Opinion

Sesaat sebelum pengebumian Pakatan

Seperti yang dijangkakan, muktamar PAS nampaknya membunyikan loceng maut kepada Pakatan Rakyat (PR) yang memang pun setakat itu nampaknya nazak.

Saya tidak terkejut langsung sebenarnya. PR dimeterai dalam keadaan tidak dirancang langsung.

Selepas tsunami 2008 dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), kemenangan besar DAP, PAS dan PKR membawa kepada barisan pembangkang yang baru iaitu PR.

DAP pada masa itu mungkin terlalu khayal dengan kemenangan dan lupa yang 6 tahun sebelumnya, mereka dibelot dan dikhianati oleh PAS semasa zaman Barisan Alternatif.

Tetapi selepas PRU12 suasana nampaknya berubah. Saya sendiri yang cukup sangsi dengan PAS pun terjual dengan retorik mereka.

PAS mula bercakap mengenai “welfare state” iaitu falsafah politik yang amat sosialis dan mementingkan kepentingan rakyat.

Hukum Arab kuno mereka dibelakangkan dan saya menyangka PAS akhirnya mengatasi retorik basi ini dan bergerak ke arah sistem lebih dekat kepada falsafah al-Quran.

Malangnya sangkaan saya tersasar jauh. Mungkin ada segelintir dalam kepimpinan PAS yang memang berniat untuk mengimplementasikan negara yang mementingkan kebajikan rakyat Malaysia tetapi kebanyakannya hanyalah ulama Islamofasis yang lebih memfokuskan kepada pergaulan antara lelaki dan wanita serta kalau umat Islam hadir ke masjid atau tidak.

Tujuh tahun berlalu dan perkahwinan politik di antara PAS dan DAP yang makin lama, makin merudum akhirnya terbawa kepada peringkat nazak lalu mati begitu sahaja tanpa perbincangan panjang dengan ucapan kemenangan pihak barisan ulama.

Mungkin ketiadaan karisma gergasi Datuk Seri Anwar Ibrahim mempercepatkan proses ini. Anwar yang selama ini memperjuangkan "Buku Jingga" iaitu perjanjian antara parti PR tidak dapat berbuat apa-apa selepas dipenjarakan.

Adakah ini perkembangan buruk? Pada saya, tidak. Pada saya, perkahwinan politik antara PAS dan DAP memang tidak boleh kekal lama pun, seperti perkahwinan mut’ah yang dipelopori kaum Syiah sahaja.

Perkahwinan ini hanya untuk kepentingan masing-masing dan bukan  kepentingan rakyat. Kenapa mahu dipanjangkan sesuatu yang umurnya memang ditakdirkan singkat?

Apabila muktamar PAS mutakhir ini bermula, wakil DAP pun tak hadir. Perbalahan antara DAP dan PAS menzahirkan situasi ini.

Mungkin juga cuaca politik yang menampakkan yang barisan ulama PAS akan menang membawa satu firasat yang kehadiran DAP tidak dialu-alukan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, seorang pejuang Islam yang boleh duduk semeja dengan nasionalis (bukan seperti Nabi Muhammad yang menolak rasisme kaum Arab) dan barisan ulamanya menang besar dalam pemilihan PAS.

Selepas itu, keluarlah ulama yang mengutuk DAP kerana berani campur tangan dalam hal dalaman PAS. Mereka melahirkan sentimen untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Kepada pemerhati politik, langkah ini adalah loceng maut PR. Veteran DAP Lim Kit Siang sendiri menyebutkan tentang "funeral rites" (upacara pengebumian) PR.

Cuba kita fikirkan, jikalau kedua parti terbesar dalam PR tiada hubungan antara mereka, maka apakah makna adanya PR?

Selari dengan aksi hebat PAS mendabik dada, kedengaran pula Hadi yang mengatakan yang jika PAS ingin berunding atau berbincang dengan Umno, maka ia bukan hal parti lain.

Hadi yang dulu mengatakan, mengundi untuk Umno itu satu perbuatan kufur walhal mengundi PAS pula boleh membawa ke syurga mungkin lupa pendirian sendiri.

Hadi menambah, Umno tidaklah seteruk Firaun yang merupakan watak jahat utama dalam al-Quran. Di sini, saya setuju dengan Hadi. Firaun dalam al-Quran mengancam hendak membunuh orang kerana menukar agama.

Seteruk-teruk Umno pun, ini bukan falsafah Umno tapi falsafah PAS sendiri! Parti yang lebih menyerupai pemerintahan Firaun.

Bagaimanapun, di sini kita boleh meneka langkah Hadi seterusnya. Hadi  sudah terliur dengan kuasa Umno akan menggadaikan pendiriannya sendiri demi mendapat kuasa.

Namun begitu, sebelum pengebumian PR, ia dapat diselamatkan oleh ahli tertinggi PAS yang cepat mengatakan ahli tidak perlu melepaskan sebarang jawatan walaupun di Pulau Pinang di mana mereka tiada banyak sokongan pun.

Kenyataan ini adalah balasan kepada permintaan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang meminta ahli-ahli PAS melepaskan jawatan mereka di Pulau Pinang. Hanya Mohamad Sabu sahaja yang menunjukkan maruah dan integriti serta mengumumkan niatnya untuk berbuat begitu.

Episod ini belum berakhir tapi setakat ini, dua fakta dizahirkan. Satu, integriti PAS sebagai satu parti politik sampai ke tahap sifar.

PAS bukanlah parti Allah tapi parti sarkas. Mereka seakan-akan kambing yang putus talinya lari ke sana ke mari kerana tidak tahu arah tujuan yang sebenar.

Dulu mungkin PAS ada keseimbangan sedikit kerana mempunyai ahli yang lebih progresif tetapi sekarang barisan utama PAS hanya mementingkan politik mendabik dada seakan-akan menghunus keris ala Umno. Mereka ini tidak perlu diambil serius oleh rakyat.

Untuk DAP dan PKR, saya menggesa mereka menutup pintu terhadap PAS. Mereka tidak perlu mencari masalah dengan keahlian PAS dalam PR.

PAS sememangnya tidak akan dapat mengatasi isu hudud dan mentaliti mereka akan sentiasa terperangkap dalam isu seperti patutkah lelaki dan wanita beratur dalam baris yang sama?

Ketaksuban mereka kepada negara Islamofasis bermakna mereka akan cuba meniru negara itu. Lebih baik jika DAP dan PKR memikirkan semula strategi mereka. – 10 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments