Opinion

Di sebalik muslihat hudud PAS

Selepas tsunami 2008, PAS mula menggubah wajah politik baru. 2008 ialah tahun paling istimewa bagi pembangkang. Mereka mendapat kemenangan yang tak dijangkakan dan berjaya menafikan Barisan Nasional (BN) majoriti dua pertiga kerusi dewan rakyat.

Kejayaan sebegini tidak berlaku sejak pilihan raya umum 1969.  Ini menandakan satu titik permulaan baru dalam sejarah politik tanah air. Parti PKR, DAP dan PAS tidak menyangka boleh menang besar sebegitu dan bergabung secara ad hoc dan membentuk Pakatan Rakyat (PR) yang kekal sampai hari ni walaupun nampaknya semakin hampir ke penghujung hayat.

Pada permulaan hayat PR, PAS mula menunjukkan wajah yang lebih lembut. Mereka mengurangkan retorik tentang hukum hudud dan mula membincangkan tentang negara yang berteraskan kebajikan rakyat. Walaupun saya tegas menentang parti yang kononnya berteraskan agama (kerana pada saya, unsur agama itu pada nama saja), saya terjual dengan retorik 'welfare state' PAS. Pada saya, 'welfare state' adalah sistem politik yang amat dekat dengan apa diajar Al-Quran iaitu pegangan hidup saya.

Namun begitu, harapan buta saya lenyap begitu saja kerana sebenarnya, PAS hanya membuat tarian politik. Ketika menjelang pilihan raya 2013, mereka perlahan-perlahan kembali kepada falsafah asal mereka - negara Islam dan hukum hudud. Inilah yang boleh dikatakan sebagai 'falsafah yang tiada falsafah' tetapi inilah wajah PAS sebenar. Mereka tidak dapat lari daripada falsafah ini kerana inilah langkah tarian paling menggiurkan peminat mereka.

Sememangnya PAS tidak boleh mencapai hajat mereka. Sebabnya mudah saja - rang undang-undang yang akan diubah oleh hukum hudud termasuk dalam senarai perkara kerajaan pusat. Video saudara Art Harun menjelaskan isu ini dengan begitu jelas. PAS , pada ketika ini, tidak akan mencapai majoriti bukan kerana Umno (yang mempunyai kebolehan membuat tarian politik lebih daripada PAS) tetapi kerana parti yang lain. Jadi kita selamat daripada hukum Arab kuno yang berteraskan penindasan dan kezaliman ini. Saya percaya, PAS pun tahu ia tidak dapat mencapai hajat mereka. Ini sebenarnya satu muslihat saja jadi apakah di sebalik muslihat ini?

Pada saya, tak lain tak bukan , tujuan muslihat ini ialah untuk menyelamatkan nyawa PAS sendiri. Sebelum episod hudud yang terbaru ini, PAS berada dalam keadaan yang amat rumit selepas pemergian allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz, selama 25 tahun menjadi mursyidul am PAS, berjaya menjadi ikon PAS yang tidak dapat ditandingi.

Saya teringat lagi semasa beliau mengunjungi masjid saya pada awal 1990n. Ketika itu, saya masih budak sekolah yang begitu teruja dengan 'kerohanian' para agamawan. Nik Aziz memberi kuliah (tidak rasmi kerana beliau tidak berlesen) tentang perlunya iman dan amal salih. Sampai sekarang saya boleh ingat karisma beliau. Sedihnya, banyak ucapan beliau sengaja disalahertikan musuh-musuhnya, seperti peristiwa 'Allah itu samseng' dulu. Beliau pun bukan tidak ada kesalahan. Dalam isu penggunaan kalimah 'Allah', walaupun beliau tidak setuju dengan ulama lain pada mulanya, beliau terpaksa mengiakan pendapat mereka pada akhirnya.

Dengan pemergian Nik Aziz, muncullah ruang kuasa (power vacuum) yang terserlah. Nik Aziz, yang selama ini menjadi benteng menghalang penyatuan Umno dan PAS, kini tiada. Dengan ini, ulama yang bercita-cita mahukan penyatuan dengan Umno semakin dekat dengan sasaran mereka. Mereka ini termasuklah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dan mantan naib presiden PAS, Nasharuddin Md Isa dulu.  Di sini saya ingin menyatakan perasan kagum terhadap allahyarham Nik Aziz kerana menidakkan hasrat ini pada waktu lampau. Jika Nik Aziz seorang yang gila kuasa, dengan mudah saja beliau boleh mengiakan hasrat ini. Mungkin beliau boleh menjadi timbalan perdana menteri jika berbuat begitu.

Tetapi beliau bukanlah orang yang boleh terjual dengan kuasa dan kekayaan. Keperibadian inilah yang membuatkan beliau dikagumi rakan mahupun musuh politik. Walaupun saya tidak setuju dengan banyak pendapat beliau, saya masih mengagumi keperibadiannya yang sejati.

Dengan pemergian beliau, timbullah pergolakan lama. Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dengan terang-terang dilaporkan cuba menggulingkan presiden PAS sendiri. Kenapa tiba-tiba ini berlaku? Adakah sebab mereka tidak sebulu atau mungkin Mat Sabu tahu yang kerajaan penyatuan memang dalam agenda Hadi?

Dalam situasi inilah tiba-tiba hukum hudud yang dimeterai kira-kira 20 tahun dulu muncul kembali. Terdengarlah kita ucapan mendabik dada tentang bagaimana kita tidak patut menentang 'hukum Allah'. Jadi perhatian kita teralih pula kepada isu lapuk ini. Seperti yang dijangkakan, parti DAP menyuarakan secara lantang bantahan mereka. DAP mengancam mahu 'menyingkirkan PAS' daripada PR. Mereka mengkritik PAS kerana mungkir kepada perjanjian 'buku hijau' yang dimeterai bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu.

Saya setuju dengan sentimen DAP di sini tapi saya ingin bertanya kepada mereka - adakah mereka betul-betul mengharapkan PAS akan berubah haluan? Jika 'ya', mereka boleh dikatakan sebagai amatlah naif.  Jika 'tidak', maka mereka pun bersekongkol dalam muslihat ini.

Pada kala peristiwa ini melepasi tahap yang paling kritikal, datanglah pula Dr Dzulkefly Ahmad untuk membuat kawalan kerosakan (damage control) kepada rakyat yang meluat dengan kerenah PAS. Dzulkefly menekankan PAS memberi prioriti kepada pentadbiran kerajaan yang baik (seperti di kala banjir tahun sudah, mungkin?) dan keadilan kepada seluruh pelosok rakyat (mengapa PAS menikus dalam isu ketuanan Melayu pula?). Inilah 'damage control' yang terbaik. Menunjukkan betapa sederhana PAS, kononnya.

Inilah tafsiran sebenar isu hudud mutakhir ini. PAS hanya memainkan satu muslihat untuk mengalih pandangan kita daripada masalah yang mereka hadapi dan langkah yang mereka bakal ambil untuk mengkhianati amanah Nik Aziz dan warga Islam yang menolak nasionalisme Umno. Semuanya kerana mengejar kuasa. Saya menyeru kepada orang Islam dan penyokong PAS, biarlah mereka menari politik bersendirian. Carilah pilihan lain. – 1 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments