Opinion

Apabila Najib kemaruk naikkan harga

Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak-Barisan Nasional (BN) semacam orang 'kemaruk' persis ‘baru lepas berpantang’. Sejak pembentangan Bajet 2014, Najib tidak lagi peduli akan kesan tindakan polisi kewangan yang membebankan kepada rakyat khasnya rakyat berpendapatan rendah.

Yang pentingnya beliau kini adalah untuk mengatasi bebanan hutang yang hampir sangat mencecah had statutori yang tidak diizinkan undang-undang yang digubal sendiri oleh BN satu ketika dahulu. Najib baru mengakui bahawa negara akan bankrap kalau langkah drastik dan konkrit tidak diambil segera. Najib semacam orang baru sedar dari koma atau mimpi negeri yang panjang. Kerana terlalu bermewah dan boros dahulu kini tindakan beliau dalam kegusaran dan perhitungan beliau serba tak kena nampaknya.

Kalau Maybank Investment Bank (IB) pada Oktober lalu mengumumkan inflasi paling tinggi dalam tempoh 20 bulan kerana kenaikan 20 sen RON 95 dan diesel pada September 2013 lalu, maka rakyat mesti bersiap dengan kenaikan inflasi yang paling parah pada tahun depan ini akibat pelbagai kenaikan yang dilakukan kerajaan Najib mutakhir ini.

Semasa mengumumkan tentang pengenalan GST dalam Bajet 2014,  Najib mengisytiharkan penarikan balik subsidi gula sebanyk 34 sen sekilo. Pelbagai alasan diberikan untuk kesihatan rakyat. Harga gula melonjak dari RM2.50 sekilogram ke RM2.84 sekilogram.

Kenapa harga runcit lebih mahal darioada harga pasaran gula mentah dunia adalah kerana isu monopoli. Gula diimpot oleh dua syarikat yang diberikan AP iaitu Felda Global Venture dan Tradewind.

Tetapi lebih pelik lagi, kedua-dua membeli gula secara kontrak jangka panjang yang dibuat oleh kerajaan sendiri bagi pihak mereka daripada pembekal gula mentah dunia. Meskipun harga gula dunia turun, kontrak jangka panjang yang kerajaan meterai adalah pada harga lama yang lebih tinggi. 

Sepatutnya kerajaan mesti letakkan risiko turun-naik harga pasaran komoditi ini (hedging) ini kepada pembekal gula yang mengimpot. Maka jelasnya kroni terus membuat keuntungan ratusan juta RM sementara rakyat tanggung impak kenaikan harga gula sebab kononnya kerajaan tidak sanggup lagi menampung subsidi.

Hakikatnya yang disubsidi adalah dua syarikat kroni yang terus untung hampir RM1 bilion mengikut dakwaan sesetengah pihak. Inilah yang dikatakan ‘celaka’ yang menimpa rakyat!

Bayangkan kalau Pakatan Rakyat perintah Putrajaya, kami tidak hanya beri AP kepada dua syarikat. Kami akan buka AP kepada semua pihak yang mampu mengimpot gula lantas mengizinkan persaingan tanpa diganggu atau diherot ‘kuasa pasaran’ atau ‘distortion of market forces’ dengan monopoli.

Semacam tidak puas menganiaya rakyat dengan kenaikan harga bahan bakar iaitu petrol dan diesel serta gula, semalam Menteri Tenaga, Teknolog Hijau dan Air, Maximus Ongkili mengumumkan bahawa tariff elektrik di Semenanjung dinaikkan dari 33.54 sen/kWj ke 38.53 sen/kWh bersamaan kenaikan 4.99 sen/kWj atau 14.89% (15%).

Di Sabah dan Labuan pula, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj. Kedua-dua kenaikan itu berkuatkuasa 1 Januari 2014, umum Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili (kanan) petang semalam.

Bagi membuktikan bahawa kerajaan prihatin kepada rakyat berpendapatan rendah, Maximus berkata kerajaan akan terus memberi subsidi kepada pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Labuan bagi penggunaan bawah 300 kWj sebulan.

Kerajaan katanya, akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20.00 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2014.

Di sini kerajaan Najib-BN tampak sama ada tak cerdik atau tak peka atau mungkin kedua-duanya sekali. Kesan kenaikan tarif adalah seperti juga ketika kesan gula atau bahan bakar seperti petrol dan diesel dinaikkan. Ingat! Beban bukan hanya pada harga bahan tersebut yang menghimpit rakyat.

Kecelakaan yang menimpa rakyat adalah kesan rantaian atau ‘knock-on chain effects’ yang dicetuskan oleh kenaikan bahan-bahan asas seperti bahan bakar petrol dan diesel, gula dan tarif utiliti asas seperti elektrik ini! Jelasnya kenaikan ini mencetuskan pelbagai barang makanan dan minuman juga perkhidmatan yang melibatkan tenaga dan elektrik bakal mengalami kenaikan harga.

Betullah kerajaan boleh membantu rakyat dengan pelbagai kaedah termasuk pembayaran rebat bagi melindungi golongan berpendapatan rendah. Tapi jangan sampai untung secupak, rugi segantang!

Yang rakyat mahu ingatkan Najib-BN ialah inflasi atau kos kenaikan barangan dan perkhidmatan akibat kenaikan tarif elektrik ini pasti akan membebankan semua rakyat. Tentunya yang berpendapatan rendah akan merasakan impak paling teruk. Mereka tidak mampu mendapat kenaikan pendapatan berbanding golongan eksekutif yang boleh mendapat kenaikan gaji secara mendadak.

Terkini diramalkan pelbagai pihak, termasuk Badan Penyelidik Bank Pelaburan (IB) seperti RHB dan Maybank, bahawa inflasi dengan ukuran Indek Harga Pengguna (CPI) bakal melonjak ke tahap 3.5% hingga 4% tahun depan. Tidak dapat dinafikan bahawa inflasi sebenar yang ditanggung rakyat adalah jauh lebih tinggi.

Bagi menangani unjuran buruk inflasi tahun depan, beberapa badan penyelidikan bank pelaburan (IB) membuat ramalan bahawa Bank Negara (BNM) akan menaikkan kadar pinjaman semalaman (OPR) dengan 25 hingga 50 basis point, dari 3.0% kin ke paras 3.25% ke 3.50%.

Bayangkan kesan kepada peminjam di segi kenaikan kos pinjaman dan bayari an ansuran bulanan mereka. Statistiktentang pinjaman tak-berbayar atau Non-Performing Loan (NPL) nampaknya sengaja disembunyikan BNM. Apakah semua ini akan meningkat kadar kebankrapan atau kemuflisan rakyat?

Sangat tidak bertanggungjawab untuk Najib menjadikan inflasi lebih teruk lagi dengan penarikan subdisi dan serentak memeras serta mencekik rakyat dengan cukai seumpama GST nanti. Rakyat seumpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Badan Utiliti gergasi seperti TNB ditubuhkan bagi memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Betul ia juga sebuah syarikat komersial. Namun rakyat mengingatkan Najib-BN bahawa akhir bulan Oktober lalu, TNB baru sahaja mengisytiharkan ‘keuntungan bersih’ untuk tahun kewangannya berakhir Ogos 2013 sebanyak RM4.61bilion berbanding RM4.41bilion tahun sebelumnya.

Maka syarikat-syarikat milik kerajaan seperti TNB wajar dan wajib mengimbangi khidmat kepada rakyat sebagai ‘pemilik’ atau ‘stakeholders’ sebenar negara ini dengan perhitungan keuntungan atau ‘bottomlinenya.

Sekali lagi, dalam pelbagai penerusan dasar monopoli dan amalan runding-langsung dalam projek berskala besar atau 'big-tickets items'', termasuk subsidi kepada syarikat Penjana Tenaga lebih Bebas (IPP) yang menelan berbillion RM setahun, Najib-BN lebih bersedia dan rela melindungi kroni mereka daripada melindungi rakyat teramai.

Sangat malang! – 4 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments