Opinion

Kekeliruan Melayu tentang pemimpin dan ahli politik

Ramai antara kita orang Melayu yang tidak secara langsung bergulat dalam politik dan kepimpinan bangsa menyebabkan kita sering kehilangan arah apabila mereka yang kita lihat sebagai tokoh sudah tiada atau hilang ketokohannya.

Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim disumbat ke penjara dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia, ramai orang Melayu langsung keliru dan yang mendiamkan diri  dalam parti yang disokong.

Kelompok Melayu dalam 2 parti ini PAS dan PKR  kelihatan masih tercari mata anginnya, hingga mengakibatkan struktur parti terpecah-pecah malah sehinggakan terpaksa sekumpulan daripada PAS menyelumbar dan membikin parti baharu.

Malah PAS sendiri sudah selesa berpelukan dengan "pengkhianat" paling besar yang kini menjadi ikon pertubuhan ultra Melayu, Perkasa. Lupa habis segala kutukan dan penghinaan yang dihamburkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali selama ini.

Justeru, bukan sahaja Umno yang sedang dirundung masalah kepimpinan, PAS dan PKR juga begitu. Ada lompang dalam kalangan tokoh Melayu, yang ternyata sedang cuba diisi oleh tokoh veteran Tun Dr Mahathir Mohamad bersama penyokongnya dalam sidang media tempoh hari.

Cubaan tersebut belum berjaya, memandangkan ramai lagi masih belum lupa yang Dr Mahathir punca segala kekalutan yang sedang melanda negara.

Reaksi hilang punca orang Melayu sejak kehilangan tokoh pemimpinnya begitu bersangatan, hingga ramai yang tidak berasa dikerahkan ke perhimpunan aman Bersih 4 hujung Ogos lalu. Bagai pahat dengan penukul, tak ketuk, tak makan. Demikian kesimpulan yang kami capai dalam satu sesi sembang kencang seminggu lalu.

Orang Melayu memerlukan tokoh supaya boleh menjadi ikutan, tauladan dan sumber pengerah semangat dan faktor perpaduan.

Sehinggakan pemimpin Umno kesayangan ramai, Datuk Saifuddin Abdullah juga nampaknya seakan mencuba nasib untuk mengisi kekosongan jawatan "mursyidul am umat Melayu" ini dengan meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.

Saya pesimis sekali dengan usaha banyak orang untuk mengisi kelompangan dan ruang yang ditinggalkan oleh tokoh terdahulu dan tidak mampu diisi oleh presiden Umno sekarang, yang kononnya pemimpin de facto orang Melayu.

Namun sebenarnya apa yang diperlukan oleh orang Melayu? Tokoh pemimpin atau tokoh politik?

Peristiwa Rengasdengklok

Saya suka menceritakan tentang peristiwa Rengasdengklok kepada sesiapa yang sudi mendengar, apabila bercakap mengenai  ciri-ciri tokoh pemimpin.

Membaca sejarah kemerdekaan Indonesia, kita dipertemukan dengan peristiwa penculikan Sukarno oleh sekumpulan pemuda Menteng 31 kini disebut orang sebagai "Peristiwa Rengasdengklok".

Peristiwa ini penting kerana manifestasi gelora semangat anak muda Indonesia yang begitu agresif menuntut proklamasi Merdeka buat Indonesia, cuma 2 hari selepas tentera Jepun menyerah kalah.

Mereka mengancam Bung Karno dengan berkata “Kalau Bung Karno tidak mau mengumumkan proklamasi, di Jakarta esok akan terjadi pertumpahan darah.”

Tokoh pemimpin Indonesia ini menjawab gertakan itu dengan berkata, “Ini batang leherku. Potonglah leherku malam ini juga.”

 Hatta sampai menjelang akhir hayatnya pun Bung Karno tetap teguh dalam mempertahankan pendiriannya. “Aku tidak mau digoyang-goyang,” katanya.

"Tidak mudah goyang" adalah ciri pemimpin yang baik. Malangnya, spesis pemimpin ini hanya mampu kita ketemukan pada saat awal bergulat mendapatkan kemerdekaan.

Pada ketika itu, orang Melayu hilang punca dengan begitu bersangatan. Tidak aneh kenapa Malaya mengambil masa lebih 10 tahun untuk merdeka meski sudah punya kesedaran ketika dijajah Jepun.

Malang sekali yang ada di depan mata kita sekarang bukanlah pemimpin. Sebaliknya sekadar pemuka kaum pemodal berkapital kebergantungan orang ramai yang mengharapkan kehidupan lebih baik.

Jadi sekarang mari kita bertanya, kita akan terpaksa menghunus pisau ke leher siapa demi memaksakan kesanggupan untuk menggalas tugas berat mengisi vakum kepimpinan negara, bukan sahaja untuk membela nasib satu kaum sahaja, tetapi demi membela masa depan anak bangsa Malaysia, tanpa mengira nasab keturunan, kaum, agama dan budaya? – 16 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments