Opinion

Himpunan seniman, budayawan dan ilmuwan ke-2 untuk Kampung Warisan

Sehingga ini sudah dua kali mesyuarat diadakan. Bincang persiapan untuk himpunan kali kedua golongan seniman, budayawan dan ilmuwan bagi menyatakan keprihatinan terhadap nasib kampung-kampung Melayu warisan yang diancam kapitalis pembangunan, khasnya di pinggiran ibukota Kuala Lumpur.

Ini program khas golongan penulis, penyair, pelukis, pengarca, pemuzik, penyanyi, pesilat, pemain teater tradisional, seniman, budayawan dan ilmuwan atau cendekiawan, bagi menyatakan keprihatinan terhadap perjuangan mengekalkan kewujudan kampung-kampung warisan di persekitaran ibukota.

Beberapa nama dicadangkan untuk menamakan program yang dirancang diadakan pada 1 Muharam bersamaan 25 Oktober 2014 ini, sebagai himpunan golongan yang disebut di atas.

Kali pertama diadakan dulu, 7 Disember 2010, ia dinamakan “Himpunan Penyair-Seniman-Budayawan 1Muharam”. Waktu itu tidak ada penglibatan golongan ilmuwan, manakala golongan pelukis dan pengarca pun tidak begitu dominan penglibatannya.

Setelah berbincang maka dipersetujui dengan nama “Himpunan Budayawan 1Muharam”; dengan persefahaman bahawa istilah ‘budayawan’ itu sepatutnya meranagkumi semua golongan yang dimaksudkan – penulis, penyair, pelukis, pengarca, pemuzik, penyanyi, pesilat, pemain teater tradisional dan ilmuwan.

Adapun golongan seniman-budayawan-ilmuwan di negara kita (atau mungkin di mana-mana pun) terdiri daripada mereka yang terlibat dengan aktiviti dan pergolakan masyarakatnya, dan mereka yang tidak terlibat.

Memang, bukan semuanya mahu terlibat. Ada seniman-ilmuwan-budayawan yang tak mahu peduli apa-apa pun selain daripada kerja dan ‘dunia’ mereka.

Kita memang faham ada seniman-ilmuwan-budayawan jenis yang tak peduli itu. Maka biarkanlah mereka. Kita hanya mengadakan himpunan ini di kalangan mereka yang peduli sahaja.

Himpunan pertama dulu dianjurkan oleh Seniman Paksi rakyat (Paksi) bersama Majlis Permuafakatan Perkampungan Warisan Kuala Lumpur (Muafakat).

Ia diadakan di pekarangan surau Madrasah Tarbiyah, Kampung Banda Dalam, Jalan Gombak. Ramai aktivis puisi dan muzik hadir dalam pertemuan tersebut. Sebuah buku antologi puisi karya 56 penyair diterbitkan sempena dengannya.

Kini empat tahun sudah berlalu. Beberapa buah rumah di Kampung Puah dan Kampung Chubadak pun telah diroboh oleh pihak berkuasa.

Cikgu Ishak Surin (Pengerusi Muafakat dan Ketua Kampung), Siti Zainon Ismail (seniman dan ilmuwan kelahiran Kg Banda Dalam) dan Paksi, dari semasa ke semasa menganjurkan pelbagai acara seni-budaya untuk kampung-kampung warisan berkenaan.

Bahkan surau Madrasah Tarbiyah itupun, dengan persetujuan jawatankuasa pentadbirnya, telah diangkat dan diiktiraf menjadi ‘Madrasah Seni’, dan dirasmikan oleh A Samad Said pada 10 Mac 2012. (Satu-satunya yang sepertinya, barangkali).

Himpunan pertama dulu dipilih tarikhnya bersempena 1 Muharam (hari pertama dalam tahun Hijrah). Sejak itu Cikgu Ishak dan Siti Zainon memang selalu berhasrat untuk meng-adakan ulangtahun “Himpunan 1Muharam” itu.

Dan untuk tahun ini mereka menyatakannya sejak awal lagi, memandangkan pihak berkuasa bersama rakan kongsi kapitalis mereka sudah menunjukkan kerakusan untuk menceroboh dan meroboh harta-harta warisan di perkampungan berkenaan.

Siti Zainon awal-awal lagi sudah merancang beberapa program seni visual untuk himpunan kedua ini. Suatu kerjasama dengan sebuah universiti di Melaka yang mempunyai Jabatan Seni Halus telah dijalin, dan pihak universiti tersebut bersetuju menurunkan sekumpulan pelajarnya untuk berkarya, membangun ‘taman arca’ di laman-laman yang sesuai di Kampung Banda Dalam.

Menurut Siti Zainon, para pelukis juga digalakkan datang ke kampung-kampung berkenaan untuk berkarya.

Pihak penganjur akan menyediakan kemudahan, termasuk menguruskan pameran dan jualan karya di beberapa galeri di Kuala Lumpur, yang sudah bersetuju untuk bekerjasama menjayakan program ini.

Misalnya Raja Ahmad Aminullah (RA Gallery) turut hadir mesyuarat dan berjanji untuk kerjasama.

Ibrahim Ghaffar (wakil tak rasmi Pena) pula akan menghadirkan sekurang-kurangnya 44 orang pesilat dari kumpulan silat di Klang dan Kuala Selangor.

Juga kumpulan gamelan bagi mengiringi silat. Ini suatu acara baru yang tidak terdapat dalam himpunan pertama dulu.

Pihak Madrasah Tarbiyah selaku tuan rumah bersetuju untuk menyediakan ‘gelanggang’ yang sesuai bagi aktiviti tersebut, yang dijangka berjalan sepanjang hari dari pagi hingga ke petang.

Gabungan Seni Warisan Anak Pinang, Pulau Pinang (Gasewap) juga turut hadir dalam mesyuarat kedua pada Rabu 25 Jun.

Wakilnya Lena, juga kebetulan menjadi ahli Pertubuhan Pendekar Malaysia yang kini terlibat dengan perjuangan mempertahankan kampung Melayu warisan di Pulau Pinang (seperti Balik Pulau, Batu Uban dan Tanjung Tokong).

Maka bukan sahaja pertubuhan Pendekar tersebut akan turut menurunkan pesilat-pesilat mereka bagi memeriahkan lagi pesta silat 1Muharam ini, tetapi perjuangan mempertahankan kampung warisan juga turut diperluaskan.

Bukan terhad kepada kampung-kampung di sekitar Kuala Lumpur sahaja, tetapi merangkumi juga kampung-kampung di Pulau Pinang dan lain-lain tempat yang terancam oleh kerakusan kapitalis yang tidak tahu menghargai nilai-nilai warisan bangsa itu.

Turut hadir mesyuarat kedua ialah Sharifah, wakil tak rasmi daripada Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Melaka.

Beliau membawa cerita bagaimana Melaka membangunkan kampung-kampung warisan Melayunya, yang mungkin boleh memberi idea bagaimana seharusnya kampung-kampung warisan di Kuala Lumpur itu dibangunkan, dan bukannya diroboh terus untuk memberi jalan kepada projek komersil baru.

Selain persembahan puisi dan muzik, di samping acara seni visual dan silat tadi, himpunan juga menyediakan ruang untuk wacana ilmu.

Antaranya, Prof Shaharir Mohd Zain (UM) dan Prof Abu Hassan Hasbullah (UMK) menyatakan komitmen mereka untuk menyampaikan kertas perbincangan mengenai kepentingan Kampung Melayu dalam perancangan pembangunan moden.

Kassim Muhamad, seorang penulis dan aktivis yang banyak pengalaman dalam kejuruteraan sungai, akan melihat permasalahan kampung-kampung warisan yang berpunca daripada eksploitasi kaum kapitalis dan pentadbir tamak, terhadap kewujudan sungai di kawasan berkenaan.

Beliau sedang menyiapkan kertas kajiannya untuk dibentangkan dalam wacana ilmu itu nanti.

Seorang pensyarah dari Jogjakarta (Indonesia), Aris Ariff, juga akan mengisi slot wacana ilmu itu dengan membicarakan karya-karya seni yang terhasil daripada sekitaran perkampungan warisan.

Saya pula akan menghadirkan sekurang-kurangnya satu persembahan teater, iaitu ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ lakonan Nizam Yamin, dalam versi terbaru seperti yang dipentaskan di Universiti Malaya pada 29 Mei lalu, iaitu menggunakan unsur-unsur zikir secara yang lebih dominan bagi mengiringi lakonan.

Sementara itu pihak penganjur mengalu-alukan sekiranya ada kumpulan teater yang ingin membuat persembahan sempena dengan “Himpunan Budayawan 1Muharam” ini. – 18 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments