Opinion

Hanya satu kata, lawan!

Hari ini di tanah Inggeris, bumi lambang kuasa baginda ratu, rakyat jelatanya sedang meraikan Bonfire Day; hari memperingati panjang umur monarkinya yang gagal dijadikan korban sebuah konspirasi jahat segerombolan pelampau agama yang bersiap untuk meletupkan bangunan Parlimen 5 November 1605.

Lebih 400 tahun setelah konspirasi tersebut ditewaskan, wajah Guy Fawkes yang tersenyum riang kini menjadi simbol pemberontakan anak muda terhadap sistem yang menekan dan menindas.

Guy Fawkes meski sekadar pengawal bahan peledak yang kantoi diberkas aparat keamanan raja Inggeris, diabadikan kenangannya sebagai sebuah idea yang dibunuh tak mati dan menjadi simbol lestarinya perlawanan antara kelas pemerintah dan yang diperintah.

Idea perlawanan terhadap pemerintahan yang mengesampingkan kepentingan ramai demi mengutamakan kepentingan sebahagian golongan tertentu adalah idea universal yang kita saksikan kesannya di banyak tempat seluruh dunia.

Perlawanan membuahkan natijah kehancuran, dan dari setiap kehancuran pula terbina kembali suatu sistem peradaban; yang mungkin nanti pun berdepan nasib serupa - dihancurkan bagi memberi laluan kepada jalan yang lebih sesuai dengan semangat zaman.

Dalam istilah gerakan Islam ini disebut ‘inqilabiyah’. Mudahnya difaham sebagai “revolusi” namun lebih puitis disebut sebagai “bangkit dari puing runtuhan”. Seperti phoenix bangkit dari abu.

Di Malaysia hari ini, kita berdepan pilihan- sama ada merelakan pembodohan, atau bangkit melawan kezaliman.

Sukar sekali apabila negara dan kerajaan, pentadbiran dan parti politik pemerintah, berjaya diajarkan kepada semua sebagai 1 entiti yang sama.

Sehingga melawan Umno justeru melawan jentera kerajaan seluruhnya; melawan kerajaan ertinya menggugat Melayu dan menggugat Melayu ertinya mencabar kedaulatan raja-raja.

Ini aneh sekali.

Di banyak negara berbilang kaum didominasi warga kulit putih contohnya, tidak kita dengar idea melawan kerajaan diertikan sebagai melawan kaum kulit putih.

Bahkan mereka yang menjaja idea sedemikian dipandang hina dan tidak berpendidikan; disifatkan sebagai kampungan, yang kerjanya minum arak, berburu itik dan mengamalkan sumbang mahram.

Melawan kerajaan, secara undang-undang, adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang membolehkan sesuatu entiti diberikan mandat bekerja, dan boleh juga dibatalkan mandatnya itu dan diberikan kepada yang lain.

Gerombolan yang melawan kerajaan, dilabel “pembangkang” dalam negara kita, lagak kerjanya sekadar melawan apa sahaja yang dicadangkan kerajaan. Seperti pertandingan debat budak-budak sekolah.

Kita pun tewas dengan propaganda ini, kerana kita juga didoktrinkan perbahasan di parlimen adalah perlawanan kalah-mati antara pihak kerajaan yang mencadang, dan pihak lawannya yang membangkang.

Ini antara jalan mudah bagaimana kita terus ditipu dan dibodohkan supaya terus akur dan tewas diperintah entiti yang kononnya tidak boleh dicabar dan ditewaskan.

Manakala yang melawan pula dilabel pengkhianat, bukan sahaja kepada parti pemerintah tetapi kepada kaum, keturunan dan sanak saudara.

Benda mengarut seperti ini mesti berhenti.

Hanya satu kata, lawan!

Pada ulangtahun ke-410 peristiwa tertewasnya Guy Fawkes melawan tirani dengan timbunan letupan di bawah kolong Parlimen Inggeris, kita seharusnya menggali penngajaran daripada sejarah dan menetapkan hati sekiranya benar kita sayang akan bangsa, kita mesti mengambil pendirian dan melawan.

Melawan tirani adalah kewajipan, bukan lagi pilihan. Ini benar sekali di saat leher dicekik saban hari dengan cukai demi cukai bahkan semakin meningkat kadarnya, selain kenaikan harga tol dan pembatalan subsidi yang berangkai.

Apatah lagi setelah dicekik begitu, bersuara juga tidak diberi lalu. Takkanlah kita rela dikembiri penguasa seolah kita ini kambing dan kawanan lembu?

Jangan kita pernah lupa tulisan penyair Indonesia di saat marak api Reformasi di seberang Selat Melaka, “Apabila usul ditolak tanpa ditimbang, suara dibungkam kritik dilarang tanpa alasan
, dituduh subversif dan mengganggu keamanan, maka hanya ada satu kata: lawan!” – 6 November, 2015.

*Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments