Opinion

Warkah untuk Melayu, pucuk pimpinan yang mati

Keunggulan sesuatu masyarakat itu boleh difahami dengan melihat kepada pucuk pimpinan mereka. Tidak ada masyarakat akan menerima pucuk pimpinan yang korup dan tidak efektif jika masyarakat itu benar-benar berwibawa.

Ini tidak bermakna sesuatu kumpulan etnik atau budaya memerlukan ketua (ethnic or cultural leadership). Banyak kumpulan etnik atau budaya berfungsi dengan tiada pucuk pimpinan sebegitu dan rela membenarkan pimpinan politik mereka di tangan ketua daripada etnik atau budaya lain.

Di United Kingdom umpamanya, masyarakat-masyarakat imigran memberi kepercayaan mereka kepada parti-parti yang mempunyai pemimpin Inggeris secara etnik. Namun, di Malaysia, kita sudah biasa dengan politik bercorak etnik. Pucuk pimpinan politik Melayu semestinya orang Melayu juga buat masa sekarang.

Tahun ini, sudah 70 tahun Umno menguasai pucuk pimpinan Melayu. Sejak 1946 apabila Umno dibentuk untuk menentang Malayan Union dan mengembalikan kuasa kepada raja-raja Melayu, Umno berada di menara kepimpinan Melayu.

Kita diberitahu Malaya memerlukan format kepimpinan di mana tiap-tiap bangsa memerlukan kepimpinan masing-masing. Implikasi format ini hanyalah satu, iaitu kita kurang mempercayai seseorang itu jika dia berasal daripada etnik atau budaya lain.

Kononnya, orang daripada etnik atau budaya kita lebih wajar dipercayai. Mentaliti inilah yang melemahkan minda orang Melayu sehingga hari ini. Mentaliti “asalkan Melayu” yang menerima mana-mana penyangak, penyamun dan pengkorup asalkan mereka bangsa sendiri.

Masalah dengan pucuk pimpinan yang bercorak etnik atau rasis ialah ia tidak dapat berfungsi tanpa asas ini. Dalam erti kata lain, pucuk pimpinan bercorak etnik atau rasis mestilah sentiasa memberi justifikasi kepada penyokong-penyokong mereka mengapa mereka diperlukan. Tanpa justifikasi ini, mereka akan dipersoalkan tentang kewujudan mereka.

Bayangkanlah jika Umno mengumumkan Malaysia sudah benar-benar bersatu dan tidak memerlukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau politik perkauman lagi. Mereka seakan-akan mencampakkan pasir ke dalam periuk nasi mereka sendiri!

Dengan fokus kepada isu-isu perkauman, ruang yang tinggal untuk isu-isu yang benar-benar memberi kesan kepada rakyat tidaklah banyak. Jika kita membaca penyataan-penyataan daripada pucuk pimpinan Umno, kita akan perasan ia amatlah dangkal dan tidak memberi analisa yang mendalam langsung.

Isu cukai barang dan perkhidmatan( GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah contoh ketara di mana pucuk pimpinan Umno diketawakan rakyat terutamanya dalam media sosial. Mantan perdana menteri sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad (yang amatlah berkebolehan dari segi ekonomi) mempersoalkan keterangan-keterangan mereka.

Sepatutnya, seorang pemimpin berwibawa boleh duduk dalam forum terbuka dengan pembangkang dan menjawab apa sahaja soalan tentang isu berkenaan. Ini tidak bermakna yang mereka tidak boleh ada “research team” sendiri atau jika tidak boleh menjawab, boleh memberi jawapan “saya tidak tahu tetapi berilah masa sehingga minggu/bulan depan”.

Semuanya boleh asalkan berani mempertahankan polisi di depan khalayak ramai. Jika hanya berani mengancam orang yang mengkritik mereka maka mereka tidaklah berwibawa.

Itu kepimpinan politik Melayu tetapi bagaimana pula dengan kepimpinan agama kita? Pada masa penulisan ini, isu yang menjadi fokus kepada seorang ulama besar dalam Umno ialah dalam isu jual beli kucing!

Di saat rakyat bimbang kehilangan kerja, timbullah ulama ini memberi pendapat maha penting ini. Sekali lagi kita patut fikirkan, mengapa ulama-ulama kaliber sebegini dapat naik?

Sebabnya adalah kita juga yang memberi tumpuan kepada mereka. Sepatutnya, kita hanya memberi peluang kepada ulama yang mampu menjawab soalan-soalan penting dan relevan.

Selain ulama biasa, ada juga ulama mencampuri kegiatan politik dan cuba menjual sistem politik Arab kuno mereka sebagai sistem Islam yang sejati. Inilah PAS, parti kedua terbesar orang Melayu.

Sepanjang pemerintahan PAS di negeri Kelantan, mereka tidak menyediakan rakyat untuk menghadapi apa-apa bala bencana sehinggalah banjir datang pada 2014. Prioriti mereka berkisar kepada pencegahan maksiat.

Itulah sebabnya mereka mahukan lelaki dan perempuan beratur berasingan kerana takut jika lelaki dan perempuan boleh naik berahi jika beratur bersama. Walaupun di merata-rata tempat mereka dapat beratur bercampuran dengan tidak naik syahwat, namun di Kelantan ini menjadi masalah.

Yang hairannya, walaupun kita diberitahu ulama PAS yang Islam (versi mereka) itu syumul dan tidak boleh diambil sebahagian sahaja. Inilah sebabnya mereka berjuang untuk memperundangkan hudud kerana ia sebahagian daripada aspek kehidupan dalam Islam versi mereka.

Namun begitu, bagaimana dengan aspek lain seperti ekonomi dan keselamatan. Semasa ekonomi gawat pada zaman 90an dan musim kemarau pula menimpa, jalan penyelesaian PAS ialah sembahyang hajat beramai-ramai.

Kenapa tidak hentikan semua aktiviti sahaja dan sembahyang hajat 24 jam? Mungkin sembahyang 24 jam akan lebih efektif dan sebarang kerja pun tidak perlu.

Walau macam mana pun, inilah yang boleh disumbangkan pucuk pimpinan agama Melayu. Mereka tiada jalan penyelesaian yang menyentuh realiti, cuma handal memegang 4,000 jin dan sebagainya sahaja.

Dengan ini, buat masa ini, pucuk pimpinan Melayu pun mati. Mereka tidak mampu membawa orang Melayu menghadapi cabaran global abad ke-21. Mereka hanyalah dapat melindungi politik-politik mereka yang tidak lagi relevan pada zaman ini.

Ini tidak bermakna yang orang Melayu tiada individu berwibawa. Ada, banyak, melimpah dan bersepah, tetapi kita sendiri yang memilih pucuk pimpinan yang ada sekarang. Kitalah yang menjadi penentu. – 2 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments