Opinion

Tak bolehkah Mahfuz bertanding di Sungai Limau?

Saya tidak pasti adakah nama Datuk Mahfuz Omar termasuk dalam senarai calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikosongkan oleh allahyarham Tan Sri Azizan Razak?

Jika tidak, eloklah namanya disenaraikan sama.

Sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah,  Mahfuz tidak boleh menamakan dirinya, tetapi pengundi Sungai Limau, pimpinan PAS Kedah dan PAS Pusat boleh melontarkan pandangan itu.

Pengiriman Mahfuz ke situ adalah isyarat pertama bahawa PAS nekad dan bertekad mengambil semula Kedah dari tangan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz cuba memulakan tindakan balik ke  Kedah apabila salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di kawasan Jerlun cuba dilucutkan kerana dikatakan absen tanpa kebenaran bagi sidang DUN. Mukhriz menawar  diri bagi berdepan dengan pentadbiran Pakatan Kedah dari dekat.

Maka kini PAS perlu menampilkan pencabar terkuat untuk Mukhriz dalam rangka mengambil kembali negeri itu.

Memang pengirimannya bagi menjadi Pesuruhjaya baru PAS Kedah adalah isyarat bagi menggantikan Ustaz Azizan bukan sekadar pemimpin PAS Kedah bahkan sebagai pemimpin rakyat dan Kedah selepas ini.

Pembangkang Kedah sekarang memang memerlukan orang baru seperti Mahfuz bagi menjadikan Mukhriz yang mula membesar itu jadi kecil semula.

Dengan Mahfuz jadi Adun baharu Sungai Limau, akan dilihat ancaman besar buat  Menteri Besar Kedah dan masyarakat umum dalam dan luar Kedah,  malah akan dapat diyakinkan betapa PAS bersungguh dan bersedia untuk merampas negeri itu semula.

Tidak bererti Kedah tidak ada orang lain untuk mengenepikan Mukhriz dan Umno, tetapi PAS  dan Pakatan Rakyat jangan bazirkan keberadaan Mahfuz itu. Dia boleh memberi tekanan tambah bagi menyempitkan masa depan dan masa selesa Mukhriz.

Mukhriz kini sedang menempah kedudukan lebih kuat dalam politik Umno bila dia bertanding Naib Presiden Umno. Jika dia menang satu daripada tiga kerusi naib itu, maka pancangnya di Kedah bertambah kukuh. Maka yang lebih padan menghadapi batang hidungnya ialah seorang pimpinan nasional PAS juga.

Ketika PRK Sungai Limau nanti Mahfz masih Naib Presiden PAS lagi. Ini boleh memberi potensi mudah bagi Mahfuz untuk menguasai  DUN itu.

Mengirim dia ke situ bukan untuk mengambil kerusi yang mungkin boleh disandang oleh pimpinan tempatan yang berpontesi. Mahfuz sudah ada kerusi Parlimen yang lebih berdaulat daripada Adun, tetapi penampilannya bukan untuk menambah kerusi YBnya, tetapi PAS perlukan persediaan dan kekuatan paling maksima menentang Mukhriz yang  juga beraura nasional.

Mahfuz pernah ada pengalaman yang berguna menghadapi bapa Mukhriz di Parlimen, maka kini dia perlu menggunakan pengalaman menangani anak bapa itu di DUN Kedah.

Dia bukan orang asing bagi kawasan sekitar Sungai Limau dan Yan. Sebelum menjadi MP Pokok Sena dan sebelum menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah, dia sudah biasa dengan kawasan itu dan dikenali oleh semua orang di situ. Mahfuz adalah orang yang boleh dilihat di mana-mana bukan sekadar di Kedah bahkan di Kuala Lumpur dan di luar Kedah.

Jika kita selalu tengok dia di Kuala Lumpur seolah-olah dia tidak pernah balik ke Kedah.  Bila kita tengok dia di Kedah, maka seolah-olah dia tidak pernah tinggalkan Kedah.

Untuk lima tahun ini perlu Mahfuz itu dimanfaatkan di Kedah dan dia mesti dimanfaatkan semaksima mungkin.

Atas hisab dan congak politik itu boleh  Mahfuz dicalonkan bagi menggantikan Ustaz Azizan di Sungai Limau. – 18 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments