Opinion

Menunggu MB baharu dengan harapan dan permasalahan budaya

Diberitakan pihak Istana Selangor sudah pun mengeluarkan surat jemputan untuk upacara mengangkat sumpah menteri besar yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada Selasa 23 September. Maka akan berakhirlah suatu musim penantian yang penuh gelora, kecelaruan dan pancaroba itu. Harap-harapnyalah!

Sementara itu, sebagai aktivis dan orang yang sangat percaya kepada sumbangan besar seni budaya kepada pembangunan tamadun bangsa, perkara utama yang saya fikirkan tentulah tidak lain daripada hal seni budaya, atau implikasinya dalam pelantikan baru itu.

Terlalu ramai orang yang tentunya akan memikirkan dan membincangkan implikasi politik, sosial, ekonomi dan agama daripada pelantikan baru itu. Maka biarlah saya mengambil pendekatan seni budaya, yang selalu saja dilupakan.

Ada beberapa nama yang disebut-sebut berkemungkinan dilantik oleh Sultan. Daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (presiden PKR), Mohd Azmin Ali (timbalan presiden PKR), Dr Idris Ahmad (Adun Ijok), Yaakub Sapari (Adun Kota Anggerik), Iskandar Abdul Samad (Adun Cempaka) hinggalah kepada Dr Ahmad Yunus Hairi.

Namun saya tidak akan membincangkan hal-hal di sekitar pelantikan tersebut, seperti siapakah dan apakah kelebihan menteri besar yang baharu itu dan sebagainya. Saya lebih berminat untuk melihat masa depan seni budaya di Selangor selepas ini. Apakah ia akan lebih baik daripada sewaktu Khalid menjadi menteri besar?

Untuk itu, biarlah saya menyorot sedikit ke belakang melihat apakah yang pernah dibuat oleh Khalid kepada seni budaya di Selangor, khasnya yang saya terlibat dengannya atau melibatkan Seniman Paksi Rakyat (Paksi).

Sering kita mendengar peminat-peminat seni-budaya mengkritik Khalid kerana tidak memberi perhatian kepada seni budaya. Misalnya ketika membentuk pasukan exconya, beliau tidak mewujudkan portfolio Kesenian atau Kebudayaan, baik pada penggal pertama mahupun penggal kedua.

Pada penggal pertama, bagaimanapun, portfolio Kebudayaan diwujudkan juga kemudiannya dengan ditempelkan kepada Exco Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi dan Inovasi, setelah mendapat teguran daripada pihak tertentu, termasuk daripada Seniman Paksi Rakyat (Paksi).

Pada penggal kedua, saya tidak bersetuju apabila kawan-kawan mengajak membuat teguran tersebut. Alasan saya ialah pada waktu Selangor mempunyai exco Kebudayaan pun (yakni yang secara tempelan itu), Paksi tidak membuat aktiviti-aktiviti seni budayanya dengan atau melalui exco tersebut (kecuali satu-dua di peringkat awal sahaja), kerana pihaknya lebih banyak memberi masalah kepada kita daripada membantu.

Ekoran daripada permasalahan dengan exco berkenaan, Paksi membuat pertemuan dengan Khalid di rumahnya di Bukit Damansara, pada suatu malam di bulan Ramadan 2012 (Ogos), diketuai Syed Shahir Syed Mohamud dan disertai juga Dr Shaharir Mohd Zain , membincangkan beberapa program seni-budaya yang dicadangkan oleh Paksi.

Program-program tersebut ialah: (1) Jelajah Budaya ke sembilan daerah di Selangor; (2) pementasan teater pada setiap bulan di Shah Alam; (3) dana penerbitan buku dan majalah terbitan Paksi (sebanyak RM250,000); dan (4) Anugerah Sasterawan Rakyat bernilai RM60,000 (dengan Azizi Abdullah sebagai penerima pertamanya).

Khalid menyambut baik keempat-empat program tersebut dan kami terus membincangkan cara-cara pelaksanaannya. Sebelum itu saya menyiapkan sebuah buku yang diterbitkan khas untuk tatapan beliau (dan para pemimpin lainnya), supaya dapat menghargai seni budaya dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh para aktivisnya, khasnya Paksi. Itulah buku “Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya”, setebal 156 halaman.

Alhamdulillah, Khalid menunjukkan pemahaman dan penghargaan yang sewajarnya terhadap seni budaya. Namun dalam proses pelaksanaan program-program yang dipersetujui itu, Paksi mendapati rupa-rupanya permasalahan dalam kesedaran dan apresiasi seni budaya di kalangan pegawai atau kakitangan pentadbiran kerajaan, sangatlah bermasalah.

Paksi diminta melaksanakan hanya satu sahaja daripada empat program yang dipersetujui itu terlebih dahulu. Alasannya ialah untuk melihat bukti kemampuan Paksi dalam melaksanakan program. Tak mengapalah. Paksi memilih melaksanakan program pertama, iaitu Jelajah Budaya ke sembilan daerah di Selangor, yang kumudiannya dikenali dengan nama Jelajah Budaya Selangor (JBS).

JBS ialah suatu pakej aktiviti seni budaya yang dianggap penting oleh Paksi. Ia terdiri daripada pelbagai aktiviti seperti persembahan muzik, khasnya muzik etnik atau tradisional tempatan; persembahan teater Menunggu Kata Dari Tuhan; pembacaan puisi oleh penyair-penyair terkenal; dan persembahan seni tradisional seperti silat, kuda kepang dan sebagainya.

Termasuk dalam pakej JBS itu juga ialah diskusi buku sastera untuk pelajar menengah; dialog budaya dengan budayawan tempatan; mari mewarna di kalangan kanak-kanak; syarahan ilmu sains dari perspektif Islam oleh Dr Shaharir Mohd Zain, yang dibuat di masjid atau surau; dan publisiti gambar tokoh-tokoh penting seniman-budayawan yang dipaparkan secara besar-besaran kepada umum melalui sepanduk dan banting.

Satu acara yang terpenting dalam JBS ialah memberi pengiktirafan atau penghargaan kepada aktivis seni persembahan tempatan, dan memilih seorang yang berjasa di bidang seni-budaya untuk diberi penghargaan sebagai Tokoh Budaya Daerah (bagi setiap daerah).

Paksi menjalankan kajian seni-budaya di setiap daerah di Selangor, bagi mengenal pasti tokoh-tokoh seni budayanya (untuk menerima anugerah Tokoh Budaya Daerah), dan memilih kumpulan-kumpulan seni yang sesuai untuk diangkat membuat persembahan.

Alhamdulillah, program JBS berjaya dilaksanakan oleh Paksi, dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis Perbandaran (daripada Yang Dipertua, Ahli Majlis dan kakitangan pejabatnya), wakil rakyat (Adun) dan pegawai serta pembantunya, pihak masjid dan surau, dan guru-guru berkenaan.

Memang itulah sebahagian daripada tujuan Paksi menganjurkan JBS. Supaya pihak-pihak yang berkenaan itu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti seni budaya. Namun anda janganlah terkejut, kerana kami juga mendapati ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang langsung tidak mengambil tahu soal seni budaya.

Seperti disebut di atas tadi, ada empat program besar seni-budaya yang dipersetujui Khalid dalam pertemuan kami pada malam Ramadan 2012 itu. Dan kami hanya sempat melaksanakan satu sahaja, iaitu JBS, sebelum Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

Selepas PRU13, suasana politik dan pentadbiran di negeri Selangor agak kurang tenteram. Paksi memilih untuk menunggu keadaan menjadi stabil sebelum mengajak pihak menteri besar melaksanakan tiga lagi program yang tertangguh itu. Sambil itu kebetulan ada pula pihak lain yang bersetuju merundingkan penganjuran aktiviti seni budaya.

Maka berlakulah tiga perundingan penting dengan penuh harapan, (satu daripadanya peringkat kebangsaan), tetapi ternyata harapan semuanya putus di tengah jalan. Rupa-rupanya pencapaian persetujuan dengan Khalid pada malam Ramadan 2012 itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dengan pihak berkuasa.

Dan itu tentulah suatu peristiwa penting dalam sejarah seni budaya di Selangor; walaupun tiga program lagi tidak sempat dilaksanakan.

Sekarang Selangor akan mendapat menteri besar yang baharu. Dari segi seni budaya, saya dan kawan-kawan aktivis seni dan budaya menunggunya dengan satu harapan: Semoga menteri besar baru ini dapat menghidupkan dan mengaktifkan semula empat program yang dipersetujui pada Ramadan 2012 itu – sekurang-kurangnya.

Dan kalau boleh lebih daripada itu, alangkah bagusnya! – 22 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments