Opinion

Sebuah surau dan program baca puisi bulanannya

Siri Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) sudah berlangsung selama 10 bulan sejak Januari 2015. Bertempat di sebuah madrasah atau surau, program baca puisi ini memang lain daripada yang lain. Tidak usah fikir banyak faktor satu sahaja cukup iaitu tempatnya berlangsung di sebuah surau.

Pernah ada di mana-mana, setahu anda sebuah surau atau masjid menganjurkan acara baca puisi secara tetap pada setiap bulan? Kalau ada tolonglah beritahu kami. Ingin juga kami ke sana menyaksikannya.

Adapun surau ini namanya Madrasah Tarbiyah tetapi sebab kerapnya di kalangan seniman dan budayawan daripada kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) mengadakan program di situ, bermula dengan "Himpunan Seniman-Budayawan 1 Muharam" pada awal Disember 2010 dan diikuti satu siri Bengkel Penulisan dan lain-lain program ia diberi gelaran "Madrasah Seni".

Baru-baru ini  berlangsung Seminar Falsafah Malaysia ke-3, selama 2 hari di surau ini pada 8 dan 9 Ogos lalu dihadiri sekitar 70 peserta kebanyakannya pelajar universiti peringkat sarjana di dalam dan luar negeri. Dr Mohamad Alinor Ab Kadir (seorang AJK Paksi) menjadi pengarah seminar ini.

Terima kasih pada pimpinan Cikgu Ishak Surin, imam surau yang juga ketua kampung di situ iaitu Kampung Banda Dalam yang nampaknya sangat dihormati ahli kariah termasuk golongan muda kampung yang selalu berkumpul di surau itu.

Tanpa kefahaman tekad budaya yang mendalam di sanubari Cikgu Ishak tidak mungkin surau itu disetujuinya menganjurkan pelbagai program bersama Paksi hingga diberi gelaran Madrasah Seni.

Bukan itu saja, tatkala seorang penasihat Paksi mendapat anugerah profesor emeritus daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) beberapa bulan lalu, surau ini meraikannya dengan suatu majlis keraian yang dihadiri penduduk kampung dengan jamuan masakan warisan kampung; dan Cikgu Ishak mengumumkan Profesor Dr Shaharir Mohd Zain, menjadi anak angkat Madrasah Tarbiyah.

Penglibatan surau dalam penganjuran baca puisi BPMS ini bukan sekadar membenarkan tempatnya digunakan juga memberi dan menyediakan segala prasarana atau kemudahan yang diperlukan; daripada menyusun kerusi, menyusun pentas dengan alatan siaraya dan lampunya, menyediakan minuman dan makanan, dan mengemaskan tempat itu seusai acara pada lewat malam. Semuanya dilakukan golongan muda surau itu.

Selain itu ialah ahli kariah yang datang berjemaah solat di surau itu – apabila selesai solat Isyak dan menikmati jamuan ringan yang memang disediakan surau itu pada setiap malam selepas tazkirah dan solat Isyak – mereka akan mengambil tempat di kerusi bahagian belakang untuk mengikuti persembahan.

Maka anda bayangkan bagaimana kelainannya majlis baca puisi ini. Namun apa yang anda bayangkan itu kemungkinan besarnya meleset kerana orang Kampung Banda Dalam inipun mempunyai kelainannya juga.

Cikgu Ishak bukan saja imam di Madrasah Tarbiyah dan ketua kampung bagi Kampung Banda Dalam tetapi dia juga adalah seorang aktivis BBK, di samping ketua sebuah parti politik bagi kawasan Batu. Kepemimpinannya bukan saja diterima orang Melayu tetapi juga orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Dia antara lain diterima masyarakat Cina menjadi ketua kepada gerakan menentang projek merobohkan bangunan warisan di Jalan Sultan, Kuala Lumpur dan  masyarakat India di kampung Railway, Sentul.

Sejarah kepemimpinannya bermula di zaman Ahmad Boestamam lagi. Dan sejak itu lagi dia menunjukkan sikap keterbukaannya hingga diterima masyarakat bukan Melayu di Kuala Lumpur.

Dalam sebuah tulisan di buku "Bung Ishak – Gigih Seorang Pejuang" yang diterbitkan sempena BPMS Oktober, Dr S Husin Ali mencatatkan begini:

“Sebelum satu Mesyuarat Agung Negeri, saya diminta beberapa Ranting Melayu untuk bertanding menentang Ishak. Saya kalah. Kebanyakan Ranting Cina dan sebilangan Ranting Melayu menyokong beliau.” (ms 108)

Itu pengakuan S.Husin Ali, bekas pengerusi Parti Rakyat Malaya (PRM), menceritakan pengalamannya bertanding di dalam parti itu, sebelum beliau diterima majoriti ahli parti itu mengetuai PRM beberapa tahun kemudian.

Buku "Bung Ishak – Gigih Seorang Pejuang" diterbitkan Paksi sempena BPMS pada 16 Oktober lalu, yang didedikasi khas untuk Cikgu Ishak Surin, meraikan usianya 81 tahun pada 5 Ogos lalu. Buku setebal 150 halaman itu diisi dengan 18 catatan dan 12 puisi  rakan seangkatan dan akrab dengannya seperti SN A.Samad Said, Koh Swe Yong, Othman Latiff, S.Husin Ali dan A.Shukur Harun.

Tokoh-tokoh BBK dan politik yang menghargai perjuangannya seperti Syed Shahir, Hassan Karim, Saari Sungib, Aruchelvan, Adam Adli juga turut menyumbang tulisan dalam buku ini.

Daripada kalangan penulis pula yang menyumbang ialah Siti Zainon Ismail, Pyanhabib, Razali Endun, Yusoff Ariffin, Arif Atan, Rozan Azen dan Nasser Mohamed.

Aktivis sosiopolitik yang tinggal di kampung berkenaan dan kenal rapat dengan Ishak juga menulis untuk tokoh yang mereka sanjung ini. Mereka ialah Rosden Mohd Yassin, S Ahmed, Shaharudin Mahmud, Baharom Shah Indera, Marzuki Zakaria dan Sofian Mohd Kamil, manakala pelukis kartun terkenal Rossem menyumbang karikatur.

"Bung Ishak – Gigih Seorang Pejuang" ialah buku ke-3 seumpamanya diterbitkan Paksi bagi menghargai tokoh yang mereka raikan dalam BPMS. Sebelum ini tokoh yang mendapat penghargaan sama ialah Sasterawan Negara A.Samad Said (April 2015) dan pejuang reformasi Ab Halim Ab Hamid atau Ayah Halim (Jun 2015).

Selain itu tokoh yang pernah diangkat  Paksi melalui program baca puisi bulanan mereka ialah Chan Yong Sin (dengan kumpulan puisi yang ditulis dalam tahanan, "Bebas"), Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (menteri besar Kelantan; mengenang kembalinya ke rahmatullah) dan Major Zaidi Ahmad (yang dipecat jawatannya kerana berkata benar mengenai dakwat hitam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah).

Kalau diperhatikan senarai tokoh yang diangkat melalui program puisi itu, hanya A Samad Said dan Chan Yong Sin saja daripada kalangan penulis dan penyair. Yang lainnya adalah tokoh politik dan pejuang di bidang tertentu. Kenapa demikian?

Jawapannya ialah Paksi lebih mengutamakan dan menghormati insan yang jelas dan berani menyatakan keprihatinan dan menunjukkan sikap dan prinsip menyebelahi keadilan dan kebenaran serta menentang atau tidak menyebelahi kezaliman dan ketidakadilan.

Penulis dan penyair yang tidak mempedulikan sikap dan prinsip berkenaan tidak dianggap sebagai seniman dan budayawan yang wajar dihargai, apatah lagi untuk diangkat dan disanjung.

Pada Ogos, Paksi berkolaborasi dengan penyair dari kelompok Ziarah Karyawan yang dipimpin Yassin Salleh dan Raja Ahmad Aminullah. Dalam ucapan aluannya di majlis BPMS Ogos, presiden Paksi menyatakan terdapat beberapa persamaan antara Paksi dengan Ziarah Karyawan.

Demikianlah sedikit kelainan yang terdapat pada program baca puisi di surau yang digelar Madrasah Seni di Jalan Gombak itu. – 29 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments