Opinion

Pendidikan seni kreatif dan apresiasi seni-budaya

Seni kreatif itu memang pelbagai bentuk dan sifatnya, seperti penulisan sastera (novel, cerpen, puisi, drama, esei); seni persembahan (muzik, tarian, teater tradisional, teater moden, komedi, puisi); seni tampak (lukisan, arca, ilustrasi, kaligerafi/khat, fotografi, kartun, ukiran, instalasi); rekabentuk atau dezain (percetakan, pakaian, hiasan dalaman, produk perindustrian); perfileman (filem/video, termasuk dokumentari dan animasi); kraftangan, persilatan dan sebagainya.

Memang sangat luas bidang cakupannya. Seseorang atau sesebuah badan seni agak tak mungkin mengambil semua jenis seni kreatif itu untuk dijadikan aktivitinya. Maka kumpulan yang saya terlibat misalnya Seniman Paksi Rakyat (Paksi), hanya aktif dalam bidang penulisan (novel, cerpen, puisi, drama, esei), persembahan puisi dan teater moden, dan pembuatan video dokumentari.

Di samping itu ada juga kawan-kawan yang aktif dalam nyanyian, perfileman, lukisan dan persilatan. Tetapi ia belum menjadi program utama dalam kalendar aktiviti Paksi.

Maka apabila sebuah institusi pengajian tinggi baru-baru ini meminta Paksi membantu mereka melaksanakan kursus atau bengkel yang disebut sebagai ‘seni kreatif’, saya hanya menyebut beberapa perkara sahaja yang boleh dibuat oleh Paksi, berdasarkan program seni-budaya yang menjadi aktiviti utamanya selama ini.

Program-program tersebut ialah baca puisi, pementasan teater, dan apresiasi seni-budaya. Timbul soalan: apakah apresiasi seni-budaya itu juga boleh dianggap sebagai seni kreatif?

Sebelum menjawab soalan itu elok kita fahami dulu apa maksud ‘apresiasi seni-budaya’ dan apa maksud ‘seni-budaya’ itu sendiri. Perhatikan istilah yang digunakan di sini ialah ‘seni-budaya’ dan bukan ‘seni dan budaya’. Kalau ‘seni dan budaya’ itu rasanya semua orang faham maksudnya, kerana ia selalu digunakan.

‘Seni-budaya’ ialah gabungan dua istilah menjadi satu. Kita semua tentu faham makna seni dan makna budaya. Secara mudahnya ‘seni’ ialah sesuatu yang kreatif dan imaginatif, manakala ‘budaya’ tidak semestinya kreatif dan imaginatif. Budaya itu maksudnya cara dan nilai dalam kehidupan manusia, termasuk komunikasi, agama, adat resam dan pemikiran.

Penulisan novel, cerpen, puisi dan drama itu kreatif dan imaginatif. Pementasan teater dan persembahan puisi juga melibatkan hal-hal kreatif dan imaginatif. Tetapi ‘apresiasi seni-budaya’ seperti bicara buku misalnya, pada asasnya bukanlah sesuatu yang kreatif-imaginatif, walaupun buku yang dibicarakan itu buku kreatif-imaginatif seperti puisi, novel, cerpen atau drama. (Tidak dinafikan ada orang mampu melakukannya secara kreatif-imaginatif juga).

Dan bicara buku tidak semestinya membicarakan buku yang kreatif sahaja. Bicara buku juga membicarakan buku yang tidak kreatif. Namun aktiviti bicara buku itu sendiri secara umumnya adalah suatu aktiviti budaya. Demikian juga aktiviti kuliah ilmu dan forum atau seminar. Kesemua itu adalah aktiviti yang melibatkan pemikiran.

Maka bagi memudahkan pemahaman umum terhadap aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Paksi – baca puisi, pementasan teater, persembahan muzik dan lagu, bicara buku, kuliah ilmu, seminar, forum dan kajian mengenai seni dan budaya – saya memilih guna istilah ‘seni-budaya’, untuk semua aktiviti tersebut.

Kembali kepada soalan: apakah apresiasi seni-budaya itu juga boleh dianggap sebagai seni kreatif? Maksud ‘apresiasi seni-budaya’ ialah keadaan menikmati dan menghargai seni-budaya. Ini penting. Sangat penting, bagi saya. Namun dalam masyarakat kita hari ini apresiasa terhadap seni-budaya sangat kurang, malah dhaif. Sebab itulah Paksi memberi penekanan kepada aspek ini.

Program seperti bicara buku, kuliah ilmu dan forum/seminar yang berkaitan dengan hal-hal seni dan budaya, itu kita anggap sebagai program apresiasi seni-budaya. Begitu juga kajian mengenai seni dan budaya. Paksi melakukan kajian ini misalnya, untuk mengetahui siapakah paling layak diberi anugerah “Tokoh Budaya Daerah”, bagi setiap daerah di Selangor (yang menjadi sebahagian acara dalam JBS).  

Malah kajian juga dilakukan untuk mendapatkan kumpulan seni yang paling aktif di daerah-daerah berkenaan, untuk diangkat membuat persembahan dalam siri persembahan JBS itu. Aktiviti-aktiviti ini tentu tidak sesuai disebut sebagai seni kreatif, tetapi sesuai saja disebut seni-budaya.

Kenapa Paksi mengambil aktiviti yang tidak sesuai disebut seni kreatif itu menjadi sebahagian aktiviti utamanya? Jelas! Sebabnya sangat jelas. Paksi percaya bahawa aktiviti seni harus boleh memberi manfaat kepada manusia. Bukanlah seni kreatif itu tidak memberi manfaat. Seni kreatif memang memberi manfaat, dan aspek ini akan menjadi lebih kuat lagi kalau ia dibantu dengan aktiviti-aktiviti bukan kreatif seperti bicara buku, kuliah ilmu, forum/seminar dan juga aktiviti kajian seni dan budaya.

Walhasilnya – sebagai sebuah badan atau organisasi/institusi yang berasa bertanggungjawab bagi memajukan seni dan budaya di negara ini, Paksi komited dengan program-program yang dijalankannya seperti disebut di atas itu – samada ia seni kreatif atau seni-budaya.

Seni pada asasnya adalah kreatif dan imaginatif. Tetapi untuk menghidupkan apresiasi terhadapnya, untuk mewujudkan masyarakat yang menghargai seni (yang kreatif itu), ia juga memerlukan program/aktiviti yang tidak kreatif. Maka itu adalah jelas bahawa ‘apresiasi seni-budaya’ juga mestilah diikutsertakan dalam program pendidikan seni kreatif.

Apa maksud ‘apresiasi seni-budaya’? Maksudnya ialah seseorang itu berpengetahuan mengenai seni kreatif dan budaya secara umumnya dan mempunyai minat untuk memahami, menikmati dan mengikuti perkembangannya. Mungkin tidak kesemua bentuk dan jenis seni dan budaya itu. Mungkin hanya sebahagian sahaja daripadanya.

Mungkin hanya penulisan sahaja, atau seni persembahan sahaja, atau seni tampak sahaja, atau rekabentuk sahaja, atau perfileman atau kraftangan atau persilatan. Yang pentingnya setiap seorang anggota masyarakat seharusnyalah meminati sekurang-kurangnya satu bentuk/jenis seni kreatif.

Seperti disebut di atas, di kalangan ahli-ahli Paksi aktiviti seni-budaya yang selalu dilakukan ialah penulisan (puisi, cerpen, novel, drama, esei), baca puisi, persembahan muzik dan lagu, pementasan teater, bicara buku, kuliah ilmu, seminar, forum dan kajian mengenai seni dan budaya.

Mulai tahun 2010 Paksi membuka satu medan aktiviti yang baru dalam dunia seni-budaya, iaitu memberi sokongan moral melalui aktiviti seni-budaya bagi perjuangan melestarikan Kampung Melayu di pinggir ibukota Kuala Lumpur (dengan segala khazanah seni-budaya yang tersimpan di dalamnya). Ini adalah jenis aktiviti yang berlaku secara berterusan tahun demi tahun.

Adapun pakej aktiviti Jelajah Budaya Selangor (JBS) pula, seperti saya sebut dalam Prakata buku yang bakal terbit, “Jelajah Budaya”: “Saya berpendapat program JBS ini perlu direkod kerana pengalaman lebih 40 tahun saya dalam seni-budaya membuktikan bahawa inilah contoh aktiviti seni-budaya yang terbaik. Sesuai untuk diadakan setahun sekali bagi setiap daerah.”

Amat jelas tujuan JBS iaitu untuk menghidupkan dan menyemarakkan apresiasi terhadap seni kreatif dan juga terhadap ilmu dan ilmuwan. Melalui program itu juga diharapkan dapat mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap seni, kepada berpandangan positif terhadap seni.

Maka saya berharap kerjasama antara Paksi dengan sebuah institusi pengajian tinggi yang disebut di atas tadi, akan dapat difokuskan kepada soal apresiasi seni-budaya itu lebih daripada soal-soal seni yang lain. – 4 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments