Opinion

Mengikis sikap chauvinis terhadap bahasa Inggeris

Sebagai seorang yang mempelajari bahasa asing setelah dewasa, saya memahami betapa payahnya pengalaman ini. Saya mempelajari bahasa Arab klasikal semasa umur awal 20-an.

Ketika itu, semasa akhir zaman 90-an, sumber bahasa tidak begitu banyak di alam maya.

Saya terpaksa membeli buku “hardcopy” untuk memenuhi hajat saya dan menyertai kursus bahasa

Belajar bahasa baru bukanlah satu perkara mudah. Kerjanya bukan sahaja mempelajari perbendaharaan kata, nahu untuk bahasa Arab klasikal, subjek seperti balagha (retorik) and sarf (morfologi – pemahaman antara asal and derivative kalimah).

Memanglah payah kerja ini. Apabila  selesai kursus ini, kita masih perlu belajar kalimah-lain yang beribu banyaknya.

Bukan itu sahaja, mempelajari bahasa Arab klasikal, kita tak dapat mengembara di tanah Arab. Bahasanya memang tak kena.

Samalah jika orang asing mempelajari Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang) dan dengan bahasa itu, cuba berkomunikasi di Kuala Lumpur pada zaman ini!

Namun begitu, bahasa itu satu petanda Tuhan yang amatlah indah. Bayangkan, dengan sesuatu bahasa, kita akan punyai jalan masuk ke dalam sesuatu dunia pengalaman manusia (world of human experience).

Akses ini amatlah berharga jika kita berinteraksi dengan orang yang bukan daripada budaya kita sendiri. Kita di Malaysia amatlah bertuah kerana, dengan sejarah tanahair yang pernah dijajah (1 perkara yang tidak baik), kita mempunyai sejarah yang lama dengan bahasa Inggeris.

Legasi Inggeris di Malaysia, walaupun kian lama, kian pudar masih memberi kita kelebihan daripada segi pembelajaran bahasa.

Selain daripada itu, kita masih lagi dapat menonton media yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Kandungan internet juga banyak dalam bahasa Inggeris.

Jadi tahap interaksi kita dengan bahasa ini mempunyai potensi untuk memberi kita kebolehan yang amat tinggi.

Saya bermastautin di kota London begitu lama dan dulunya apabila saya membandingkan kebolehan bahasa Inggeris, orang Malaysia dengan orang daripada negara Asia yang lain, kebolehan orang Malaysia masih baik.

Ketika itu, kebolehan kita sebaik orang negara Asia Selatan seperti India and Pakistan dan juga jiran kita Singapura. Tetapi, kita harus sedar yang sekarang negara lain yang dulunya tidak begitu berkebolehan dalam bahasa Inggeris (seperti Indonesia dan Thailand) sekarang sudah mampu memperbaiki keadaan mereka yang kemajuan dari segi ini dapat saya lihat.

Sebaliknya pula, ada desas-desus di media sosial yang mengatakan yang tahap kebolehan bahasa Inggeris di Malaysia kita merundum. Contoh yang paling menghina ialah video yang memaparkan anak muda yang turun untuk perhimpunan baju merah beberapa bulan yang lepas.

Percakapan mereka yang kurang betul dari gaya bahasa dan sebutan menjadi bahan ketawa netizen. Bukan saja contoh ini, tetapi beberapa papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris yang amat salah disebarkan. Contoh mutakhir kita mungkin adalah bahan makanan “scissors salad” (sebenarnya Caesar Salad) yang muncul sebelum ini.

Mungkin masalah utama ialah sikap kita kepada bahasa Inggeris sendiri. Seringkali saya melihat sikap yang negatif apabila orang Malaysia, terutamanya orang Melayu, menggunakan bahasa Inggeris.

Sikap ini tidaklah seteruk sampai mengatakan yang orang tersebut adalah pengkhianat bangsa atau tuduhan yang bodoh seperti itu. Tetapi, orang tersebut akan diperli dan diejek dengan mengatakan dia mahu menunjuk dan sebagainya.

Sikap ini adalah kurang sihat. Kita sebenarnya patut menggalakan penguasaan bahasa sebanyak yang mungkin. Lagi banyak bahasa yang kita kuasai, lagi bagus sebenarnya.

Bukan saja dari segi keluasan akses (yakni jika kita mempunyai kebolehan bahasa yang banyak, kita mempunyai tahap akses yang tinggi) tetapi juga daripada segi ketangkasan mental.

Orang yang mempunyi kebolehan bahasa yang banyak dapat berfikir juga dengan modaliti yang banyak dan ini memjadikan mereka serba boleh dalam pelbagai bidang.

Saya tidak menolak kemungkinan ada yang menggunakan bahasa sebagai alat untuk menyombongkan diri. Parodi ini memang menjadi kegemaran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai contoh, dalam filem Labu Labi. Tetapi ia tidak semestinya begini.

Satu lagi masalah dengan sikap terhadap bahasa Inggeris ialah omongan yang bahasa ini adalah bahasa Kristian dan kafir.

Tidak mengejutkan yang sikap ini datang daripada fanatik agama yang bimbang, dengan mempelajari bahasa Inggeris, kita juga akan menyerap kecenderungan bahasa Inggeris yang sukar dipisahkan daripada legasi agama Kristian.

Saya memahami proses pemikiran ini walaupun saya tidak bersetuju.

Setiap bahasa memang mempunyai kecenderungan sendiri termasuklah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Sebagai contoh, perkataan “religion” (agama) dalam bahasa Inggeris berasal daripada “religio” iaitu sesuatu yang mengikat (binding). Dalam bahasa Melayu pula, agama itu daripada bahasa Sanskrit yang berkaitan dengan adat-istiadat ketuhanan.

Bagaimana pula dengan bahasa Arab yang menjadi kesayangan fanatik agama. Kalimah “akidah” juga mempunyai maksud asal yang sama dengan ‘religion’ iaitu mengikat!

Kalimah “deen” pula yang sering diterjemah menjadi “agama” digunakan dalam bahasa Arab untuk menunjukkan antonim (kata lawan) kepada perkataan “dunya” (hal duniawi atau material).

Jadi “deen” itu untuk akhirat walhal “dunya” itu untuk hal duniawi.

Maksud sebegini jauh sekali daripada maksud Al-Quran, dalam pemahaman saya.

Sebenarnya, kita di Malaysia amatlah bertuah kerana kita hampir kepada paling kurang 4 bahasa (Melayu, Inggeris, Mandarin danTamil) yang berpotensi membolehkan individu menjadi sangatlah efektif.

Malangnya, dengan chauvinisme bahasa, kita  menghadkan menyerapan bahasa lain.

Eloklah kita membuka minda supaya generasi akan datang dapat memanfaat daripada situasi ini. – 9 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments