Opinion

‘Nur’ teater Melayu yang memenangkan Kristian?

Ada sebuah teater hasil karya seorang penulis muda, dipentaskan di Pulau Pinang 13-14 Jun lalu dan akan dipentaskan lagi di Tanjung Malim akhir Oktober ini.

Ia diberi judul “Nur”, sempena nama watak utamanya. Pementasannya kira-kira 20 minit begitu.

Sebuah karya yang menarik. Mengenai seorang perempuan Islam, yang menukar agamanya menjadi Kristian.

Suatu persoalan yang sedang hangat menjadi isu dalam masyarakat multi-agama di negara kita sejak beberapa tahun mutakhir ini.

Mengapa saya katakan ia sebuah karya yang menarik? Saya katakan demikian kerana ia menimbulkan persoalan kepada saya – apakah tujuan pengarangnya menulis teater ini?

Selalunya kalau pengarang Islam menghasilkan karya yang sedemikian persoalannya ia pasti akan menonjolkan Islam sebagai agama yang benar, dan orang yang murtad pasti akan menyesali perbuatannya atau akan digambarkan dia menjadi murtad kerana sebab-sebab yang di luar kawalan atau kesedarannya.

Namun “Nur” karya Lena Farida Hussain Chin ini berbeza. Secara mudahnya saya katakan kalaulah saya tak tahu siapa pengarangnya, tentu saya akan fikir pengarangnya seorang Kristian.

Sebab apa? Sebab karya itu memberi kemenangan kepada Kristian. Mengapa Lena Farida Hussain Chin memberi kemenangan kepada Kristian?

Pada mulanya apabila saya tanya demikian dia jawab: tidak. “Realitinya dia memang murtad,” katanya.

Lagipun persembahan itu diakhiri dengan ibu mengucap dua kalimah syahadah dan sepotong tafsir al-Quran yang berkenaan, yang dikira boleh memberi penjelasan, dipaparkan kepada penonton melalui slaid.

Saya jawab, “Sekadar ibu mengucap di akhir pementasan itu tak cukup untuk memenangkan Islam. Itu hanya cukup untuk menunjukkan yang ibu itu tetap Islam walaupun anaknya meninggalkan Islam.”

Sungguhpun saya menganggapnya sebuah karya yang menarik, saya tetap tak dapat hilangkan bayangan kontroversi yang akan timbul di kalangan penonton, yang pastinya kebanyakannya adalah Islam.

Dan mengikut Lena Farida, memang pun hal tersebut terjadi pada pementasan yang dibuat Jun lalu di Pulau Pinang itu.

Ya, apakah pengarangnya sengaja hendak memaparkan realiti atau menonjolkan realitinya yang memang wanita Melayu itu, seperti yang sudah beberapa kali terjadi dan heboh diperkatakan berikutan kes-kes berkenaan dibawa ke mahkamah, mereka sudah beberapa kali “memenangkan” Kristian yang menjadi pilihan mereka itu.

Memang itu realiti. Dan kita selalu melupakannya setelah berlalu beberapa tempoh waktu. Kita seperti mudah melupakannya.

Tetapi apabila realiti itu diangkat sebagai sebuah karya seni dan dipersembahkan ke hadapan kita, ia memberi kesan yang berbeza, dan ia seperti tidak akan mudah dilupakan.

Dari sudut itu “Nur” memang sebuah karya yang menarik. Ia tidak bertujuan untuk berhujah mencari kebenaran pun.

Sebahagian dialog Nur mungkin seperti berhujah juga untuk menunjukkan kewajaran mengapa dia membuat pilihan yang walaupun diketahuinya akan melukakan dan meremuk-redamkan hati dan perasaan ibu dan ayah serta seisi keluarganya. Tetapi ia hanya sepihak sahaja.

Pihak ibunya tidak menyambut dengan berhujah balas. Ibu hanya meluahkan emosi kasih sayang seorang ibu yang hancur luluh oleh tindakan nekad anak perempuan kesayangannya itu.

Dan pengarang memilih (walaupun dalam durasi keseluruhan drama yang pendek itu) untuk memasukkan episod pembaptisan Nur menjadi Kristian, serta monolognya kepada Tuhan “Ratu Maria yang pemurah”, “bonda rahmat”, Yesus dan sebagainya itu.

Tentulah ia meningkatkan lagi kesan bahawa pengarang sengaja memenangkan Kristian.

Lagipun, karya ini terlalu sederhana. Hanya ada dua watak sahaja – Nur dan ibu, dengan beberapa monolog.

Terlalu pendek dan ringkas untuk menjawab banyak soalan yang mungkin timbul atau ditimbulkan dalam fikiran penonton.

Ia bukan sebuah drama (seperti disebut tadi) yang bertujuan untuk berhujah mencari atau membentangkan hujah-hujah kebenaran. Lalu apakah tujuan pengarangnya menghasilkan teater ini?

Terdapat sedikit imbasan atau bayangan feminisme – seperti cuba menyalahkan pendidikan atau suasana kehidupan keluarga Islam yang agak ketat disiplin kepatuhan kepada perintah-perintah agama yang diawasi oleh sang ayah (seorang imam) dan abang; yang mungkin boleh dilihat sebagai faktor mengapa Nur (yang tak tinggal solat dan aktif berdakwah waktu di universiti) memilih untuk menganut Kristian.

Tetapi karya ini terlalu pendek dan ringkas untuk sebuah persoalan yang besar itu. Maka kita perlu berfikir semula apakah sebenarnya tujuan pengarangnya?

Saya mengulangi menyebut hal ini kerana – kalaulah kita terfikir apakah tidak mungkin pengarangnya cuba berdakyah untuk Kristian, maka kita mempunyai banyak alasan untuk mempercayai demikian.

Tetapi apakah mungkin Lena Farida Hussain Chin, yang kita kenal dia seorang Muslim itu, akan berdakyah untuk Kristian? Tentunya tidak.

Kerana kita kenal dia seorang Muslim. Namun begitulah hakikat teksnya menunjukkan betapa ia tidak dapat membezakan – apakah ia sebuah dakyah Kristian atau ia sebuah provokasi supaya orang Islam berfikir bagaimana mengatasi masalah murtad?

Boleh juga karya ini dilihat sebagai mempunyai akhiran yang terbuka, yakni memberi kebebasan kepada penonton untuk berfikir sendiri – apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh karya ini?

Sebuah karya yang bukan sahaja provokatif, tetapi agak mudah untuk disalah tafsir dan disalah fahami, dan memungkinkan pelbagai risiko ke atas pengarangnya. (Tentunya Lena Farida cukup bersedia untuk itu).

Sayangnya saya belum berkesempatan untuk mengalami sendiri kesan daripada pementasannya, yang dilakonkan oleh Siti Nurshahira (sebagai Nur) dan Nadhilah Suhaimi (sebagai ibu), di bawah arahan pengarangnya sendiri Lena Farida.

Sebelum pementasan di Auditorium P Ramlee Jun lalu itu, teater ini juga pernah dipersembahkan di Pelenggang Cahaya, Universiti Sains Malaysia pada tahun 2012.

Nampaknya pementasan di UPSI Tanjung Malim pada 25 Oktober ini juga tak dapat saya tonton, kerana bertembung dengan program Himpunan Budayawan 1Muharam di Kampung Banda Dalam, Kuala Lumpur.

Mengandaikan pementasannya dalam imaginasi memang saja boleh, tetapi itu bukanlah hasil teater yang sebenar. Teater dalam imaginasi hadir tanpa intepretasi sang pengarah, maka siapakah yang bertanggungjawab?

Demikianlah – pandangan di atas itu hanya berdasarkan skripnya sahaja, dan saya masih mencari kesempatan untuk hadir mendapatkan pengalaman dan kesan sebenar dari menonton pementasannya.

Lena Farida yang sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Sains Malaysia kini adalah seorang yang aktif menjalankan aktiviti teater dan seni-budaya.

Membaca skrip “Nur” itu merangsang saya untuk menulis artikel ini, sementara menunggu untuk menonton pementasannya. Malah dia menjanjikan banyak lagi pementasan. – 9 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments