Opinion

Yusoff Osman pereka set teater

"Semuanya dilihat melalui mata hati, mata fikir, emosi dan ilusi, yang kadangkala kelihatan seperti jelmaan dunia 'metafizik' yang amat peribadi.

"Karyanya membentuk suatu konsep (tetapi bukan berbentuk seni konseptual) dalaman yang abstrak (tetapi bukan seni abstrak). Sememangnya Yusoff sangat gemar berbincang mengenai perkara yang ilogikal menjadi logikal."

Itu pandangan seorang akademik dan peneliti seni lukis Ismail Abdullah, terhadap Yusoff Osman, dalam tulisannya berjudul "Yusoff Osman: Alam Cahaya Tanpa Noktah" dalam buku yang diterbitkan sempena pameran lukisan "Alamiah II, Homage to Nature", pameran solo Yusoff Osman yang berlangsung pada 16-31 Januari 2016, di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang.

Seorang lagi peneliti seni dan kurator pameran, Nur Hanim Khairuddin, menyatakan melalui tulisannya dalam buku berkenaan: "Jika ditilik dari sudut bilangan pameran yang pernah disertainya sebelum ini di sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Yusoff kelihatan kurang prolifik dari segi penghasilan karya.

"Sungguhpun begitu, pembabitannya dalam dunia seni selama lebih empat dekad, sebagai pelukis dan juga pemerhati langsung, pastilah menjadikan dia seorang tokoh yang tidak kurang pentingnya di dalam sejarah seni rupa tempatan."

Saya mempunyai hubungan tersendiri dengan Yusoff Osman (yang juga dikenali sebagai Yusoff Datuk dan Yusoff Volkswagen di kalangan kawan-kawan). Dialah yang membuat rekabentuk set untuk hampir semua pementasan teater saya selepas "Bukan Bunuh Diri". Dialah pereka set teater saya. (Sekarang mereka tak panggil pereka set, mereka panggil sinografer).

Dalam buku keluaran ITBM tersebut saya bercerita mengenai penglibatan Yusoff dalam penghasilan teater saya, setakat yang saya ingat. Di sini saya ingin ceritakan satu daripadanya, yang saya anggap paling istimewa, iaitu untuk teater "Ana".

Paling saya ingat mengenai pementasan dekad 1970-an ini ialah telefonnya. Ada banyak telefon di dalam rumah itu. Masa itu belum ada telefon tangan lagi. Semuanya telefon yang dipasang tetap di rumah. Dan rumah biasanya ada satu sahaja telefon. Lebih-lebih pun ada dua, satu di bawah dan satu lagi di atas. Paralel. 

Yang ini, nak katakan rumah pun bukanlah rumah. Tetapi kalau baca skripnya memanglah, ceritanya nampak macam berlaku di ruang tamu sebuah rumah. Sebenarnya memang cerita itu berlaku dalam ruang tamu rumah pun. Cumanya yang nak ditampilkan drama ini bukannya cerita yang berlaku di ruang tamu itu.

Dengan kata lain, yang nak ditampilkan drama ini bukannya cerita zahir atau dialog luaran itu. Yang nak ditampilkan ialah "cerita" yang di dalam cerita itu.

Masa mula-mula mementaskannya kali pertama bersama pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Gurney, saya memang buat setnya ruang tamu sebuah rumah, dengan kerusi sofanya. Hasilnya tidak memuaskan. Terasa ia tak menjadi. Macam bukan itu dramanya. Tak sampai. Tak mendalami kehendak skripnya, walaupun skrip itu saya sendiri yang tulis.

Pelik juga ya! Saya sendiri yang tulis tetapi saya sendiri tak perasan perkara ini. Saya hanya perasan setelah mementaskannya dan merasakan saya gagal mengeluarkan isinya dan menunjukkannya dalam pementasan. Barangkali kerana pelakon-pelakonnya terdiri daripada pelajar-pelajar yang tak berpengalaman dalam lakonan dan tak belajar berlakon, maka saya lebih tertumpu melatih mereka berlakon. Barangkali. Saya tak pasti.

Saya pun tak ingat lagi berapa jumlahnya semua telefon dalam rekaan set Yusoff itu, tetapi saya ingat memang banyak. Dan saya seperti ternampak-nampak lagi di akhir cerita itu semua telefon berdering serentak, menjadi kuat bunyinya dan Ana terpaksa berlari mengangkat dan meletakkan kembali satu demi satu gagang telefon itu, bagi mematikan bunyinya dan apabila dirasanya semua dimatikan, masih ada lagi yang berbunyi – itulah yang satu terletak paling belakang di tempat yang lebih tinggi.

Kata Yusoff semuanya ada 11, dan yang satu di belakang itu warnanya putih, manakala yang sepuluh lagi semuanaya hitam.

Ya bayangkan dalam ruang tamu sebuah rumah ada 11 telefon. Saya pun tak ingat lagi mengapa diperlukan hingga sebelas. Dalam skripnya memang tidak dinyatakan banyak. Satu saja, macam kebiasaan di rumah-rumah. Dan dalam pementasan-pementasan yang dibuat pihak lain pun, (skrip ini antara karya saya yang banyak dipentaskan orang), hanya satu sahaja telefonnya.

Tetapi Yusoff Osman membuat rekabentuk set yang memerlukan 11 telefon. Apa rasionalnya?

Begini: Drama ini ada tiga watak – Ana, Emak dan Bapa. Kononnya, mengikut interpretasi kami (saya dan Yusoff), Ana dan Bapa menyembunyikan sesuatu dalam diri masing-masing daripada pengetahuan Emak. Ana juga menyembunyikan sesuatu daripada Ayah dan begitu juga sebaliknya, dan malah daripada penonton juga.

Maka ini dizahirkan dalam rekabentuk set, dengan mewujudkan halangan di antara mereka. Ruang lakon Emak (dilakonkan Faridah Merican) di bahagian depan pentas. Dia boleh dilihat semua orang; dan boleh dilihat keseluruhan dirinya.

Manakala ruang lakon Bapa (dilakonkan Krishen Jit) dan Ana (lakonan Uji Saadiah) hanya menampakkan sebahagian sahaja daripada diri mereka, kerana mereka masing-masing menyembunyi-kan sesuatu di dalam diri mereka. Hanya di bahagian akhir pementasan baharulah Bapa dan Ana keluar dari ruang mereka (ada prosesnya sedikit demi sedikit), dan membuka diri kepada Emak dan kepada penonton.

Rekabentuk set demikian itu memang sesuai dengan bentuk pentas di Panggung Eksperimen pada masa itu, iaitu berbentuk arena dan fleksibel. (Sekarang, hasil ubahsuai selepas kebakaran 2002, pentasnya prosenium). Pentas arena-fleksibel itu boleh ditonton dari sekeliling pentas, empat penjuru, atau tiga penjuru sahaja, satu penjuru lagi diguna untuk ruang lakon disamping ruang yang di tengah penonton.

Dan kedudukan pentas atau ruang lakonnya di aras lantai panggung, manakala tempat duduk penonton bertingkat-tingkat ke atas (tangga kambing). Yusoff menggunakan ruang lakon yang boleh ditonton dari tiga penjuru - depan, kiri dan kanan.

Disebabkan ruang lakonnya di paras yang rendah, pembahagian ruang-ruang lakon yang dibuat untuk tiga watak berkenaan itu dapat dilihat dengan jelas penonton. (Kalau pentas prosenium memang tidak sesuai).

Disebabkan interpretasi dan konsep tersebut, Bapa berada dalam ruang dia sendiri dan Ana pun berada dalam ruang dia sendiri, dan mereka tak boleh bergerak untuk mencapai telefon kalau telefon hanya ada di satu tempat sahaja. Maka itulah diwujudkan telefon untuk ruang lakon mereka masing-masing.

Tetapi kenapa sampai 11? Yang satu putih itu memang istimewa untuk peranannya di akhir sekali. Kalau satu untuk setiap pelakon, jadi tiga. Yang tujuh lagi untuk apa?

Saya tak ingat rasionalnya sekarang. Mungkin Bapa dan Ana memerlukan lebih daripada satu, mengikut daerah gerak mereka dalam proses ke arah menampakkan diri yang sebelumnya cuba disembunyikan itu. Mungkin. Atau barangkali Yusoff Osman lebih ingat. Wallahuak'lam! – 10 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments