Opinion

Raya Haji dan lagenda korban Nabi Ibrahim

Beberapa hari menjelang 10 Zulhijjah dalam kalendar Islam setiap tahun, masyarakat Islam seluruh dunia akan mulai riuh membuat persiapan menyambut hari raya Aidiladha.

Antara persiapannya ialah menyediakan haiwan (lembu, unta atau kambing) untuk disembelih pada hari tersebut sebagai korban. Itulah agenda penting pada Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Haiwan yang disembelih itu adalah korban oleh seseorang atau sekumpulan orang. Manakala daging dari sembelihan itu sebahagiannya diagih-agihkan kepada orang miskin, untuk dimasak dan dimakan, dan ada juga yang membuat kenduri.

Juga sebahagian daripada riuh menjelang hari raya ini ialah suatu penceritaan atau pengkisahan istimewa yang diulang-ulang pada setiap musimoleh para pendakwah atau ustaz yang selalu diundang memberi tazkirah di masjid-masjid dan surau-surau; juga melalui radio dan televisyen.

Kemuncak penceritaan itu juga diucapkan di dalam khutbah raya, iaitu khutbah yang disampaikan selepas solat Hari Raya, yang menjadi sebahagian daripada ibadat solat yang dibuat dalam kumpulan beramai-ramai itu (berjemaah). Menunjukkan betapa pentingnya nilai dan falsafah yang terkandung dalam penceritaan itu, menyumbang ke dalam nilai keagamaan Islam keseluruhannya.

Apakah penceritaan istimewa itu? Itulah lagenda Nabi Ibrahim menyembelih anak lelaki kesayangannya Nabi Ismail. Suatu lagenda yang menimbulkan beberapa tanda tanya dalam fikiran saya sewaktu remaja dahulu.

Mengapakah Tuhan memerintahkan seorang manusia menyembelih anaknya sendiri, dan bagaimanakah seorang anak menjadi rela dan redha dirinya disembelih oleh bapanya, dan bagaimanakah peristiwa itu menyumbangkan nilai kemanusiaan dan keagamaan kepada sebuah agama dan tamadun?

Atau sejauh manakah kerelaan manusia bernama Nabi Ibrahim itu menjalankan perintah Tuhannya meletakkan pisau ke leher anak kesayangannya sendiri lalu menarik pisau itu memutuskan urat leher anaknya seperti orang menyembelih lembu?

Dan bagaimanakah pula si anak remaja bernama Ismail itu menyerahkan batang lehernya kepada ayahnya untuk disembelih? Tidakkah dia merasa gentar sedikit pun? Atau tidakkah ada perasaan di dalam dirinya untuk membantah kehendak ayahnya yang sangat pelik dan di luar kebiasaan perikemanusiaan itu?

Setiap tahun sejak remaja dahulu saya memikirkan dan merenung kisah lagenda ini. Hinggalah antara lainnya saya menemukan huraian makna dan falsafahnya di dalam buku “Hajj” (Haji) karangan Ali Shariati, yang agak memuaskan dan menjawab persoalan-persoalan itu.

Secara zahirnya yang disembelih dalam peristiwa ibadah korban pada hari ini ialah haiwan samada lembu atau unta atau kambing. Tidak timbul langsung hal orang sembelih orang itu. Tetapi nilai dan falsafah di sebalik peristiwa korban haiwan itu, seperti yang diulang-ulang ceritanya oleh para ustaz, pendakwah dan imam, adalah merujuk kepada lagenda Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Ismail.

Di dalam Al-Quran, lagenda itu termaktub pada surah 37, As-Saaffaat ayat 99 -109. Terjemahannya seperti berikut:

Dan dia (Ibrahim) berkata: “Aku hendak pergi kepada Tuhanku, yang memberi hidayah kepadaku” (99). Ya Tuhanku, kurniakanlah aku (anak) dari kalangan yang baik-baik (100). Maka Kami gembirakan dia dengan seorang anak yang penyabar (101).

Setelah anak itu sampai usia berusaha bersamanya, berkatalah dia: “Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu; maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Dia berkata: “Wahai bapaku, perbuatlah apa yang diperintahkan kepadamu itu. Nanti engkau akan dapati aku, Insyaallah, dari kalangan orang yang sabar” (102).

Setelah keduanya berserah diri, lalu dibaringkannya di atas pipinya (103). Kami pun memanggil dia, “Wahai Ibrahim! (104) Engkau telah membenarkan mimpi itu.” Demikianlah Kami memberi ganjaran kepada orang-orang yang berbuat kebaikan (105). Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata (106).  

Maka Kami menebusnya dengan seekor sembelihan yang besar (107). Dan Kami tinggalkan sebutannya pada orang-orang kemudian (108). Salam sejahteralah ke atas Ibrahim (109).

Itulah terjemahan teks Al-Qurannya. Itulah teks yang menjadi rujukan lagenda Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Ismail.

Nabi Ibrahim ketika itu berusia lebih 90 tahun (mengikut Hamka dalam Tafsir Al-Azhar; Ali Shariati mengatakan lebih 100 tahun). Dia sudah lama menginginkan anak selepas berkahwin dengan Sarah. Hingga berusia lebih 80 tahun tidak mendapat anak, dia berkahwin pula dengan Hajar (seorang hamba). Hajarlah yang melahirkan anaknya Ismail.

Bayangkanlah perasaannya seorang yang menginginkan anak dan baru mendapatnya ketika berumur sekitar 86 tahun (Hamka, Al-Azhar). Anak itu pula terpaksa dibesarkan di suatu daerah gersang yang terpencil, kerana isteri pertamanya Sarah sangat cemburu. Bayangkan hubungan kasih sayang yang sangat intim antara ayah dan anak itu.

Dan ketika anak itu sedang membesar menjadi remaja, dan sedang dia menikmati rasa bahagia dengan anak seorangnya itu, waktu itu tiba-tiba datang suatu perintah dari Allah menyuruh dia menyembelih anaknya.

Dan bayangkan – si ayah ini menceritakan pula perintah Allah itu kepada anaknya dan meminta pendapat anaknya pula terhadap perintah itu. Apa pendapat si anak? “Wahai bapaku,” katanya, “perbuatlah apa yang diperintahkan kepadamu itu. Nanti engkau akan dapati aku, insya Allah, dari kalangan orang yang sabar.”

Itulah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Diperintah Allah supaya menyembelih leher anaknya dan anaknya pula dikehendaki menyerahkan lehernya untuk disembelih oleh ayahnya. Tanpa apa-apa sebab pun. Bukan kerana si anak melakukan suatu kejahatan yang menyebabkan ayahnya menjadi sangat marah dan bencikan dia. Tidak ada sebarang sebab.

Hanya Allah menghendakinya demikian, dan meminta mereka melaksanakan kehendak-Nya itu, tanpa soal. Sebagai suatu ujian ke atas iman dan taqwa mereka. Ujian ke atas kepatuhan mereka kepada perintah Allah.

Apabila ternyata kedua-dua ayah dan anak itu pasrah kepada perintah Allah, maka pisau yang digunakan untuk menyembelih itu tiba-tiba tidak membekas pun di leher Ismail. Lalu Allah menukarkan Ismail dengan seekor kambing, buat disembelih oleh Ibrahim.

Demikianlah cerita sebuah lagenda, yang diulang-ulang penceritaannya pada setiap kali tiba Aidiladha, agar inti dari makna dan nilai pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail itu diambil iktibar dan pengajarannya oleh umat manusia sepanjang zaman.

Mengikut Ali Shariati, mesej dari kisah lagenda besar dan suci itu ialah bahawa ‘Ismail’ itu ialah lambang kepada sesuatu yang mengikat kita atau menghalang kita daripada bebas mematuhi perintah Allah, waima anak sekalipun.

Bagi Ibrahim anaknya Ismail itu seperti memberi sedikit gangguan kepada hubungannya yang selamanya sangat akrab dengan Allah. Maka Shariati bertanya – siapakah Ismailmu atau apakah Ismailmu yang perlu kau korbankan demi membersihkan jalan perhambaanmu kepada Allah, Tuhan yang Esa?

Tetapi malangnya hari ini masyarakat Islam sekadar mengucapkan atau mendengar penceritaan lagenda itu sebagai suatu ritual biasa sahaja, tanpa sebarang makna yang perlu dihayati, setiap kali mereka menyambut Aidiladha dan setiap kali mereka membuat korban seekor lembu atau satu bahagian daripadanya. – 10 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments