Opinion

Menonton Nik Nurimani dalam Senjataku Yang Hilang yang ‘panas’

Sabtu minggu lalu saya menonton sebuah persembahan teater yang dijayakan oleh seorang pelakon wanita, selama kira-kira 42 minit, berjudul “Senjataku Yang Hilang”, karya Zack Zaiden.

Pelakon wanita itu Nik Nurimani kebetulan kenalan saya sejak dia menjadi sinografer untuk pementasan Tamu Dari Medan Perang yang dipentaskan oleh pelajar teater Universiti Malaya, Disember 2012. Kemudian dia menjadi sinografer untuk teater saya yang dipentaskan di Kota Baru pada 15 Mac 2013, “Pengisytiharan Abul ‘As”.

Dia seorang yang sangat aktif dan rajin mengikuti perkembangan teater. Menerusi dia saya banyak mengetahui aktiviti teater yang diadakan di sana sini di negara ini sekarang.

Persembahan di bawah arahan Zamzuriah Zahari itu bukan kali pertama dilakonkan Nik Nurimani. Dia pernah, antaranya, membawa Senjataku Yang Hilang menyertai festival teater Pantai Timur yang diadakan di Kota Baru, tahun lalu.

Persembahan Sabtu itu dibuat di sebuah panggung yang baru beroperasi di tingkat bawah Dataran Merdeka, sebagai mempromosi panggung tersebut, Panggung Beringin Emas, iaitu sebuah panggung teater yang diusahakan oleh pihak swasta.

Dulu The Actors Studio kepunyaan Datuk Faridah Merican dan Joe Hasham beroperasi di situ. Kini (selepas berlaku banjir) Actors Studio tidak lagi beroperasi di situ, tetapi mereka aktif di beberapa tempat lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Panggung Beringin Emas pada asasnya ditubuhkan untuk mempromosi teater Makyong, dan memang itulah persembahan yang mereka lakukan secara regular (di bawah arahan Nur Liyana), untuk tontonan pelancong, sejak Januari lalu. Nik Nurimani juga terlibat sebagai penari dan pelakon Makyong.

“Senjataku Yang Hilang” adalah percubaan pertama Beringin Emas mementaskan teater moden. Satu percubaan yang baik, dan berani. Saya ucap syabas kepada penerbitnya Mohd Hailme, dan juga pelakonnya Nik Nurimani.

Memang ada kelemahannya di sana sini. Itu biasalah. Mana ada show yang perfect! Dan selera penonton pun tidak serupa. Saya pun selepas menontonnya apabila ditanya Amani bagaimana pendapat saya – agak serba salah juga saya hendak menjawabnya.

Pertama yang saya fikirkan ialah: kenapa Nik Nurimani memilih skrip itu, cerita itu, cerita lelaki yang kehilangan ‘senjata’ atau kemaluan lelakinya itu, untuk dia lakonkan sebagai pelakon solo bagi sebuah teater mono pelbagai watak?

Memang ada banyak watak dalam karya tersebut. Watak bapa dan emak kepada Aduka, watak Cahaya teman wanita Aduka, watak Mak Nyah, di samping beberapa watak sampingan lagi, dan watak Aduka sang lelaki itu sendiri.

Memang karya ini mencabar kemampuan seorang pelakon untuk membuktikan keupayaannya berlakon. Dan nampaknya Nik Nurimani boleh mencapai kepuasan dalam keupayaannya menyahut cabaran tersebut.

Tetapi pada keseluruhananya watak Aduka yang paling banyak memerlukan penghayatan lakonan, kerana ia pusat kepada seluruh penceritaan. Aduka, lelaki yang dalam dilema kerana ‘anu’nya terpotong habis sewaktu berkhatan, sedangkan dia tetap memerlukan kejantanan seorang lelaki biasa, dan punya teman wanita yang ingin berumahtangga. Bagaimanakah Aduka menyelesaikan permasalahan dirinya itu?

“Senjataku Yang Hilang” adalah dilema Aduka – lelaki yang kehilangan alat kejantanannya namun tetap punya nafsu dan keinginan seorang lelaki, yang tidak mungkin dipenuhi. Maka bagaimanakah teater arahan Zamzuriah Zahari ini menghidupkan dilema Aduka itu melalui lakonan Nik Nurimani?

Ada suatu aksi yang sangat menonjol dalam keseluruhan persembahan tersebut, yang kemudiannya terlekat kuat dalam ingatan walaupun saya tidak suka kepada gambaran itu. Itulah kesannya, yang saya fikir tidak sepatutnya teater itu meninggalkan kesan begitu pada saya, kerana ia bukan sesuatu yang bernilai positif bagi persembahan tersebut.

Aksi yang saya maksudkan ialah bagaimana pelakon itu menunjukkan lengan kanannya ditegakkan, atau banyak kali juga ia digerakkan ke depan bermula daripada bahagian bawah di antara dua kakinya ketika dia separuh duduk. Sangat jelas aksi itu sengaja mahu menggambarkan ‘senjata’ yang dikatakan hilang itu. Bukan sekali tetapi banyak kali diulang. Maka ia menjadi suatu aksi yang sangat kasar dan tidak manis, apalagi dilakonkan oleh seorang pelakon solo wanita!

Malah saya menganggapnya sebagai suatu aksi yang merosakkan keindahan persembahan itu. Amat sayang sekali! Sedangkan selain aksi sumbang tersebut kita menyaksikan kelahiran bakat baru yang sangat berpotensi, dan sangat dinamik.

Kenapa Aduka perlu beraksi seperti itu? Kenapa dia perlu menunjukkan isyarat sedemikian kepada penonton? Bukankah pada waktu itu Aduka hanya (atau lebih banyak waktunya) berbicara dengan dirinya sendiri? Untuk apa dia mahu menggerakkan lengannya dalam aksi yang ‘lucah’ begitu? Saya fikir Aduka sama sekali tidak perlukan aksi sedemikian.

Dilema Aduka tentu bukan berbentuk fizikal luaran seperti itu. Dilema Aduka adalah dilema dalaman. Pelakon dan pengarah boleh saja menzahirkannya sebagai lelaki yang marah-marah, putus asa, pendendam dan kasar; atau menzahirkannya sebagai lelaki murung, tiada keyakinan diri, takut dan sebagainya. Tetapi kenapa seolah-olah dia begitu obses hendak menunjukkan ‘senjata’nya yang sudah tiada itu?

Satu lagi ialah suasana tegang yang menguasai keseluruhan gerak dan pengucapan pelakonnya. Variasi yang sepatutnya diwujudkan daripada kehadiran sedemikian ramai watak yang dimainkan oleh pelakon solo itu, tidak dizahirkan. Padahal itulah ruang dan peluang untuk keindahan pengucapan yang diwujudkan oleh skrip tersebut. Sayangnya ini tidak dimanfaatkan oleh pelakon dan pengarah.

Sebagai seorang yang percaya kepada nilai mulia Islam dan cenderung mengaplikasi dan menonton nilai tersebut dizahirkan dalam seni persembahan, saya juga kurang selesa dengan penampilan kostiumnya. Tetapi ini barangkali bias kepada citarasa peribadi. Mungkin orang lain berpuas hati dan dapat menikmati keindahan penampilan tersebut.

Dan akhirnya saya bertanya soalan yang pertama saya fikirkan tadi, iaitu kenapa Nik Nurimani memilih skrip itu, iaitu cerita lelaki yang kehilangan kemaluan lelakinya itu untuk dia lakonkan sebagai pelakon solo bagi sebuah teater mono pelbagai watak? Padahal dia sendiri juga sudah menghasilkan sebuah skrip berjudul “Uri”, yang juga teater mono pelbagai watak.

Barangkali kerana dia memang sudah lama bersedia dengan skrip tersebut, dan sudah beberapa kali memainkannya; manakala skrip “Uri” belum lagi pernah dicuba untuk diangkat ke pentas.

Namun soalan itu sebenarnya mengandungi mesej yang lebih dalam, ingin persoalkan makna dan mesej karya Zack Zaiden itu sendiri. Apakah hal itu sesuatu yang real, pernah berlaku dan boleh berlaku? Juga sekali gus mempersoalkan kejayaan atau kegagalan persembahan itu menampilkan dilema Aduka itu sebagai sebuah dilema manusia yang real, dan perlu simpati.

Saya juga terkesan dengan pengakuan Nik Nurimani yang diucapkannya secara peribadi kepada saya selepas pementasan, iaitu dia malu melakonkan sedemikian itu di depan saya. Satu pengakuan yang meninggalkan pelbagai makna dan tafsiran.

Walau apapun, saya menunggu lakonan Nik Nurimani selanjutnya selepas ini, dalam skrip yang lain pula; dan juga persembahan Beringin Emas yang selanjutnya. Nik Nurimani memperlihatkan potensinya yang sangat menjanjikan, dan Beringin Emas juga mempunyai potensinya yang perlu didokong peminat teater. – 26 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments