Opinion

BTN, rasisme dan wayang

Satu komen dalam rencana lepas saya bertanya sama ada Biro Tata Negara (BTN) memainkan peranan dalam memupuk golongan yang saya labelkan sampah minggu lepas. Yakah begitu?

Untuk kepastian, bagus juga saya menulis tentang pengalaman saya sendiri dalam program tersebut.

Ramai mungkin sudah tahu saya graduan UiTM, masuk 2002 sampailah 2005. Waktu itu, UiTM bermacam-macam jadi, sampaikan satu memori saya ialah kolej lelaki menang pertandingan tarian padang pasir.

Dan teringat program BTN di mana kita semua dibawa ke satu kem, semua telefon bimbit (belum lagi telefon pintar masa itu) dirampas.

Di kem tersebut, kami dididik dengan apa yang kononnya dikatakan "perkembangan politik semasa". Kononnya, disebabkan Melayu berpecah-belah, terpaksalah kerajaan Umno bergantung kepada bangsa Cina yakni MCA untuk terus kekal sebagai kerajaan.

Ini dikatakan pihak pengajar sebagai satu yang "memalukan", malah kerajaan terpaksa akur dengan penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan juga terpaksa memberi lebih wang kepada sekolah Cina.

Kedua-dua ini juga dikatakan perbuatan yang "memalukan".

Memanglah timbul soal dalam kepala kenapa benda ini memalukan. Malah, saya pun berdarah kacukan, tapi memang kelihatan masa itu bukanlah masa hendak membangkitkan soal tersebut.

Tenaga pengajar juga menyuruh kita sebagai pelajar menghafal dan menghayati lagu "Warisan". Saya tidak berfikir banyak tentang isu ini sehinggalah Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang membangkitkan memori ini, menyanyi sambil menangis-nangis di PWTC.

Selain kelas dan ingatan sebegini, tiadalah benda lain yang kontroversi sangat. Semuanya seperti dalam sesi "team building" yang dilakukan sektor korporat saja.

Jadi, kalau hendak katakan BTN membuatkan saya ini rasis, tidak. Adakah ia boleh menimbulkan semangat perkauman antara mereka yang hadir?

Mungkin juga, jika mereka tidak bergaul dengan bangsa lain. Jika mereka telan bulat-bulat segala kuliah pihak BTN tersebut.

Adakah ia membuatkan saya mempersoalkan kenapa sesi sebegini perlu?

Memanglah perlu disoal, dan macam-macam lagi persoalan perlu dibangkitkan.

Apa sebenarnya objektif biro kerajaan persekutuan ini?

Kalau setakat hendak beritahu pelajar Melayu supaya jangan jual negara, saya rasa semua menteri Umno yang patut menghadiri kem tersebut. Kalau ikut logik daripada lirik lagu "Warisan" mengatakan bumi dipijak milik orang, maka timbullah persoalan siapa yang menjual tanah sampai menjadi milik orang.

Kalau anak kecil bermain api sampai terbakar hatinya yang sepi, sampai keluar air mata darah bercampur keringat, siapa yang abaikan mereka sampai begitu?

Bukankah suspek yang dituduh bersalah dalam menjual negara kita adalah pihak yang berkuasa sejak saya diajar lagu tersebut pada 2002 sampaikan masih lagi berkuasa sekarang?

Malah, bukankah mereka masih lagi dalam proses penjualan negara kita sekarang pun melalui Perjanjian Perkongsian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA)?

Bukankah orang Melayu sendiri yang terseksa dengan pendapatan yang kurang dan polisi gaji minima tidak masuk akal, yang dilakukan pemimpin Melayu sendiri?

Bukankah orang Melayu sendiri yang songlap duit untuk membantu mangsa banjir di Kelantan?

Bukankah pemimpin Melayu sendiri yang sedang bertelagah tentang isu 1Malaysia Development Bhd, satu syarikat yang kononnya hendak dirasionalisasikan pada hujung tahun?

Setiap tahun diwartakan ketirisan kerajaan dalam Laporan Ketua Audit Negara, dan setiap tahun langsung tiada sebarang berita tentang tindakan diambil terhadap isu ini. Ini juga hasil kerajaan yang pro Melayu.

Saya rasa ia amat jelas kalau hendak ikutkan modul BTN macam mana pun, kerajaan yang ada sekarang ini bukanlah kerajaan yang saya disuruh sokong membuta tuli 13 tahun dulu semata-mata kerana kita sebangsa.

Idea ini sudah lapuk dan remaja, penuntut universiti sekarang tidak lagi kalut tanpa akses ke media sosial yang berbagai untuk mendapat dan berkongsi maklumat.

Pada masa sama, modul BTN juga sudah ketinggalan zaman sampai mencari kambing hitam membuta tuli sampaikan "Buku Jalanan" dijadikan perosak.

Macam-macam dijadikan "wayang" untuk Melayu tidak pandang dalang dalam porak perandanya Malaysia, perempuan tidak pakai tudung dibandingkan dengan tudung saji, perempuan hisap vape, LGBT, pesta muzik, artis Korea peluk peminat, makanan halal tiba-tiba dikatakan haram, artis Melayu mengamuk, tangkap basah – ini semuanya wayang sampingan semata-mata.

Mengapa?

Sebab Melayu suka drama. Kalau tiada drama, mereka buat drama sendiri kadang-kadang boleh buat cerita Hindustan 3 jam. Dan malangnya, bukan saja Melayu tetapi ramai rakyat Malaysia pelbagai bangsa terlebih sibuk dengan wayang dan sandiwara yang tertera di akhbar mengenai politik, sampaikan jarang terfikir tentang rasionalnya sesuatu keputusan.

Dengan kata lain, dah buta sokong geng sendiri sampai betul atau salah tidak diendahkan langsung. BTN kata perkataan "pendatang" tidak salah kalau digunakan untuk kaum Cina dan India walaupun dah berkurun menetap di sini berbanding Melayu yang berimigrasi ke sini dari Indonesia?

Logik?

Memanglah tidak, malah saya juga hasil migrasi Indonesia.

Sama juga kalau DAP tiba-tiba membawa masuk 3 Melayu menjadi ahli majlis mereka di Selangor tapi ia "tiada kena-mengena tentang kaum". Samalah logiknya dengan BTN itu.

Tapi inilah wayang dan sandiwara kita semua hadapi yang sebenarnya jangan dilayan, jangan diendahkan. Kita sendiri tahu apa sebenarnya mereka lakukan adalah wayang menagih simpati dan kemarahan rakyat Malaysia untuk berpecah belah, dan saya sendiri berharap mereka tidak berjaya. – 11 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments