Opinion

Kepimpinan atau kepincangan ulama

Asal-usul perkataan 'pimpin' ialah membawa seseorang dari satu tempat ke tempat yang lain. Kita boleh mengatakan yang kita 'memimpin' seseorang yang cacat penglihatan. Itulah penggunaan perkataan ini secara fizikal. Jadi tidak menjadi kesalahan untuk kita menjangkakan yang seseorang 'pemimpin' akan menolong mendatangkan kemajuan, iaitu membawa kita dari satu tahap ke tahap yang lain. Daripada menjadi ahli negara dunia ketiga umpamanya kepada menjadi ahli negara dunia pertama. Itulah maksud sebenar 'kepimpinan'.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selalu bercakap tentang 'kepimpinan ulama'. Kepada mereka, inilah bentuk kepimpinan yang ideal. Mungkin ini adalah kerana hadis yang mengatakan ulama itu waris nabi-nabi (al-ulamaa warith al-anbiyaa') walaupun hadis ini tidak mentakrifkan langsung siapa itu 'ulama'.  Ini sebenarnya sendiri label, sendiri angkat saja.

Adakah sesuatu kepimpinan itu bebas daripada penilaian? Sudah tentu tidak. Inilah fungsi demokrasi, iaitu menilai sesuatu falsafah politik dan memilih sama ada untuk meneruskan falsafah ini untuk 5 tahun seterusnya atau tidak. Itu pun kalau demokrasi itu berfungsi. Kebanyakan demokrasi tidak berfungsi dengan baik dan bertakung dengan satu bentuk falsafah politik saja, walaupun nama-nama parti itu mungkin berubah. Satu contoh yang baik ialah parti Conservative dan Labour di UK yang mengamalkan sistem kapitalis sama saja, walaupun parti Labour (Buruh) sepatutnya lebih sosialis dalam pandangan mereka.

Di manakah PAS dari sudut ini? Falsafah pemerintahan PAS mudah saja - mereka mahukan negara Islam. Negara Islam mestilah bertulang belakangkan undang-undang syariah. Dengarnya seperti mudah saja - negara Islam dengan undang-undang yang diberi Allah. Jadi mengapa kita perlu ada kepimpinan ulama pula? Buka saja kitab-kitab hukum syariah dan ambil saja hukum yang tertera di dalamnya.

Tapi bukan semudah itu, golongan ulama (bukan saja ulama PAS) akan mengatakan kita perlu ada ilmu pengetahuan untuk memahami bagaimana undang-undang itu boleh diangkat dari kitab kuno dan diaplikasikan dalam konteks moden. Itulah sebenarnya sebab kita memerlukan kepimpinan ulama, bagi merumuskan proses daripada kitab ini untuk mendirikan negara Islam.

Tapi jika berbalik kepada konsep 'kepimpinan' yang berhubung dengan kemajuan, adakah PAS berjaya membawa kemajuan ini? PAS diberi kepercayaan mentadbir 2 negeri pada satu ketika dulu tetapi tiada pun apa kemajuan yang boleh kita amati. Kelantan tidak berjaya mendirikan institusi yang menjadi perintis dalam bidang sains dan teknologi ataupun bidang pengajian kemanusiaan. Yang ada hanyalah undang-undang yang kononnya dapat mencegah maksiat. Obsesi kepada maksiat ini begitu berleluasa sehinggakan apabila beratur dalam kedai pun, lelaki dan perempuan dijangka akan membuat maksiat. Sudah 20 tahun saya tinggal di negara 'kafir' pun, saya tidak pernah melihat perkara ini berlaku. Orang ramai tidaklah ada obsesi ini seperti golongan ulama.

Di manakah kepimpinan ulama pada kala negara dunia menghadapi masalah. Pada masa ini, kita menghadapi masalah kewangan di mata nilai ringgit Malaysia semakin menurun berbanding nilai mata wang Amerika, Britain dan Singapura pun. Apakah jalan penyelesaian yang diberi ulama? Adakah mereka ada pendekatan ekonomi yang lain? Selalunya mereka akan mencadangkan penggunaan mata wang yang terikat kepada nilai emas. Apakah rasional di sebalik ini? Adakah kerana strategi ini betul-betul boleh mendatangkan hasil ataupun hanya kerana strategi ini datang daripada 'sumber Islam'. Inilah persoalannya yang sebenar. Adakah PAS mahukan kepimpinan ulama hanya kerana hadis di atas atau kerana, pada hakikatnya, ulama satu-satunya golongan yang boleh membawa kejayaan di dunia?

Penyokong kepimpinan ulama mungkin akan mengatakan yang kepimpinan ulama adalah untuk membawa kejayaan di akhirat saja. Di dunia, tugas kita adalah untuk mematuhi hukum Allah tanpa mengharapkan apa-apa kejayaan dalam hidup ini. Dengan hujah ini, kita akan memutuskan hubungan antara sesuatu sistem politik dan maklum balas yang akan kita terima dengan implementasi sistem politik itu.

Dalam erti kata lain, kepimpinan ulama boleh diamalkan berpuluh tahun tanpa sebarang kemajuan dan apabila kita mempersoalkan sistem ini, kita akan diberitahu untuk 'bersabar’ dan 'bertawakal' dan ganjaran yang akan kita terima bukanlah dalam hidup ini tetapi dalam hidup yang akan datang. Sepatutnya, kita pun menggantung gaji ulama dan memberitahu mereka gaji mereka pun dalam hidup akan datang!

Sebenarnya, mentaliti ini tidak sesuai dengan alam politik. Alam politik berpijak di bumi nyata. Jika kita memutuskan kebolehan mentadbir negeri atau negara dengan proses maklum balas, kita tidak akan dapat menilai kebaikan sesuatu sistem politik itu. Jadi walaupun negara dalam keadaan tidak aman, penuh dengan kepincangan dan sebagainya, alasan yang boleh diberi ialah 'hidup di dunia ini tidak bermakna, kita tunggu akhirat kelak'.  Alasan ini tidak boleh diterima kerana kita hidup di alam nyata dan akan mengalami semua keperitan hidup. Juga, jika Islam itu sistem daripada Tuhan yang maha pengasih lagi penyayang, maka sistem ini patut memberi kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Ini sememangnya janji Allah dalam ayat Al-Quran yang dikenali sebagai ayatul istikhlaf (Surah An-Nur , Ayat 55). Jadi keputusan kepimpinan Islam seharusnya boleh diukur di alam realiti sendiri.

Jadi apakah situasi dengan kepimpinan ulama? Pada saya, semua bentuk pentadbiran politik adalah daripada manusia sendiri dan perlu dinilai segi keberkesanan dalam alam realiti. Walaupun pentadbiran itu dikatakan 'pentadbiran Islam' yang kononnya datang daripada Allah, namun ia hanyalah interpretasi ulama saja. Itu pun dengan banyak perbezaan pendapat di antara mereka sendiri. Perbezaan pendapat menunjukkan yang bukan Allah mahupun Rasul yang di sebalik rumusan mereka tetapi mereka sendiri dalam kapasiti sebagai manusia.

Sebenarnya, kepimpinan ulama dalam situasi kita akan membawa kepincangan. Ini kerana sistem pendidikan agama tidak mementingkan pemikiran rasional dan sikap mempersoalkan dogma. Jadi , sehingga kita mereformasi sistem pendidikan ini supaya mencerminkan unsur tidak maksum manusia, kita tidak boleh mengharapkan kepimpinan ulama boleh membawa manfaat kepada manusia sejagat. – 18 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments