Opinion

Datang mesyuarat atau tidak, sebagai orang Islam

Ketika anda membaca tulisan ini persoalan datang atau tidak datang mesyuarat ini sudah pun berlalu. Namun cerita di sekitarnya masih belum berlalu. Dan saya pun tidaklah berminat sangat soal Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS itu hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat itu atau tidak.

Adapun yang menarik perhatian saya ialah jaminan yang diberikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, seperti dilaporkan The Malaysian Insider pada 6 Februari, dengan tajuk "Sebagai orang Islam, Hadi pasti datang mesyuarat Pakatan, kata Mat Sabu".

Sehingga hal itu menjadi suatu berita yang sangat menarik, tentulah ada latar belakang ceritanya. Dan sehingga Mohamad perlu membuat kenyataan yang berupa jaminan seperti itu - tentulah cerita latar belakangnya itu sangat menarik, kan!

Adapun cerita asasnya sangatlah biasa. Cerita seorang pemimpin nombor satu sebuah parti akan hadir atau tidak hadir untuk suatu mesyuarat pakatan antara tiga buah parti politik. Itu biasa saja ceritanya. Tetapi kenapa ia menjadi berita yang menarik?

Kenapa kehadiran dua lagi pemimpin, dari dua parti rakan yang lain dalam pakatan itu, tidak menjadi berita? Tentulah ada sebabnya, ya! Dan tentulah ada cerita yang menarik juga di sebalik sebabnya itu.

Pakatan tiga parti pembangkang ini iaitu Pakatan Rakyat (PR) dikatakan sudah lama tidak bermesyuarat. Sebab apa? Sebab presiden PAS tidak datang. Dan itu tentulah bukan sekali berlaku. Kalau sekali saja, atau sekali-sekala tidak datang - itu perkara biasa. Tidak akan menimbulkan apa-apa persoalan kerananya. Tetapi yang ini menimbulkan persoalan.

Persoalannya ialah kenapa presiden PAS itu tak mahu hadir mesyuarat? Yang ada pun hanya tiga orang saja ketua parti. Kenapa tidak mahu hadir?

Perhatikan soalannya, bukan kenapa dia tidak hadir. Tetapi soalannya ialah kenapa dia tidak mahu hadir? Maksudnya tidak ada sebab yang menghalang dia daripada hadir, seperti sakit atau sebagainya; tetapi dia sengaja memilih untuk tidak hadir. Ertinya dia tidak mahu hadir. Kenapa dia tidak mahu hadir?

Pada hari yang sama, 6 Februari, Harakahdaily membawa berita bertajuk "Terpulang kepada saya nak hadir, tak hadir - Presiden PAS." Ya tengoklah, ia menjadi berita penting. Hanya pasal hendak hadir mesyuarat atau tidak saja.

Dan kata-kata yang diucapkannya sendiri, yang dilaporkan akhbar milik partinya sendiri, menjadikan cerita ini bertambah sensasi lagi. Katanya, "Dia (Lim Guan Eng) tidak berhak menentukan saya hadir atau tidak hadir. Terpulang kepada saya nak hadir ke tak hadir. Saya bukan anak murid sekolah, kita tengok dululah."

Macam saya hendak komen sesuatu pada kata-kata seorang presiden parti Islam yang akhir-akhir ini keislaman parti pimpinannya itu sedang dipersoalkan ramai orang. Tetapi terasa pula…ah, tidak perlu komenlah. Serahkan sajalah pada "persepsi" orang untuk menilainya - seperti kata seorang sahabat saya di Pasir Puteh itu.

Bukan apa - sebabnya bila dibaca lagi laporan berita itu, presiden itu dilaporkan berkata: "Mesyuarat PR, masa saya jadi menteri besar pun saya hadir tiap-tiap kali mesyuarat. Saya tidak sibuk macam ketua menteri dan jika sibuk pun saya mesti hadir untuk mesyuarat Pakatan Rakyat."

Eh, masa dia jadi menteri besar Terengganu dulu sudah adakah PR? Belum ada kan? Waktu PR ditubuhkan, Terengganu sudah pun jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Jadi, apa sebenarnya yang dicakapkan Hadi itu? Kenapa sampai perlu dia mengungkit (secara disedarinya atau tidak) hingga ke zaman sebelum ada PR? Apa kaitannya dengan isu dia dikatakan tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini?

Orang hanya mahu dia hadir mesyuarat tertinggi PR sekarang. Itu saja. Dan berita The Malaysian Insider itu melaporkan: Kali terakhir mesyuarat PR diadakan pada Oktober lepas, tetapi Hadi tidak menghadirinya. Beliau juga sudah sejak setahun lalu tidak menghadiri mesyuarat PR.

Tetapi tidak mengapalah. (Kita serahkan itu pada 'persepsi', ya cikgu!) Saya sebenarnya lebih tertarik kepada kenyataan Mat Sabu seperti yang dijadikan tajuk berita tersebut, bahawa "Sebagai orang Islam, Hadi pasti datang mesyuarat Pakatan, kata Mat Sabu".

Tertariknya saya pada kenyataan Mat Sabu itu ialah kerana ia dikaitkan dengan "sebagai orang Islam". Kenapa Mat Sabu perlu mengaitkannya "sebagai orang Islam"? Yang selama ini Hadi tidak hadir itu pun, bukankah dia sebagai orang Islam juga? Bahkan lebih daripada itu (maksudnya lebih tanggungjawabnya) ialah dia sebagai pemimpin tertinggi sebuah parti yang segala-galanya adalah Islam.

Adapun perlunya Mat Sabu membuat kenyataan itu, seperti yang kita maklum, ialah kerana orang mulai mempersoalkan apakah Hadi masih boleh dipercayai kata-katanya. Terutama yang mempersoalkannya ialah Lim, setiausaha agung DAP, dan rakan-rakannya dalam DAP, yang kebanyakannya terdiri daripada orang bukan Islam.

Ertinya sekarang, akibat daripada perbuatan atau tindakan Hadi tidak hadir mesyuarat dan kemudian memberikan alasan atau jawapan (kerana disoal) yang tidak tepat dan boleh menimbulkan tafsiran tertentu itu - orang mulai hilang kepercayaan kepada kata-katanya.

Dan hal ini menjadi begitu serius hingga sampai ke peringkat ia menjadi berita yang menarik perhatian ramai. Ia sudah menjadi isu orang ramai. Maka apabila seorang presiden parti yang selama ini dipercayai sebagai parti Islam sudah kehilangan kepercayaan orang ramai terhadap kata-katanya, dan juga perbuatannya - apakah implikasi maknanya itu kepada Islam?

Implikasinya ia bukan saja membawa mudarat yang sangat besar kepada parti, tetapi juga mudarat yang besar kepada orang Islam dan kepada Islam itu sendiri. Maka kita orang Islam adalah berkewajipan untuk bangun membuat sesuatu bagi memperbaikinya.

Dalam konteks ini saya mengucap syabas kepada Mat Sabu kerana mengeluarkan kenyataan tersebut. Memang nampak macam peliklah sikit. Terpaksa buat kenyataan jaminan "sebagai orang Islam".

Saya membacanya ia bukan saja kenyataan untuk rakan dari DAP yang menimbulkan persoalan itu, tetapi secara tidak langsung juga adalah sebagai "nasihat" kepada tuan presiden! (Kita sebagai orang Islam, eloklah kita hadir, tunaikan janji!)

Dalam masa yang sama juga Mat Sabu terpaksa membuat satu lagi kenyataan - demi  memperbetulkan keadaan, dan supaya keadaan yang sedang bercelaru itu tidak tambah bercelaru dan jadi haru-biru dan seterusnya huru-hara. "Nik Abduh bukan 'mursyidul am PAS', kata Mat Sabu".

Tak perlulah saya ulas apa-apa terhadap berita yang disiarkan The Malaysian Insider pada hari yang sama itu. Sudah ramai orang mengulasnya dalam pelbagai kumpulan aplikasi whatasapp. Saya menyebutnya di sini dalam konteks melihat Mat Sabu yang nampaknya mulai bangun memainkan satu peranan: orang bukan ulama perlu menegur ulama demi mengembalikan semula kepercayaan orang ramai terhadap parti Islam di negara ini.

Bunyi macam pelik! Tapi benar. – 8 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments