diberitahu usul tersebut dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Hee Loy Sian, dan diletakkan pada aturan ke-25 dalam aturan mesyuarat.

Usul ini begitu bersejarah sekali. Orang kampung perlu diberitahu Najib adalah perdana menteri pertama dalam sejarah yang mempunyai usul tidak percaya terhadapnya, menunggu untuk dibahaskan dan seterusnya diundi.

Ini amat memalukan, terutamanya orang tua itu baru sahaja beberapa ketika lalu pulang dari Amerika Syarikat untuk menyakinkan pelabur yang beliau tidak berhadapan sebarang masalah di tanah air.

Nah, bukan sahaja ada usul tidak percaya terhadapnya; wujud juga ahli Parlimen Barisan Nasional yang memberi saranan supaya gagalkan sahaja belanjawan yang bakal dibentang petang nanti.

Menggagalkan usul perbekalan atau disebut belanjawan, samalah nilainya dengan menidakkan kepercayaan Dewan terhadap ketua kerajaan. Demikian amalan sistem Parlimen Westminster.

Permainan undi-mengundi di Parlimen melibatkan 222 wakil rakyat pastinya berbeza dengan permainan aksi massa jutaan rakyat di luar sana yang sudah letih dengan permainan politik pemerintah. Kalau diikutkan hati kita, pastinya kita minta supaya jawatan menteri perdana itu kita pilih sendiri agar mudah dilengser barangsiapa yang tidak berkenan di hati.

Kerana sebenarnya soal percaya bukan ditentukan dengan undi belah bahagi. Tetapi sebenarnya angka yang diterjemahkan di peti undi. Tak sabar kan tunggu pilihan raya? – 23 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments