Opinion

Warkah buat hakim kes Indira Gandhi

Assalamualaikum tuan hakim,

Sebelum kita membuka mata kepada 2016, dugaan besar umat Islam dan khususnya bagi tuan sudah tiba.

Kes Indira Gandhi dan pemelukan Islam 3 anaknya adalah kes yang boleh membawa kita kepada satu antara 2 jalan: keadilan atau kezaliman.

Negara kita Malaysia unik kerana mempunyai berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu iaitu kaum majoriti beragama Islam dan sebahagian daripada hal ehwal mereka iaitu undang-undang kekeluargaan dan isu waris ditadbir undang-undang Islam tradisional.

Kaum lain pula ditadbir undang-undang sivil secara keseluruhan. Perlembagaan Persekutuan kita menyatakan setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing.

Sistem ini nampaknya mudah tetapi ia hanya termaktub dalam tulisan sahaja. Ia tidak mengambil kira kehidupan praktikal masyarat Malaysia yang mahu tidak mahu, akan berinteraksi antara satu dengan lain. Di sinilah kebebasan yang diberi perlembagaan akan terhakis.

Pada pendapat saya, kita boleh melihat pertembungan ini daripada 2 sudut – sudut syar’i dan sudut kemanusiaan. Kedua-dua sudut ini sebenarnya bukanlah terpisah malahan terikat tetapi untuk memudahkan analisa kita, wajarlah kita menggunakan perspektif ini.

Ada 3 prinsip yang saya lihat begitu relevan kepada analisa kita. Pertama sekali ialah prinsip “tiada paksaan dalam agama” (laa ikraha fee ad-deen, al-Baqarah 256). Ini adalah prinsip universal.

Maksudnya, ayat ini tidak menyatakan had untuk prinsip tersebut. Ia tidak mengatakan yang “tiada paksaan” hanya untuk pilihan memeluk Islam. Ia tidak juga menyatakan yang “tiada paksaan” tidak boleh diaplikasikan untuk orang Islam dari segi amalan.

Iaitu orang Islam boleh dipaksa untuk mengamalkan amalan Islam (seperti mendenda atau memenjarakan orang yang gagal menghadiri sembahyang Jumaat umpamanya). Tiada paksaan maksudnya tiada paksaan secara universal. Ayat di atas seterusnya menyatakan yang bimbingan akan jelas daripada penyelewengan (qad tabayyana rushdan min al-ghayy).

Jadi dalam agama kita, kita tidak boleh memaksa sesiapa untuk mengikut undang-undang. Lebih-lebih lagi orang yang tidak mempercayai agama kita lalu dipaksa untuk mengikutnya kerana diheret keputusan orang lain. Inilah kes Indira yang sekarang akan jatuh kepada tuan untuk membuat keputusan.

Indira dulunya berkahwin dengan K Patmanathan sama sekali tidak mengetahui Patmanathan yang sekarang dikenali dengan nama Muhammad Riduan Abdullah akan memasuki agama Islam yang memberinya kelebihan dalam kes penjagaan anak mereka.

Menurut laporan, Mahkamah Syariah sudah memberinya hak penjagaan pada 2009, sejurus selepas dia mendaftarkan kemasukan Islam anaknya hanya dengan surat beranak.

Hujah syar’i saya yang ke-2 ialah melalui prinsip pengiktirafan. Dalam perkahwinan mengikut undang-undang Al-Quran, kedua-dua pengantin perlu memberi pengiktirafan sebagai satu perjanjian (bil-makruf dalam Surah al-Baqarah, ayat 235 dan secara amnya, al-Baqarah, 282).

Apabila Riduan berkahwin dengan Indira dulu, adakah mereka memeterai sebarang perjanjian? Ini tidak pula dinyatakan dalam sebarang laporan.

Jika mereka ada penjanjian, saya rasa memang tidak mungkin dalam perjanjian itu Indira Gandhi menyatakan yang dia sanggup berpisah dengan anaknya jika suaminya memeluk agama Islam.

Jadi dia tidak memberi pengiktirafan dan tuan patut mengambil kira kelakuan Riduan yang melanggar prinsip bil-makruf ini dengan menukar agamanya. Sepatutnya, mereka membuat perjanjian baharu dan bukan dilemparkan kepada mahkamah tanpa berfikir panjang.

Prinsip ke-3 ialah prinsip keadilan. Tahukah tuan yang ada satu prinsip Al-Quran yang tertera pada dinding Mahkamah Agung Amerika Syarikat? Prinsip itu adalah kepada orang mukmin yang menyuruh mereka berdiri menegakkan keadilan walaupun keadilan itu tidak selari dengan kepentingan mereka (an-Nisa, ayat 135).

Prinsip ini diulangi dalam Surah al-Maidah, ayat 8. Bahkan an-Nisa, ayat 58, memberi keterangan yang tidak boleh dinafikan lagi – bila kita menghakimi antara manusia ("an-nas") dengan tidak mengira agama, hakimilah mereka dengan adil dan saksama.

Adakah Indira mendapat keadilan dalam hal ini? Rasanya tidak.

Sememangnya masalah sebegini akan timbul dalam situasi kita di Malaysia. Kes ini bukanlah kes pertama dan bukanlah juga kes yang terakhir. Di sini saya ingin meminta tuan berfikir sejenak. Dalam Islam kita selalu berhadapan dengan konsep “dunia dan akhirat”.

Kita sering mendengar pendapat alim ulama yang mengatakan kita patut mementingkan pemikiran “ukhrawi” (menekankan akhirat) daripada “duniawi” (bercorak keduniaan). Pada saya, inilah yang apa sebenarnya pemikiran jangka pendek (short term thinking) dan pemikiran jangka panjang (long term thinking). Pemikiran ukhrawi adalah pemikiran yang paling bercorak jangka panjang sebenarnya.

Dalam pemikiran jangka panjang, apa yang akan diakibatkan keputusan Mahkamah Syariah jika ia memberikan hak penjagaan anak kepada Riduan? Kita perlu menerima yang Riduan berniat baik (prinsip ‘in good faith’) dalam memeluk Islam dan kita juga perlu menerima yang pemelukan anaknya adalah berdasarkan niat baik.

Apa kita perlu persoalkan sekarang ialah cara Riduan menjalankan proses ini. Niat yang baik tidak menjaminkan yang cara yang dipakai bercorakkan manhaj agama Islam.

Sebenarnya, kelakuan Riduan dari segi zahiriah telah menggunakan undang-undang Islam negara kita sebagai alat untuk memenuhi hajatnya. Jika tuan menyokong kelakuan ini, maka agama kita akan diperdagangkan dan dipermurahkan.

Inilah akibatnya bila agama itu dijadikan satu perkara rasmi (officialization of religion). Dengan kemenangan Riduan, akan timbullah rasa benci warganegara Malaysia yang beragama lain kepada agama kita.

Bolehkah kita menyalahkan mereka jika begitu? Tidak sama sekali. Mereka telah dizalimi. Terpulanglah kepada tuan untuk memberi keadilan yang seimbang. – 6 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments