Opinion

Naratif satira P Ramlee (Bahagian 1)

Saya tumpukan perbincangan ini kepada tiga filem sahaja, yang saya anggap sebagai tiga filem satira P Ramlee yang terkuat, iaitu Musang Berjanggut, Madu Tiga dan Tiga Abdul.

1. Musang Berjanggut

Apabila ingat pada fiem Musang Berjanggut (1959), imej pertama yang akan hadir dalam ingatan kita ialah raja yang sanggup merangkak menjadi kuda sambil menanggung seorang perempuan yang duduk di atas belakangnya dan memukulnya dengan sebatang tongkat nipis. Suatu imej yang sangat menghina. Dan imej itu sangat kuat, kerana beberapa sebab. Pertama, beraninya P Ramlee, sebagai pengarah filem, membuat adegan tersebut. Itulah satu-satunya adegan yang seberani itu pernah dicipta oleh mana-mana pencipta karya seni di Malaysia, bagi menggambarkan hinanya, gelojohnya dan bodohnya seorang raja. Tidak ada orang lain yang mempunyai keberanian setinggi itu.

Sebab kedua imej itu sangat kuat ialah kita memang biasa dengan imej itu. Barangkali sebahagian kita pernah melakukannya sendiri, waktu kanak-kanak dahulu. Kita main panjat-panjat kuda. Kadang-kadang kita menjadi kuda dan kadang-kadang orang lain menjadi kuda dan kita memanjatnya. Tetapi waktu itu kita masih anak-anak kecil. Tak mengapalah. Itu hanya satu permainan kanak-kanak (sebelum wujudnya pelbagai computer game seperti sekarang). Dalam konteks permainan kanak-kanak, tidak ada siapa yang menghina sesiapa dan tidak ada sesiapa yang terhina. Kadang-kadang bapa kita sendiri yang menjadi kuda dan kita memanjat di atas belakang bapa kita. Itu hubungan intim kasih sayang bapa dengan anak. Ada keikhlasan dalam permainan itu.

Berbeza apabila seorang perempuan dewasa, isteri orang pula, menyuruh demikian pada lelaki yang datang kepadanya dengan hasrat hendak melakukan perbuatan seksual, dan dia langsung tidak berminat terhadap lelaki tersebut. Apatah lagi pada waktu itu juga ada dua lelaki lain yang sama-sama nakal seperti raja itu, dapat melihatnya; dan mereka itu pembesar negara yang berkhidmat dengan raja itu sendiri. Suasana menjadi gamat dengan kelakar. Kenapa kelakar? Kerana lakonannya dibuat secara kelakar, tidak secara serius, menyebabkan kehinaan terhadap raja itupun tidak begitu dirasakan oleh penonton ketika menontonnya.

Bayangkan kalau filem itu dibuat sekarang, bukan pada 1959. Tidak akan terlepas daripada guntingan dan sekatan Lembaga Penapis Filem. Sebab apa? Ia menghina raja, dengan penghinaan yang sangat dahsyat! Tak terfikir oleh otak biasa, hendak menghina raja sampai begitu dahsyat. Bukan setakat melutut di hadapan perempuan, tetapi tunduk merangkak dan merelakan perempuan duduk di atas belakang, memperkudakannya sambil memukulnya dengan sejenis cemeti supaya dia merangkak membawanya berkeliling dalam rumah, dengan disaksikan oleh dua pembesar negara yang di bawah kuasa pemerintahan raja itu sendiri. Apakah penghinaan yang lebih dahsyat daripada itu?

Tetapi apakah itu sebenarnya mesej yang hendak disampaikan oleh P Ramlee? Saya fikir bukan sahaja itu tetapi lebih lagi daripada itu. Apabila Puspawangi (perempuan itu) pukul belakang raja, P Ramlee bukan sahaja pukul belakang raja tetapi dia pukul belakang semua lelaki waima yang menjadi raja sekalipun, tak terkecuali; sebab semua lelaki dalam hal nafsu terhadap wanita adalah sama sahaja keinginan atau kemaruk dan gelojohnya, termasuklah Datuk Nikah Kahwin, iaitu orang agama yang berjawatan setaraf mufti pada hari ini.

Musang Berjanggut bukan filem mengkritik raja tetapi filem mengkritik semua orang, khasnya lelaki. (Perempuan juga dikritiknya apabila Tun Nila Utama menolak semua perempuan di dalam negerinya yang dianggap tidak layak menjadi isterinya sebab mereka itu semuanya adalah betina, bukan perempuan).

Ada empat orang yang berjawatan paling tinggi dalam pemerintahan negeri Pura Cendana, yang rajanya bernama Alam Shahbana itu - Datuk Bendahara, Datuk Bentara Mangku Bumi, Datuk Pujangga dan Datuk Nikah Kahwin. Keempat-empatnya sudah lanjut usia, sudah tua. Apabila Tun Nila Utama putera raja (lakonan P Ramlee) pulang dari perantauan, datang mengadap Raja (ayah angkatnya) dengan membawa seorang perempuan dan memperkenalkannya sebagai isterinya, Raja menyambutnya dengan semacam reaksi - "O perempuan!..." katanya sambil melihat kepada empat pembesarnya, seorang demi seorang, sambil mengulangi kata "perempuan!..." itu; kita pun dapat menangkap mesejnya seolah-olah berkata: 'oh inilah rupanya yang dikatakan Tun Nila sebagai 'perempuan', yang berbeza daripada semua yang ada di negeri ini yang dianggapnya sebagai betina itu.

Dan ketika Raja Alam Shahbana (lakonan Ahmad Nisfu) membuka hijab yang menutupi wajah Puspawangi menantunya (lakonan Saadiah), dia menunjukkan reaksi terperanjat, melopong mulutnya, tidak terkata, melihat betapa cantiknya perempuan itu. Dia terpegun, tidak sedar, hinggalah permaisurinya menepuk tangannya.

Lakonan gaya P Ramlee dalam kebanyakan filem arahannya, khasnyua Musang Berjanggut, adalah lakonan yang sengaja dibuat-buat atau sengaja digayakan (stylized). Ia bukan lakonan natural (atau realisme) yang meniru realiti kehidupan setepatnya. Gaya yang dibuat-buat atau sengaja dilebih-lebihkan itu pula bertujuan untuk menimbulkan suasana kelakar. Kelakar yang bukan semata-mata kelakar tetapi kelakar yang penuh sindiran dan mengandungi mesej.

Dalam Musang Berjanggut, khasnya lakonan watak Raja dan empat pembesarnya itu, lakonannya adalah jenis yang digayakan ini. Bukan sahaja lakonannya digayakan dan dilebih-lebihkan tetapi bahkan pembinaan atau pengolahan watak-wataknya juga. Raja dan empat pembesarnya itu seperti dikarikaturkan. Nafsu dan keinginan mereka kepada perempuan itu digayakan begitu menonjol, seolah-olah orang tua itu langsung tidak punya rasa malu.

Apakah tujuannya P Ramlee berbuat demikian? Apakah dia terpengaruh dengan pandangan Freud mengenai seks sebagai pendorong utama gerak laku manusia? Saya tidak fikir begitu. Saya percaya P Ramlee sengaja menunjukkan demikian sebagai satu teguran dan kritik sosial. Bahawa dorongan dan keinginan atau nafsu sedemikian itu sememangnya wujud dalam diri semua manusia, tidak terkecuali hatta raja sekalipun, hatta tokoh agama sekalipun - muda mahupun tua. Itulah hakikatnya diri manusia kalau nafsu di dalam diri itu dibiarkan bebas tidak dikawal. Lihatlah betapa hodohnya dan betapa bodohnya manusia!

2. Madu Tiga

Satira kedua ialah Madu Tiga (1964). Saya pernah tulis artikel mengenai filem ini, beberapa tahun dulu, kerana tertarik dengan beberapa unsur absurd di dalamnya. Saya dulu minat teater absurd. Karya-karya teater saya dulu pun dianggap oleh pengkritik dan pengkaji teater Malaysia sebagai teater absurd.

Apa maksud unsur absurd di sini? Maksudnya ialah sesuatu peristiwa atau pemikiran yang tidak mengikut logik biasa. Kalau ikut logik biasa kita kata mustahil berlaku semacam itu. Contohnya dalam Madu Tiga waktu P Ramlee dikejar oleh tiga isterinya, dia lari ke rumah bapa mertuanya.

Cuba ingat, waktu dia masuk bilik dan keluar bilik di tingkat atas rumah itu. Di tengah-tengah ada lorong, di kiri kanan ada beberapa bilik. Dia masuk bilik lain, dia keluar bilik lain. Kemudian dia masuk bilik sebelah kanan, dia keluar ikut bilik sebelah kiri. Kemudian dengan cepat bila dia masuk saja bilik di sebelah kiri, dia terus keluar ikut bilik kanan yang di hujung sana. Tidak masuk akal. Macamana boleh berlaku? Mustahil. Tetapi P Ramlee buat, dan penonton tidak kisah pun, penonton terima, kita pun terima, walaupun kita tahu perkara itu mustahil berlaku.

Contoh lain - di akhir filem itu, jalan mati, ada jambatan sempit atas sungai, beberapa orang sedang usung benda besar dan berat. P Ramlee tidak boleh lalu. Tiga isteri yang sedang kejar dia sudah sampai di situ. Dia nak ke mana? Terpaksa terjun sungai. Lepas itu apa yang kita tengok? Elok saja P Ramlee berdiri tercegat di tengah sungai. Air cetek. Baju pijama yang dia pakai tak ada bekas kena air pun. Dan dia siap angkat lagi baju itu di paras lutut supaya tidak kena air. Itu satu pandangan yang tidak mungkin terjadi. Tapi kita ketawa. Kita melihat itu sebagai kelakar.

Dan sebelum itu, ada Apek hendak bunuh diri, atas pokok, betul-betul di atas jalan raya. Bila dia terjun, jatuh elok saja terduduk atas kerusi dalam kereta sport yang sedang bergerak laju, di sebelah P Ramlee yang sedang memandu. Kita ketawa! Apek ini ingat dia sudah mati, dan bila mati dia dapat naik kereta racing. Kemudian, akhir filem, P Ramlee tinggalkan dia di tepi jambatan, suruh dia pegang bendera, duduk atas batu, tunggu untuk jawab soalan kubur. "Hidup pun susah, mati pun susah!" kata apek. Dan kita ketawa. – 3 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments