Opinion

Soi Lek tak perlu berundur

8 JAN — Tidak perlu Dr Chua Soi Lek berundur dari pimpinan MCA sama ada DAP dapat menjadi Menteri Besar Johor atau tidak.

Katakanlah DAP dapat  jadi Menteri Besar Johor, apa Soi Lek dapat jika dia mengosongkan jawatan Presiden MCA?

Adakah Soi Lek mahu masuk DAP kerana partinya sudah tidak disokong lagi oleh masyarakat Cina?

Mengikut bacaan politik saya, DAP sekarang tidak bercakap untuk menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar di mana-mana. Ia tahu ia tidak mungkin dalam jangka yang terdekat ini dapat membenuk kerajaan bersendirian selain dari Pulau Pinang tanpa bersekutu dalam Pakatan Rakyat. PAS pun demikian tidak mungkin berkuasa di Putrajaya tanpa bergabung dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Tekad bersama DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat ialah untuk ke Putrajaya, bukan untuk keuntungan parti masing-masing tetapi adalah untuk menggantikan kerajaan BN yang dilihat amat uzur dan bagi membentuk kerajaan yang bersih, tidak rasuah dan berkebajikan.

DAP sudah belajar dari kesilapan Lee Kuan Yew semasa menjadi warga Malaysia bercakap tentang Perdana Menteri bukan Melayu selepas 20 tahun pembentukan Malaysia. Gara-gara suara itu Singapura dikeluarkan dari Malaysia.

Dan DAP telah menunjukkan politik yang dewasa apabila ia memperoleh kerusi yang banyak di Perak, ia memberikan jawatan  Menteri Besar kepada parti lain. Keadaan itu diterima oleh semua sebagai politik yang rasional.

Maka contoh di Perak itu mencerminkan politik DAP secara umum di negara ini sekarang.

Apa yang Soi Lek perlu buat sekarang bukan mencabar DAP untuk menjadi Menteri Besar di sana sini, tetapi bekerja bagi menyakinkan masyarakat Cina khususnya ia adalah anti-rasuah dan anti-perkauman. Ia mesti menunjukkan ia bukan parti para tawkeh serta bukan parti yang hendak mengkkayakan pemimpin-pemimpinnya.

Tidak perlu Soi Lek meletak jawatan dan meninggalkan parti atas isu Menteri Besar itu. Tetapi Soi Lek sebenarnya wajar meletakkan jawatan jika mendapati DAP menawan kerusi. Jangan jadi macam Dr Koh Tsu Koon apabila partinya Gerakan kalah semua kerusi di Pulau Pinang, ia kekal menjadi Presiden parti yang tidak disokong rakyat itu.

Dengan Tsu Koon kekal sebagai Presiden Gerakan, tiada jaminan ia boleh menebus kekalahannya tahun 2008. Sepatah kata Soi Lek, “DAP hanya kukuh di Pulau Pinang.” Ini bererti Gerakan dan MCA sudah serendar di Pulau Pinang.

Contohilah Ong Ka Ting. Apabila sebahagian besar dari calon MCA kalah dalam PRU 2008, dia meletakkan jawatan. Ong Ka Ting tidak tunggu DAP jadi Menteri Besar di Perak, Selangor dan lain-lain atau tidak.

Soi Lek kena buktikan kemenangan MCA bukan kerana sokongan pengundi Melayu dari Umno, tetapi dengan pengundi Cina saja MCA boleh menang. DAP telah membuktikan bahawa ia menang di semua kerusi yang dimenanginya tanpa sokongan undi Melayu.

Kalau Soi Lek hendak meletak jawatan ialah kerana partinya tidak lagi disokong oleh pengundi Cina, bukan kerana DAP tidak dapat jadi Menteri Besar di Johor. Soi Lek dilihat bercakap macam orang merepek.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments