Opinion

Kampung Melayu tinggi nilai seni budayanya

Kira-kira tiga tahun yang lalu, pada 1 Muharam 1432 bersamaan 7 Disember 2010, Seniman Paksi Rakyat (Paksi) menganjurkan satu program yang dipanggil "Himpunan Seniman-Budayawan menyokong Kampung Warisan", bertempat di Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam, Kuala Lumpur.

Program itu dianjurkan bersama dengan Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) yang diketuai oleh Cikgu Ishak Surin, dan surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam.

Ramai penyair, seniman dan budayawan yang hadir, terutama anak muda generasi baru. Pertama kali perkarangan surau Madrasah Tarbiyah menyaksikan apa yang dipanggil oleh aktivis Hishamuddin Rais sebagai "Mat Rock dan Minah Rock bertemu Pak Lebai".

Tujuan perhimpunan itu diadakan adalah untuk "menyokong perjuangan orang kampung mempertahankan kampung warisan kita di Kuala Lumpur".  Sebabnya ialah pihak berkuasa (kerajaan) ingin mengambil alih kawasan itu untuk dibangunkan projek moden bagi tujuan komersial. Maka kampong  itu dengan segala isinya terutama rumah Melayu akan dirobohkan dan penghuninya diusir dari situ.

Tiga tahun berlalu sudah.  Satu Muharam 1435 kini menjelma.  Beberapa rumah di Kampung Chubadak diroboh oleh pihak berkuasa pada 23 Oktober, walaupun penghuninya masih menghuni rumah berkenaan.  Sebelum itu, rumah dan penduduk di Kampung Puah Seberang menerima nasib sama.

Kebetulan pula 20 Oktober lalu pimpinan tertinggi PAS mengadakan Dialog Budaya dengan seniman-budayawan, lanjutan daripada dialog Paksi dengan Mahfuz Omar berkenaan gagasan 'Kuasa Budaya Dunia’.  Kebetulan pada 23 Oktober, saya dan Kassim Muhamad menyertai Cikgu Ishak menyaksikan seniman muda Cina dari geng Jalan Sultan bersama seniman Jawa Timur, Nggamba Moelyono, mengadakan aktiviti 'seni instalasi' bersama anasir sungai, di Sungai Gombak, Kampung Banda Dalam.

Sambil itu kami berbicara sekitar kesan Dialog Budaya bersama pimpinan tertinggi PAS. Maka timbullah keinginan Cikgu Ishak hendak memanjangkan manfaat daripada dialog tersebut, yang antaranya cadangan Paksi hendak mengadakan Kursus Budaya kepada orang PAS, bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran budaya mereka.

Kami bertemu lagi minggu berikutnya di Pasar Besar Gombak, sambil minum petang sambil menyambung perbincangan. Apakah yang paling sesuai untuk dibuat oleh PAS Kawasan Batu di bawah pimpinan Cikgu Ishak sebagai YDP - menganjurkan kursus seni-budaya atau program lain yang lebih sesuai?

Itulah timbul kisah tujuh kampung warisan di situ yang dulu pernah diangkat oleh Paksi menjadi bahan kreativiti seni hingga melahirkan buku Antologi Puisi 56 Penyair dan Himpunan Seniman-Budayawan 1 Muharam itu. Kali ini kami berfikir agak berbeza sedikit. Kami melihat Kampung Melayu itu sendiri. Ia adalah warisan seni budaya daripada tamadun Melayu yang sangat tinggi nilainya.

Ketika memikirkan gagasan 'Kuasa Budaya Dunia' Mahfuz itu (walaupun ia suatu gagasan yang terlalu ambitious dan jauh), saya terfikirkan beberapa perkara asas dalam budaya dan tamadun Melayu yang sebahagiannya kurang kita perhatikan, padahal ia cukup penting. Antaranya ialah Kampung Melayu dilihat daripada perspektif seni budaya - struktur rekabentuknya, lanskapnya, seni arkitektur dan ciri rumahnya, taman dan lamannya, kejiranannya, ayam itiknya dan pelbagai lagi.

Pada seni arkitektur rumahnya sahaja pun terdapat pelbagai aspek seni yang boleh dilihat di dalamnya, iaitu bagi orang yang meminati atau mempunyai ilmu di bidang itu. Memang kita ada beberapa orang yang pakar mengenai seni rumah Melayu, termasuk dari Jepun dan Eropah, sangat terpesona dengan keindahan rumah Melayu.

Dalam konteks tujuh kampung warisan di sekitar Batu 4 Jalan Gombak ini kita tidak melihat pada warisan seni rumah Melayunya sangat, tetapi lebih kepada warisan seni Kampung Melayu itu sendiri. Wujudnya Kampung Melayu itu sendiri. Sebagai satu warisan tamadun yang sangat tinggi nilai seni budayanya itu, apakah kita memberi perhatian yang sewajarnya kepadanya?

Pernahkah ada sesiapa di kalangan sarjana kita yang membuat kajian mengenai Kampung Melayu dilihat daripada perspektif seni budaya? Setahu saya belum ada. Kawan-kawan di kalangan budayawan dan sarjana bidang pengajian Melayu pun mengatakan belum ada. (Atau mungkin sudah ada tetapi saya/kami tidak tahu?)

Kampung Melayu itu sendiri - semestinya ia berbeza dengan Kampung Cina, Kampung India, Kampung Jepun, Kampung Arab, Kampung Inggeris dan lain-lain, bukan? Apakah ciri yang membezakannya itu, dan menjadikannya suatu yang istimewa, sebagai Kampung Melayu?

Apabila sebut Kampung Melayu dan mengatakan ia suatu yang istimewa dan perlu dibuat kajian dan dipelihara kewujudannya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur, kita bukan bercakap membangkitkan soal perkauman. Kita bercakap fakta, mengenai suatu warisan daripada tamadun orang Melayu yang mesti dipelihara kewujudannya.

Mengapa mesti dipelihara? Sebab ia warisan tamadun besar yang sangat tinggi nilainya. Sebab apa dikatakan ia sangat tinggi nilainya?

Ya, mereka yang berkenaan itu akan bertanya demikian. Mengapa mereka bertanya demikian? Sebab mereka tidak tahu pun bahawa warisan tamadun kita itu sangat tinggi nilainya. Mereka hanya tahu apa yang boleh memberikan mereka wang lebih banyak dan cepat, itulah lebih bernilai.

Warisan Kampung Melayu atau warisan tamadun mana pun, yang tidak boleh memberikan wang  banyak dan cepat, itu tak ada sebarang nilai bagi mereka (yang berkenaan itu).  Kalau ia ada nilai bagi mereka, seperti nilai yang kita faham, tentu mereka tidak akan sanggup berfikir untuk meroboh atau memusnahkannya.

Di sinilah masalah kita. Apabila masyarakat sudah tidak tahu lagi menilai warisan tamadun sendiri yang begitu berharga seperti Kampung Melayu! Maka akan musnah dan pupuslah Kampung Melayu, seperti mereka juga sedang memusnahkan bahasa Melayu, yang mereka anggap sudah tidak bernilai itu. Padahal yang tidak bernilai ialah manusia yang sudah kehilangan nilai itu sendiri.

Menyedari bahaya kemusnahan suatu warisan tamadun besar Melayu inilah maka Paksi dan PAS Kawasan Batu pimpinan Cikgu Ishak menganjurkan satu pertemuan budaya pada pagi Sabtu 16 November ini, di Dewan Cina Selangor-Kuala Lumpur. Antara tujuannya ialah melahirkan resolusi mempertahankan warisan Kampung Melayu di pinggir kota Kuala Lumpur.

Juga untuk menimbulkan kesedaran seni budaya yang lebih meluas di kalangan orang awam. Kewujudan Kampung Melayu di pinggir ibu kota Kuala Lumpur itu sendiri membawa nilai seni budaya yang sangat tinggi, sebagai warisan daripada sebuah tamadun besar.

Juga mendedahkan fakta mengenai kepupusan nilai kemanusiaan di kalangan pentadbir Melayu berkenaan, yang sedang memusnahkan warisan bangsa dan negara ini, dan akan membawa kerugian dan bencana besar kepada generasi akan datang.

Program akan bermula jam 9 pagi. Marilah kita beramai-ramai menyokong agenda dibawa tokoh mempertahankan warisan negara kita ini - Cikgu Ishak (Pengerusi Pertahankan Taman Merdeka Negara. Anda semua dijemput hadir. – 7 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments