Opinion

Benarkah demokrasi untuk semua: Surat terbuka buat Barack Obama

Presiden Barack Obama,

Semoga Tuan dan pentadbiran Tuan tahu bahawa seluruh warga dunia yang mencintai keamanan, khasnya orang Islam, berada dalam kejutan serta sangat marah terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Dataran Raba’ah dan Nahda di Mesir.

Sumber Ikhwan Muslimin mutakhir meletakkan lebih 1,000 terbunuh dengan lebih 10,000 yang cedera secara serius termasuk orang awam, wartawan dan jurugambar.

Pendirian Tuan yang tidak keruan mengenai penyingkiran Presiden Morsi sebelum ini dan kegagalan yang disengajakan untuk tidak mengutuknya sebagai ‘rampasan kuasa tentera’ sangat dikesali dan amat membingungkan dunia.

Tanpa menidakkan usaha pentadbiran Tuan yang ditanggapi sebagai tindakan tertekan tetapi terlambat mutakhir ini, khasnya percubaan John Kerry dan Senator John McCain, bagi menjayakan perdamaian, namun, langkah lebih awal yang tegas mengutuk rampasan kuasa tentunya mampu mengurangkan, kalau pun tidak dapat menghindari keseluruhan impak buruk tragedi ini.

Sikap ketidaktentuan Tuan mengakibatkan kebuntuan sekaligus menjadi pemangkin tercetus satu bencana nasional bahkan tragedi kemanusiaan yang bakal meninggalkan dampak geo-politikal yang besar di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Presiden Obama,

Perbuatan media Barat, secara berterusan, melabelkan Ikhwan Muslimin sebagai kumpulan ‘Islamis’ adalah sesuatu yang disengajakan dengan berniat buruk. Percubaan terbaru media Barat memburukkan mereka dengan lebel ‘violent’ atau ‘ganas’ dan ‘bekas pengganas’ adalah lebih jahat lagi.

‘Islamis’ dan ‘Islamisme’ adalah label jelek dalam pemikiran politik Barat yang bertujuan membezakan dan mengasingkan kelompok itu daripada orang ‘Islam biasa’ lain atau ‘ordinary Muslims’.

Mentakrifkan politik Islam sebagai ‘gerakan kontemporari yang berhasrat mengetengahkan Islam sebagai sebuah ideologi politik dan projek penubuhan Negara Islam’ dan orang yang berpegang dengan pandangan ini sebagai kumpulan ‘Islamis’ adalah silap sejak dari mula lagi.

Hakikatnya bahawa ‘orang Islam biasa’ yang memberi mandat dan sokongan kepada kumpulan Islam di Tunisia, Maghribi, Mesir dan di negara dunia Islam lain, mengisyarat serta mengesahkan bahawa ‘orang Islam’ umumnya mengiktiraf dan sangat memahami kehadiran, kepentingan dan peranan Islam dalam ruang awam dan pengurusan pemerintahan atau tata-kelola sosio-politik negara masing-masing.

Kemenangan pihak Islamis sama ada bersendirian atau bersama rakan kerjasama mereka adalah bukti atau testimoni jelas sokongan hakikat ini.

Presiden Obama,

Pemimpin Islamis dan organisasi politik mereka mahu mempercayai bahawa mereka boleh serta mampu sama-sama bertanggungjawab dan berperanan sebagai peserta atau aktor politik penting, bukan sahaja dalam proses pembangunan semula negara, tetapi juga menyumbang kepada pemurnian semula peradaban manusia.

Pengalaman gerakan Islam dan parti politik mereka, membuktikan bahawa kumpulan Islamis boleh memikul peranan itu, sekaligus mendukung objektif demokrasi.

Tidak dapat disangkal bahawa Presiden Morsi dan Ikhwan Muslimin serta rakan kerjasama mereka terpaksa berdepan dengan tugas maha berat bagi menebus kecamuk ekonomi dan keburukan politik sebuah negara yang baru sahaja mengalami pasca revolusi dengan segala macam kegiatan subversif bagi menjatuhkan kerajaan mereka.

Cabaran ini bukan satu yang melampau sifatnya serta menuntut keupayaan dan kemampuan kepemimpinan yang tajam dan pengalamn luas. ‘Islamis’, khasnya di Mesir dan Timur Tengah, sesungguhnya adalah kelompok yang belum pernah mengurus kuasa dan pemerintahan untuk sekian lamanya.

Ternyata Presiden Morsi dan pentadbiran pimpinannya tidak terlepas daripada kekhilafan itu dan perlu mengambil tanggungjawab atas beberapa kelemahan dan tanggapan kegagalan pelbagai pihak. Morsi juga mengakui bahkan memohon maaf atas kesilapan pentadbirannya.

Presiden Obama,

Namun, secara jujur, bolehkah Tuan berharap bahawa orang Islam, terutama kelompok yang dinamakan kumpulan Islamis itu, akan berterima kasih dan terhutang budi kepada Amerika Syarikat dan Angkatan Tentera Mesir kerana ‘menyelamatkan negara itu daripada tragedi persengketaan serta mahu memulihkan demokrasinya’?

Apakah Tuan mahu dunia mempercayai bahawa Mohammed Morsi ancaman kepada demokrasi lalu mewajarkan berlakunya rampasan kuasa tentera?

Bagaimanakah Tuan mahu jelaskan kepada dunia akan hakikat bahawa Tuan menyokong penyingkiran secara ganas serta tidak demokratik seorang presiden yang  memenangi pilihan raya bebas dan adil oleh angkatan tentera dan sekumpulan ahli politik yang kecundang dalam pilihan raya Mesir sebelum itu?

Apakah Tuan mahu kami mempercayai bahawa sebaik sahaja beliau dilantik sebagai presiden, Morsi menunggangi dan memperalat proses serta institusi politik yang berada di tangannya bagi mencapai objektif sempit kepartiannya sekali gus membelakangi kemaslahatan rakyat?

Apakah persoalan ini mampu Tuan sendiri yakini dan dijawab secara tuntas sehingga  mewajarkan penggunaan kuasa dan kekerasan melampau terhadap rakyat Mesir yang bertekad memperjuangkan keamanan dan kemurnian demokrasi negara  mereka itu?

Presiden Obama,

Dengan Mesir sekali lagi berada di bawah pemerintahan dan undang-undang tentera, kami semakin menyedari akan sudut gelap percaturan pentadbiran Tuan serta Barat vis-à-vis demokrasi dan pemerintahan yang sah di Timur Tengah dan tempat lain di dunia membangun.

Malang sekali, obor harapan dan demokrasi yang anda hulurkan ke Dunia Ketiga semakin menyuram kini dan gelap dek racun serta bisa hipokrasi dan dwi-standard Tuan.

Rupa-ruapanya ada satu ‘Standard’ bertujuan membiayai rakan subahat Tuan dalam Angkatan Tentera Mesir dan ahli-ahli politik sekularnya, sementara standard yang kedua bermatlamat melemahkan Ikhwan Muslimin yang terpilih secara popular,  sekali gus memetik picu dendam dan senjata tentera yang muncungnya dihalakan ke jantung  rakyat Mesir.

Hari ini, hati kami luluh dan tekak kami terasa mual ketika menyaksikan betapa  demokrasi diganyang semau-maunya melalui pembantaian rakyat seperti sedang berlaku di Mesir hasil subahat Tuan dengan junta tentera dan ahli politik sekular yang gagal tidak dipilih itu.

Setelah sekian lama kami, kelompok yang Tuan label ‘Islamis’ berusaha mendekati dan terlibat sama dalam proses demokrasi dengan jujur dan harapan menggunung, maka hari ini tentu menjadi begitu sukar untuk meyakinkan kelompok yang skeptik atau sangat sangsi di kalangan orang Islam akan kejujuran demokrasi itu sendiri kerana mereka kerap menjadi mangsa atau acapkali menyaksikan perkara sebaliknya serta kecewa dengan dwi-standard Tuan dan pihak Barat.

Biar pun Tuan tampak bersungguh memperkenalkan dan berkempen untuk demokrasi di seluruh dunia, tanggapannya kini adalah “Benarkah Demokrasi Untuk Semua?”  - 16 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments