Opinion

Mengapa saya sokong `Rencana Kajang’

Rencana Kajang atau ringkasnya RK adalah sangat rumit untuk diringkaskan. Saya cuba membuat penerangan dan kalau baik menjadi pencerahan dan kalau tidak menambah keharuan.

Saya sedar risiko dikecam, paling tidaknya sebagai ‘apologist’ PKR. Demi misi perjuangan disepakati - menegakkan kebenaran-keadilan serta meruntuhkan kebatilan-kemungkaran, saya akan teruskan.

RK adalah cetusan pemikiran sekumpulan pemikir bagi menghadapi cabaran terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Walaupun rasa terkilan kerana tidak dilibatkan bersama mencetuskannya, saya cuba secara objektif menilainya.

Ada yang cuba membandingkannya dengan ‘precedent’ politik terdahulu misalnya dalam kes peletakan jawatan seorang menteri Umno-BN (ahli Parlimen) untuk bertanding kerusi DUN bagi laluan untuk diangkat menjadi MB.

RK tentunya mempunyai perhitungan yang berbeza dan punya kelainan dan tidak perlu mengambil insiden terdahulu sebagai ‘precedent’.

Bagi penulis, RK adalah satu ‘Pre-Emptive Attack’ dalam menghadapi ancaman yang  menggugah keutuhan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Kemuncak tujuan RK ialah: Satu pendekatan bagi mempastikan bukan sahaja negeri Selangor dipertahankan bahkan akan terus dilonjakkan menjadi negeri pelopor dalam Malaysia.

Daripada kedudukan Selangor sebagai negeri contoh, Pakatan mahu diberi kepercayaan oleh rakyat untuk mengurus Putrajaya pula sebagaimana Pakatan mentadbir Selangor.

Kecemerlangan Selangor akan menjadi hujah dan bukti bahawa Pakatan bersedia untuk mengangkat negara pula supaya dihormati dan maju.

RK wajar dinilai daripada bacaan politik menyeluruh (Al-Istikraq) yang menuntut, antara lain, supaya diambil tindakan yang bersifat 'menutup pintu-pintu kemudharatan' (Sadda Dzari’ah).

Pembaca tentu mengikuti bagaiman lawan politik sudah pun dan terus akan menyerang negeri ini dengan pelbagai kaedah dan penjuru. Pertentangan agama atas isu kalimah Allah semakin sengit dan api perkauman sengaja ditiupkan oleh unsur ekstremis dan pelampau.

Mereka tidak segan silu mengheret institusi sultan meskipun semua warga tahu bahawa negara mengamalkan Raja Berperlembagaan.

Isu yang lain seperti isu migrasi air dan pentadbiran serta tatakelola juga perlu ditangani secara berkesan supaya tidak dapat dibolosi anasir subvesif.

Dengan kata lain, RK adalah strategi yang terpaksa diambil bagi kemaslahatan yang disepakati untuk mencapai strategi bersama. Laluannya ialah Kajang yang sekali gus merupakan ‘faktor kritikal kejayaan’ dalam menjayakan gerakan ini.

Apakah semudah itu? Tentunya tidak! Risikonya besar. Dalam bahasa pelaburan,  risiko besar, untuk mendapat pulangan yang besar juga.

Tidak sukar menjangka bahawa seteru politik Pakatan akan merancang pelbagai strategi bagi menggagalkan rancangan ini.

Benar perang  ‘Khalid-Azmin’ sudah tidak boleh disorok lagi. Menjustifikasi RK sebagai kaedah penyelesaian adalah amat tidak wajar dan mungkin juga tidak tepat. PAS (dan DAP) akan pasti menolak kalau semua ini hanya untuk memenangkan satu-satu pihak.

Dengan kata lain, PAS akan awal-awal lagi menolak rencana ini, andainya itu sahaja kepentingan (maslahah) yang hendak dicapai atau itu sahaja kemudaratan yang hendak ditangkis kerana tidak setimpal dengan ‘risiko berat’ atau kemudaratannya (mafasid) yang bakal diterima bagi menjayakan rencana ini termasuk berlaku krisis pentadbiran.

Sebabnya jelas kerana menolak kemudaratan adalah lebih penting daripada mengambil kepentingan.

Namun perlu dipastikan tindakan ini tidak mencetuskan kemudaratan yang lebih besar seperti krisis kepimpinan di mana undang-undang tubuh negeri akan digantung. Semua itu mesti digarap dalam satu langkah yang bersepadu.

Wajar juga diingatkan bahawa RK harus direalisasikan kerana kemaslahatan yang hendak dicapai iaitu iaitu membina ‘negeri contoh’ dengan menggandingkan kepimpinan ekonomi Tan Sri Khalid Ibrahim dengan kekuatan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping tidak lupa akan kekuatan pemimpin Pakatan yang lain.

Pakatan Rakyat adalah pengalaman wadah PAS selaku gerakan Islam dalam Tahaaluf Siyasi.

Mengingatkan bahawa 5 kemestian utama dalam maqasid syariyah iaitu menjaga agama, akal, nyawa, keturunan dan harta benda, kini yang perlu ditambah adalah kepentingan keadilan dan kebebasan. Ia bakal menjadikan gerakan Islam lebih menyeluruh dalam persaingan global ini.

Maka RK mesti keluar dari kepompong pemikiran lama yang mengheret Pakatan kepada politik longkang dan jelek (Gutter Politics).

Penulis mahukan PAS/Pakatan Rakyat membawa negara ke arah satu politik baru yang lebih bersih dan adil supaya benar-benar dapat menjayakan agenda islah (penambahbaikan) serta mengangkat kemuliaan manusiawi yang sebenarnya.

Meskipun tidak diminta dan mungkin juga tidak berapa diperkenan pelbagai pihak, namun inilah pandangan penulis yang menjadikan beliau sangat teruja dan sangat bersemangat dengan ‘Rencana Kajang’ ini.

Kalau ada yang berpandangan penulis apologist kepada rencana PKR atau sesiapa pun, tuduhan itu sangat malang dan meleset. – 12 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments