Opinion

Melayu diper’babi’kan bangsa sendiri

Budaya Islam memang alah (allergic) dengan babi. Memang hampir semua umat Islam tidak makan babi, tetapi kealahan mereka terhadap babi adalah lebih jauh daripada itu. Kasut dengan kulit babi pun perlu diberi amaran supaya umat Islam jangan memakainya.

Itu baru interaksi secara langsung, bagaimana pula dengan interaksi tidak langsung? Masih ingatkah anda dengan filem ‘Babe’ (1995)? Filem ini diharamkan hanya kerana heronya adalah seekor babi!

Kita bernasib baik kerana Lembaga Penapisan Filem tidak mengharamkan kartun-kartun ‘Winnie the Pooh’ dan juga buku ‘The Tao of Pooh’ dan ‘The Tale of Piglet’ yang mempunyai watak ‘Piglet’ iaitu seekor anak babi!

Kealahan kepada babi ini sememangnya berasal daripada Al-Quran yang mengharamkan makan daging babi (Surah Al-An’aam, Ayat 145).

Namun larangan itu hanya pada pemakanan (‘ta’aam’ dalam bahasa Arab) dan bukan kepada pemakaian kulit babi mahupun watak-watak babi. Larangan berlebihan ini hanyalah budaya Islam yang wujud turun-temurun.

Orang Islam begitu alah sehinggakan makanan ‘vegan’ (sayur-sayuran) yang seakan-akan babi (mock meat) pun tidak akan disentuh!

Apakah sebabnya larangan ini? Al-Quran memberitahu kita dalam ayat yang sama, ‘sesungguhnya ia kotor’ (fa’innahu rijs). 

Dalam tafsiran saya, kekotoran ini termasuk secara fizikal. Terdapat bukti-bukti yang menunjukkan yang memakan babi tidak baik untuk kesihatan kita.

Mahupun begitu, pada saya, larangan ini juga adalah secara simbolik. Babi adalah haiwan yang yang tidak membawa simbol baik kepada manusia. Bahasa manusia memerangkap maksud yang agak mengaibkan dalam perkataan babi itu.

Ini bukan sahaja dalam budaya Islam, bahkan budaya-budaya lain juga memerangkap budaya babi sebagai satu sifat yang jijik, walaupun budaya itu mengamalkan pemakanan babi! Sebagai contoh, dalam Bahasa Inggeris, memanggil sesorang itu ‘male chauvinist pig’ (jantan babi chauvinis) adalah satu cacian. 

Ini kerana babi itu diibaratkan kuat nafsu seks. ‘Pork barrel politics’ pula adalah politik di mana pemimpin-pemimpin menyalahgunakan wang kerajaan untuk mendapat sokongan rakyat (macam pernah dengar, kan?).

‘Pig sty’ (kandang babi) pula adalah tempat yang begitu kotor. Pendek kata, memang tidak ada maksud babi yang baik. Semuanya buruk belaka!

Ini membawa kita kepada Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos. Nama Jamal begitu naik sekarang ini kerana dialah yang mengetuai perhimpunan Baju Merah pada 16 September yang lepas.

Versi terakhir sebab perhimpunan ini diadakan ialah Melayu bangkit untuk menjawab kebiadapan DAP yang menghasut orang Cina untuk mengadakan perhimpunan Bersih 4 pada 31 Ogos lepas.

Walaupun sebab ini begitu palsu dan Bersih 4 menampakkan ramai peserta Melayu (anggarannya adalah 20%) dan juga bangsa India, namun khabar angin ini bermain di mulut penyokong-penyokong Jamal.

Video wanita yang meroyan kepada Lim Kit Siang ‘Enough is enough’ (cukuplah setakat ini) adalah petanda yang paling ketara.

Dalam pada itu, muncullah pula pengikut-pengikut Jamal yang berniat untuk membuat kacau di Jalan Petaling, iaitu pusat perniagaan yang ada tuan punya Cina. Kedengaranlah cacian ‘Cina babi’ semasa serangan itu.

Cacian ini memang melukakan rakyat Malaysia, bukan sahaja berbangsa Cina, tetapi semua bangsa yang berjiwa kebangsaan.

Walaupun Jamal kononnya bukannya rasis, dia membuat alasan paling bodoh untuk cacian ‘Cina babi’. Menurut Jamal, ‘Cina babi’ bukan cacian kerana kaum Cina sememangnya makan babi!

Bagaimana pula dengan kaum Cina yang tidak memakan babi atau yang ‘vegan’? Adakah ini juga bermakna yang kita boleh memanggil Jamal ‘lembu’ atau ‘kambing’ kerana haiwan-haiwan ini halal baginya?

Yang sedihnya dalam episod ini, orang Melayu yang berteriak ‘Cina babi’ tidak menyedari yang sebenarnya, merekalah yang diperbabikan. Bukan diperbabikan kaum Cina atau mana-mana kaum lain, tetapi oleh pembesar mereka sendiri!

Bagaimana pula tu? Mari kita fikirkan.

Berbalik kita kepada Al-Quran dan naluri bahasa (language instinct) kita yang disebut di atas. Al-Quran juga menyebut tentang bangsa yang meninggalkan wahyu (iaitu kebenaran) dan memeluk gaya hidup yang leka dan bermain-main.

Inilah yang dimaksudkan Al-Quran  dengan ‘jadilah babi dan kera’ (5/60). Jika kita membaca mengikut konteks daripada 5/57-59, kita akan mendapati yang mereka ini leka, bermain-main dan meninggalkan tugas-tugas mereka dan mengikut taghut (tuhan-tuhan palsu).

Dalam ayat-ayat seterusnya (5/62-63), mereka juga dikatakan berlumba-lumba dalam ‘ithm’ (perkara yang mengakibatkan kelemahan diri) and menjadi consumer perkara-perkara yang tidak dibenarkan (suht). Inilah sebahagaian daripaa perangai babi, sebenarnya.

Jadi mari kita tanya sekarang, siapa yang ikut perangai babi? Orang Melayu yang terlibat dalam politik yang korup memakan rezeki yang haram, jadi mereka mengikut perangai babi.

Mereka dididik dengan ideologi yang merekalah kononnya ‘tuan rumah’. Ini bukan ideologi Islam, tetapi taghut jadi sekali lagi mereka ikut perangai babi.

Mereka juga diberi ekonomi di mana mereka tidak perlu bekerja seperti kaum-kaum lain jadi ini menjadi satu kelemahan diri (ithm). Mereka menjadi konsumer rezeki yang datang daripada titik peluh bangsa lain dan ini menjadi satu ‘suht’.

Jadi walaupun orang Cina memakan babi, orang Melayu pula mengambil sifat-sifat babi! Ini kecuali mereka menolak ideologi taghut ‘ketuanan melayu’ dan memeluk Islam yang sebenar.

Tetapi yang hairannya, ulama-ulama pun tidak berani dan jujur menolak ideologi babi yang memakan rezeki yang bukan haknya.

Kalau orang Melayu ikut perangai babi, siapa yang memperbabikan mereka? Tidak lain tidak bukan pemimpin-pemimpin mereka. Orang Umno tidak sudah-sudah menghasut orang Melayu untuk meminta hak-hak tanpa usaha yang gigih.

Jadi mereka menanam sifat-sifat babi menurut Al-Quran. Mereka mencipta ekonomi berdasarkan kepalsuan and eksploitasi dan menipu orang Melayu supaya menyokong mereka.

Merekalah yang memperbabikan orang Melayu. Jika kita mahu melepaskan diri daripada cengkaman mereka, kita perlu mengkaji Al-Quran.

Kita akan mendapati yang usaha yang gigih dan memberi sedekah kepada yang memerlukan akan melepaskan kita daripada sifat babi ini. – 23 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments