Opinion

Persoalan budaya gay dalam teater ‘Apocalipso’

Ia sebuah teater pendek, yang mudah dipentaskan. Pendek maksudnya tidak lebih daripada setengah jam pementasan atau lebih kurang begitu saja. Bergantung kepada pengarahnya. Boleh dipendekkan lagi dan boleh dipanjangkan sikit. Ikut keperluan dan kreativiti pengarah.

Mudah dipentaskan pula maksudnya tidak memerlukan peralatan atau persiapan yang banyak. Boleh dibuat secara mudah tanpa perlukan rekaan set, kostium, lampu, mekap dan props. Namun bolehlah juga dibuat dengan memerlukan semua itu. Lakonannya pun tidaklah memerlukan perwatakan atau penghayatan untuk menghidupkan perwatakan. Hanya lakonan mudah sahaja.

Lalu mengapa ia tidak dipentaskan sekian lama setelah skripnya siap ditulis sejak Ogos 2008 (disiarkan Harakah, 22 Ogos 2008)? Ada beberapa sebab. Pertama, pelakonnya agak ramai, sekitar 12 orang atau lebih (walaupun durasi pementasannya hanya 30 minit). Mencari pelakon untuk teater seramai itu di Kuala Lumpur, kalau tanpa kewangan yang mencukupi untuk membayar mereka, memang susah. Itulah sebabnya maka skrip 'Apocalipso' terbiar begitu saja sekian lama; walaupun secara teknikalnya ia tergolong skrip yang mudah untuk dipentaskan.

Banyakkah jumlah kewangan yang diperlukan untuk mementaskannya? Jawapannya: Tak banyak. Kalau tidak lebih RM30,000 itu maknanya tidak banyaklah untuk pementasan sebuah teater di Kuala Lumpur. Lalu kenapa ia tidak dipentaskan sebelum ini? Jawapannya: Tidak ada pihak yang mahu membiayainya. Kenapa? Kerana ia tidak berpihak kepada Umno-Barisan Nasional; sebaliknya berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Dan Pakatan Rakyat pula memang belum ada kesedaran dalam hal menghargai teater dan seni-budaya. (Saya berkata begitu kerana memang pengalaman saya membuktikannya; walaupun saya berusaha keras untuk mengubahnya).

Seperti skrip 'Apocalipso' ini. Walaupun jelas-jelas ia cuba mengimplikasikan bahawa fitnah lucah meliwat yang pernah dilemparkan kepada seorang tokoh yang tidak diingini oleh pihak penguasa itu sebenarnya adalah suatu perancangan rapi oleh suatu pihak tertentu, namun beberapa kali usaha untuk mendapat sokongan daripada pihak berkenaan (PR) bagi mementaskannya, tidak pernah membuahkan hasil (walaupun jumlah wang yang diperlukan sangatlah kecil).

Sebenarnya masalah mementaskan skrip bermutu yang siap ditulis, di negara ini, sudah saya bincangkan di ruangan ini dalam entri Disember 2013, di bawah judul "Di manakah skrip-skrip itu hendak dipentaskan?" Memang ia satu daripada masalah penting dalam perkembangan teater kita, maka Pertemuan Teater Malaysia yang dibuat di Universiti Utara Malaysia, 11-14 Ogos 2006 pun menjadikan temanya: "Mengaktifkan teater Malaysia".

Begitulah maka akhirnya tanpa diduga, tanpa dirancang dan tanpa difikirkan pun terlebih dahulu untuk mementaskannya dengan pelajar teater di sebuah universiti di Selangor, ia tiba-tiba terjadi.

Pada mulanya saya bercadang hendak membuat pementasan "Tamu Dari Medan Perang" dengan mereka; sebab dua bekas pelajar Universiti Malaya yang pernah terlibat dalam pementasan itu dua tahun lalu, boleh membantu saya. Tetapi apabila skrip itu diberikan kepada pelajar dan kami berbincang untuk mementaskannya, mereka agak keberatan.

Bukan kerana skrip itu dianggap berat dan sukar difahami (kebanyakan mereka berkata demikian), tetapi kerana skrip itu membuka peluang hanya untuk beberapa orang sahaja mengambil bahagian sebagai pelakon; khasnya dua orang sahaja untuk pelakon utama (seorang perempuan dan seorang lelaki). Manakala dialog yang perlu dihafal oleh dua pelakon utama itu pula terlalu panjang. Ia mungkin di luar kemampuan mereka.

Maka saya pertimbangkan pula beberapa skrip lagi (Teater Nabi Yusuf, Uda Dan Dara), dan masa pun terus berlalu, hingga akhirnya terasa yang masa sudah agak suntuk untuk pelajar-pelajar bersiap menghadapi peperiksaan. Ketika itulah saya teringatkan 'Apocalipso'. Apakah sesuai skrip itu dijadikan bahan untuk praktikal pelajar-pelajar peringkat universiti yang belajar teater? Saya merujuk dan meminta nasihat dua pensyarah di situ. Mereka memberikan lampu hijau. Maka itulah terjadinya.

Daripada kira-kira 20 lebih pelajar-pelajar itu hanya seperempat sahaja daripada mereka lelaki; sedangkan watak-watak dalam 'Apocalipso' hampir semuanya lelaki, dan skrip itu mengkehendaki mereka berlakon sebagai 'lelaki lembut', khasnya watak Balol si 'handsome boy' itu.

Saya tidak ada pilihan. Penyesuaian perlu dilakukan. Bukan sahaja berdasarkan bilangan peserta lelaki yang sedikit, tetapi juga berdasarkan kepada mereka yang secara jelas menunjukkan minat dan kesungguhan untuk berlakon.

Satu daripada watak utamanya ialah 'Image Consultant' (Perunding Imej). Skrip membayangkan dia seorang lelaki lembut. Nizam (yang saya minta membantu saya mengendalikan latihan) memilih seorang pelajar lelaki untuk melakonkan watak tersebut. Tetapi pelajar ini tidak menunjukkan gaya lelaki lembut. Apabila diminta mengucapkan dialog secara lembut pun dia tidak mampu melakukannya.

Kebetulan pula di antara semua peserta itu dia yang pandai menyanyi. Teater ini bermula dengan menyanyikan lagu 'Apokalip' (lagu M Nasir). Penampilannya dengan menyanyi lagu tersebut agak kurang sesuai pula untuk dia muncul lagi membawa watak Balol selepas itu. Maka saya tukarkan dia kepada watak lain, iaitu Director, dan seorang pelajar perempuan mengambil alih watak Balol.

Di sinilah saya tersangkut dengan satu persoalan yang selama ini kurang saya berikan perhatian. Orang kata haram lelaki berlakon jadi perempuan (menyerupai perempuan dan berpakaian perempuan). Betulkah demikian hukumnya di dalam Islam? Dan sekarang saya meminta seorang pelajar perempuan untuk mengambil peranan sebagai 'lelaki lembut', (iaitu lelaki), dan akan memakai pakaian lelaki, lengkap dengan songkok. Bagaimana? Bolehkah?

Ketika itulah saya mulai berfikir akan perkara ini. Apa yang saya fikirkan? Saya fikirkan sejauh manakah hari ini perbezaan dalam berpakaian antara lelaki dan perempuan itu masih sah berbeza? Tidakkah batas perbezaan itu sudahpun seringkali berlanggar dan bercantum, dan mencair, hingga hilang sudah perbezaannya?

Lagipun dalam 'Apocalipso' ini bukankah perkara itu yang diangkat menjadi tema dan persoalannya, selain daripada persoalan fitnah menggunakan tuduhan liwat itu? Budaya gay itu yang ingin ditonjolkan. Bagaimanakah menonjolkan persoalan budaya gay itu kalau hal berpakaian dan meniru gaya perempuan oleh pelakon lelaki dan meniru gaya lelaki oleh pelakon perempuan tidak boleh dilakukan?

Dan dalam situasi dan keterbatasan yang wujud pada kumpulan pelajar yang menyertai kursus teater ini, bagaimanakah seharusnya saya menyelesaikan atau mengatasi masalah pelakon untuk watak Balol itu?  

Marilah kita terus fikirkan lagi persoalan ini, untuk mendapat jawapan yang memuaskan. Sementara itu 'Apocalipso' akan dipentaskan eksklusif untuk pelajar universiti berkenaan, serta beberapa orang yang dijemput khas. Sekiranya anda berminat untuk menonton, sila hubungi saya melalui SMS di talian 019-7172408. – 18 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments