Opinion

Lompat si katak lompat

Dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang hujung minggu lalu, saya dan beberapa teman tersekat dalam suatu kesesakan di lebuh raya. Antara sebabnya ialah sebuah kereta di laluan kanan enggan menukar laluan, kerana barang kali ia yakin sedang memecut laju. Padahal dia memandu perlahan.

Maka dia kekal di laluan memotong hampir sejam dan menyebabkan ramai pemandu terpaksa mengikut.

Perlahan-lahan satu demi satu kereta mula memotong kenderaan tersebut dari laluan kiri. Dan apabila sampai giliran kami memotongnya, barulah ia memberi isyarat dan beralih ke laluan kelajuan biasa. Lalu saya pantas bersuara;

“Finally, what were you waiting for all this while? Apa yang kau tunggu?” lantas beralih kepada rakan saya yang sedang memandu lalu berkata kepadanya, “That car is like Saifuddin Abdullah,” sambil disambut hilai tawanya.

Persoalan “apa yang kau tunggu” ini terpakai kepada ramai orang, tidak terhad kepada bekas ahli Parlimen Temerloh itu sahaja yang beberapa ketika lalu akhirnya mengumumkan keluar daripada Umno untuk menyertai PKR.

Ramai sebenarnya yang  beralih haluan akhir-akhir ini, termasuklah sebilangan besar pemimpin progresif PAS yang berkesudahan menubuhkan parti baru selepas menemukan jalan buntu dalam parti Islam itu yang akhirnya dikuasai “geng ulama”.

Tetapi itu tidak menarik. Yang menarik ialah apabila pemuka-pemuka Umno akhirnya beralih arah dan mengakui salah silap sang pemimpin ulungnya. Bukan pula pemuka Umno biasa-biasa, bahkan timbalan presiden dan bekas presidennya sendiri. Dunia sudah betul-betul terbalik; langit dan bumi sudah hampir-hampir bertemu.

Bersediakah kita untuk ampunkan Dr Mahathir?

Dalam banyak-banyak suara melawan perdana menteri merangkap presiden Umno, barangkali tidak ada suara lebih lantang berbanding suara mantan perdana menteri merangkap mantan presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir hatta terpaksa membawa dirinya turun ke jalan raya pada kedua-dua hari perhimpunan Bersih 4, bagi menunjukkan rasa meluat yang teramat sangat terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak seraya mengakui hanya demonstrasi jalanan menjadi ikhtiar terakhir untuk menumbangkan orang yang diaturnya untuk menjadi perdana menteri itu.

Entah berapa gelen air ludah sendiri sudah dijilat kering Dr Mahathir. Tinggal beliau belum menggesa pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim saja lagi.

Tetapi adakah langkah Dr Mahathir mampir ke perkumpulan rakyat yang mahu melengser Najib menjadikan dosa-dosanya terhadap negara terampun begitu sahaja? Adakah rakyat yang gigih mahu mengambil gambar bersamanya di perhimpunan Bersih 4 juga sedia mengampunkan salah silapnya itu?

Lagipun bukankah Dr Mahathir yang menyumbat Anwar ke penjara dan mengerahkan sepak terajang ke atas demonstran reformasi pada 1998?

Adakah setiap bekas pemuka Umno yang beralih arah lalu bersekutu dengan perkumpulan anti-kerajaan secara otomatis disucikan daripada segala nista dan salah laku? Termasuk Dr Mahathir sekiranya beliau membuat keputusan itu?

Adakah para demonstran yang sekian lama melaungkan perubahan dan menanggung parut sepak terajang jalanan akan menghela nafas lega sekiranya setiap pemuka Umno boleh sahaja melompat memihak mereka lantas menukar baju dan pendirian?

Adakah kita akan bersorak gembira sekiranya dengan satu keajaiban Dr Mahathir bertindak “membebaskan” Anwar lalu menjulang tangannya di satu pentas ceramah menghamun pentadbiran Najib?

Barangkali katak yang suka melompat itu bukanlah sebarang katak. Tapi katak yang betul-betul educated. Katak yang sebenar-benarnya haiwan politik. – 30 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments