Opinion

Gaji, dari bank kau datang, kepada bank kau kembali

Marilah saya berlaku jujur.

Saya sesungguhnya tidak tahu apa yang patut ditulis untuk kolum minggu ini. Ada terlalu banyak perkara yang ingin saya katakan, dan satu kolum sahaja tidak akan cukup untuk memuatkan segala pendapat dan kritik yang mahu saya luahkan.

Senarai panjang keresahan yang terbuku di hati ini pastinya dikongsi bersama ramai lagi rakyat Malaysia yang saban hari terpaksa mengharungi kehidupan dengan seribu macam keresahan, terutamanya yang melibatkan masalah kewangan.

Kita tahu kehidupan kita penuh dengan masalah.

Apa yang lebih celaka ialah masalah yang menghurung kehidupan kita bukanlah berpunca daripada kita sendiri, malah sebenarnya berakar daripada sebuah sistem yang berpenyakit.

Dan penyakit itu namanya Umno.

Mungkin sahaja tidak adil untuk kita sentiasa menyalahkan Umno bagi setiap satu masalah yang memburukkan kehidupan.

Tetapi mari kita cuba menganalisa satu demi satu masalah itu, dan gali sehingga kita ketemukan apa punca sebenarnya.

Kita mulakan dengan acara mandi pagi. Masuk ke tandas dan menyedari bekalan air terputus, siapakah yang kita salahkan? Kita bukan pembekal air, kita juga bukan yang menurunkan hujan, malah kita sentiasa sahaja patuh membayar bil air.

Jadi siapa yang kita persalahkan bila bekalan air putus? Atau lebih teruk lagi, siapa yang kita salahkan apabila bekalan air langsung tak ada, atau dicemari sisa bauksit?

Selesai urusan di bilir air (kalau ada bilik air) kita berhadapan pula urusan sarapan pagi. Namun disebabkan kita bangun awal pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas, kita memutuskan untuk tidak sarapan. Mungkin beli roti di stesen minyak saja. Yang membawa kita kepada permasalahan seterusnya.

Tiba di stesen minyak, kita mendapati harga minyak naik lagi tengah malam semalam, tanpa sebarang makluman daripada kerajaan.

Anehnya, harga minyak mentah dunia sedang menjunam jatuh. Kita pun bertanya lagi, masalah harga minyak naik turun tak menentu ni salah siapa? Bukankah Malaysia sebuah negara pengeluar minyak? Siapa yang tempoh hari menarik balik subsidi petrol?

Dengan hati yang berat, kita isilah minyak kereta untuk memandu ke tempat kerja.

Pastinya kita tinggal jauh dari tempat kerja. Ini kerana kita tidak mampu menyewa atau membeli rumah di kawasan hampir dengan tempat kerja, pastinya kerana nilai hartanah di kawasan tersebut mahal belaka.

Jadi kita memilih untuk tinggal di Seri Kembangan (contohnya) dan terpaksa memandu sedikit jauh untuk ke tempat kerja di Petaling Jaya (contohnya juga).

Kita temukan lagi masalah negara sambil memandu ke tempat kerja.

Kita terfikir, alangkah baiknya jika pengangkutan awam cemerlang khidmatnya, strategik lokasi hentiannya; supaya kita tak payah bersesak-sesak awal-awal pagi di jalan raya. Siapa yang uruskan pengangkutan awam? Siapa yang tentukan di mana lokasi hentian keretapi dan siapa yang uruskan turun naik tambangnya?

Buntu dalam kesesakan jalanraya, kita memilih untuk patah balik dan mencari jalan alternatif.

Tanpa banyak pilihan, kita memilih untuk menggunakan lebuh raya bertol. Lebuhraya memang tujuannya untuk memudahkan aliran trafik, dan mempercepat perjalanan.

Malang bagi kita, kadar tol juga kian meningkat. Pun begitu, lebuh raya sesak berganda, kerana semua orang beratur membayar tol. Namun kita terpaksa relakan, kerana sudah lewat ke tempat kerja.

Melaju ke waktu makan tengah hari. Kita dapati harga sepinggan nasi, ayam goreng dan sayur sudah tidak seperti sebulan yang lalu.

Malah harga ayam goreng ada yang mencecah RM7 seketul. Saiznya juga bukanlah besar mana.

Kita kemudian bertanya, kenapa pekedai ini menaikkan harga jualannya? Takkanlah kerana terkesan GST, harga makanan boleh begitu menggila melambung tinggi? Siapa yang bikin GST ni?

Pulang dari makan tengah hari, akauntan pejabat beritahu gaji sudah siap dimasukkan ke akaun bank. Untuk 30 saat pertama, kita tersenyum riang.

Kemudian perlahan-lahan dan dengan hati yang berat kita buka laman web online-banking.

Sambil menyeka air mata kita saksikan jumlah gaji kian mengecil. Bayar bil elektrik yang semakin mahal, bil internet yang sekejap laju sekejap perlahan meski harganya mahal, bayar sewa rumah, bayar pinjaman kereta, bayar pinjaman PTPTN, bayar pinjaman peribadi dan sebagainya.

Kita bertanya lagi, bil elektrik tinggi ini siapa yang tentukan? Internet yang macam haram kelajuannya itu pula, siapa pengusahanya? Pinjaman pendidikan dengan bunga berganda ini, siapa yang tukang mula?

Selesai waktu kerja, dengan berat hati kita meranduk kesesakan jalan yang lain untuk pulang ke rumah.

Kita tidak makan malam, kerana kita makan malam selang sehari. Ya lah, perlu berjimat.

Kalau tidak mahu berjimat, janganlah tinggal di bandar. Balik kampung, ternak ayam itik sendiri. Usahakan bendang sendiri. Tidak perlu bersesak bayar tol, tidak perlu bayar bil air. Kaut sahaja air dari perigi.

Sambil memejamkan mata dan menangis ke dalam bantal, kita mula menyumpah keadaan.

Dan sambil mulut terkumat kamit menyebut ‘gaji, dari bank kau datang, kepada bank kau kembali’ kita mula menyalahkan entiti tunggal punca semua ini.

Kalau entiti itu bukan Umno namanya, siapa lagi? – 18 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments