Opinion

Ustaz Jedi memperdangkalkan agama Islam

Mungkin ada hikmahnya pendapat yang paling dangkal tentang agama Islam datang pada penghujung tahun 2015.

Apabila kita sampai ke penghujung tahun ini, wajarlah kita mengingati tentang penyataan dangkal yang dilakukan di atas nama agama Islam.

Memang ada bermacam-macam; daripada ancaman kepada wanita untuk bersetubuh dengan suami bila sahaja diminta kerana kononnya itulah perintah Nabi. Ada juga ancaman kepada pengurus kedai buku kerana menyimpan buku "haram". Tidak lupa juga ustaz ayam yang kononnya menjual ayam kualiti tinggi kerana ayamnya diperdengarkan Al-Quran.

Macam-macam telatah agamawan kita sebenarnya. Jika ada pingat untuk agamawan paling lucu di dunia, mungkin agamawan kita hanya akan kalah kepada agamawan Arab Saudi yang mengharamkan wanita memandu kereta kerana kononnya, ia akan menaikkan nafsu syahwat lelaki.

Kali ini filem Star Wars pula menjadi mangsa agamawan. Saga cerita Star Wars sudah lama menjadi kegemaran di serata dunia.

Sejak tahun 1977 lagi, Star Wars menjadi sebahagian daripada budaya global (global culture). Cerita berpaksi di atas konsep "the force" (terjemahannya mungkin sesuai kita katakan sebagai "kuasa" dan bukan terjemahan literal iaitu "daya" seperti dalam bidang fizik) iaitu satu medan tenaga yang boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan.

Agama Jedi adalah aliran yang menggunakan "the force" untuk kebaikan. Ada juga gerakan "Sith" yang menggunakannya untuk kejahatan. Saga cerita Star Wars setakat ini selalunya berkisar disekeliling perperangan antara Jedi dan Sith.

Kenapa saya menggunakan terma "agama" untuk "Jedi"? Pertama sekali, kerana dalam filem pertama siri ini (filem "A New Hope" pada tahun 1977), skripnya sendiri mengandungi percakapan yang mengatakan Jedi itu agama (religion).

Kedua, sesuatu agama akan mempunyai set dogma (kepercayaan) dan adat-istiadat atau amalan yang tertentu. Lihat sahaja agama Islam yang mempunyai set kepercayaannya seperti rukun Islam dan rukun iman. Ia juga mempunyai unsur budaya yang tertentu seperti memakai tudung untuk wanita dan memanjangkan janggut sambil memendekkan misai untuk lelaki.

Apakah itu dogma agama Jedi?

Pada saya, ia terdapat dalam apa yang dibahasakan sebagai kod Jedi iaitu:  Tiada emosi, hanyalah kedamaian. Tiada kejahilan, hanyalah ilmu pengetahuan. Tiada sifat fanatik, hanyalah kesejahteraan. Tiada huru-hara, hanyalah harmoni. Tiada kematian, hanyalah ‘The Force’.

Amalan Jedi melibatkan pemerkasaan fizikal dan mental (seperti yang ditunjukkan oleh Yoda kepada Luke Skywalker dalam filem ke-2 Star Wars, Empire Strikes Back dalam tahun 1980). Amalan yang lebih terkenal oleh peminat Star Wars ialah amalan meditasi yang membina kesedaran tentang kewujudan tenaga ‘The Force’. Melalui amalan-amalan ini, seseorang Jedi itu akan mempunyai kebolehan luar biasa seperti telepathy (berkomunikasi dengan minda), telekinetik (menggerakkan benda dengan hanya menggunakan minda sahaja).

Dari segi dogma atau kepercayaan, kod Jedi diatas tidaklah jauh bezanya daripada dogma, metafizika mahupun etika agama Islam sendiri dalam bacaan saya. Dalam Islam, emosi yang bermanifestasi sebagai hawa nafsu perlu dikalahkan dengan kedamaian dalaman.

Ahli sufi menggunakan amalan zikir untuk membolehkan kemenangan ini. Sarjana Islam Al-Ghazali mengatakan yang dua cabang hawa nafsu perlu dipatahkan iaitu nafsu makan dan nafsu bersenggama supaya seseorang ahli tasawwuf intu mendapat makrifat dengan Allah.

Islam juga melawan kejahilan. Zaman sebelum Islam dikatakan oleh sarjana Islam sebagai "zaman jahiliyah" kerana kononnya zaman itu tiada ilmu agama. Dari segi al-Quran pula, "jahl" itu boleh difahami sebagai pemahaman yang cetek mengenai sesuatu perkara. "Jahl" boleh diubati dengan mencari ilmu. Islam tradisi sememangnya mewajibkan semua pengikutnya mencari ilmu.

Mungkin persamaan yang paling ketara ialah dalam prinsip kod Jedi yang ke-3 yang mengatakan tiada fanatik, hanyalah kesejahteraan. Islam melawan sifat fanatik kerana ia tidak seimbang dan keseimbangan itu satu perkara yang amat penting dalam Islam. Frasa "ummatan wasat" (Surah Al-Baqarah, Ayat 143) sering diterjemahkan sebagai "umat yang seimbang"(balanced nation).

Keadaan huru-hara juga ditentang oleh Islam. Dalam Al-Quran, ia dibahasakan sebagai "fasad" dan keadaan ini adalah sifat pertama orang yang kafir (Surah Al-Baqarah, Ayat 11) iaitu membawa huru-hara ke muka bumi ini.

Al-Quran menggunakan perkataan "sulh" (orang yang mempunyai "sulh" dikatakan bersifat "salih") untuk melawani keadaan fasad. "Sulh" bermakna yang membawa keharmonian (reconciliation) di antara kedua pihak. Ia mencantum kembali segala dalam alam semesta.

Akhir sekali, kod Jedi menyatakan "tiada kematian, hanyalah The Force". Prinsip ini juga amatlah dekat dengan ajaran Islam, dalam pemahaman saya. Kematian itu terbahagi kepada 2 iaitu mati dari jasmani dan rohani. Dari segi rohani, sesorang itu "mati" kerana dia tidak menjawab panggilan Tuhan melalu rasul (Surah Al-Anfal, Ayat 24). Dalam ajaran al-Quran, apabila kita hidup dari segi rohani iaitu dengan mejawab panggilan Tuhan, kita akan hidup dalam ertikata yang sebenar.

Memang ada banyak persamaan di antara agama Islam dan agama Jedi. Jadi mengapa Ustaz Jedi memberi amaran pula? Jawapannya mudah – kerana pada dia, "Islam" itu diberi ekspresi melalui agama Arab kuno. Dia bukan melihat kepada isi kandung (substance atau unsur) sesuatu tapi melihat kepada yang zahiriyah (superficial) sahaja.

Jika dia boleh melihat dengan lebih mendalam, mungkin dia dapat melihat yang semua agama mempunyai zat yang hampir sama. Lebih baik orang yang mengamalkan agama Jedi dengan mematuhi kod di atas daripada orang mengaku beragama Islam tetapi mengamalkan rasisme dan mengamalkan budaya rasuah, kronisme dan sebagainya. – 30 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments