Opinion

Selamat bertugas saudaraku YAB Azmin Ali

Selepas lebih tiga bulan bertikai tentang penggantian Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri  besar (MB) Selangor, akhirnya Azmin Ali, calon ketiga PKR untuk jawatan itu diperkenan istana.

Calon asal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pelantikan Azmin itu dipercayai mengakhiri perebutan kerusi panas ketua kerajaan negeri Selangor itu dan sebagai menteri besar, Azmin memikul amanah besar bagi memulihkan kecelaruan politik negeri Selangor, perpaduan Pakatan Rakyat (PR) dan keyakinan rakyat seluruhnya terhadap kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

MB baru itu tentunya ada senarai tentang kekurangan MB yang digantikannya, tetapi padangan umum terbanyak mengira Khalid adalah MB terbaik daripada 14 semuanya. Sebagai ketua kerajaan Selangor sebagai kerajaan termaju dan paling hadapan daripada semua negeri, kiranya ada kajian dan tinjauan,mungkin dikira MB terbaik di kalangan semua.

Apakah pandangan itu tepat atau tidak, tetapi itulah persepsi umum hingga hampir menjadikan Khalid sebagai legenda baru buat semua yang tidak disedari.

Maka Azmin datang menggantikan MB yang dikatakan demikian. Tentulah ia satu cabaran baginya bagi menyambung pentadbiran yang boleh dikira bertaraf lima bintang. Besarlah amanah yang terpaksa digalas Azmin bagi mengimbangi apa yang orang rasakan itu.

Azmin sebagai orang sekian lama memantau pentadbiran dan pimpinan Khalid sudah lama bersedia membuat apa yang lebih baik  atau paling tidak ialah tidak kurang daripada pencapaian orang digantikannya.

Orang di luar yang belum tahu keupayaan Azmin tentu mengira Azmin berdepan dengan cabaran yang sukar.

Dalam suasana demikian, kita semua mengucapkan syabas dan selamat bertugas kepada MB baharu itu yang tentunya bersedia dengan pelan pembaharuannya.

Pemilihannya sebagai menteri besar di negeri yang utama itu memperkuat kedudukan politik Azmin sebagai pelapis utama Anwar yang daripada segi usia masuk ke peringkat warga emas.

Azmin menjadi hulubalang Anwar sejak menjadi beliau timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, jatuh bangun bersamanya, tidak segera berada dalam barisan depan ketika partinya ditubuhkan, tetapi naik dari setapak ke setapak untuk menjadi timbalam presiden PKR. Dia dikira orang berotak dan tahu apa yang dibuatnya.

Jika dulu orang tidak nampak siapa akan menggantikan Anwar jika sesuatu berlaku, maka dengan kedudukan baru  Azmin  sekarang, maka dialah orangnya bersedia memikul tanggungjawab pimpinan PKR masa akan datang.

Sebagai pemimpin sebenar PKR selepas Anwar, maka dialah antara tokoh yang akan ke depan dalam muafakat PR. Sebagaimana Lim Guan Eng terlindung justeru ada bapanya Lim Kit Siang dalam DAP, maka Azmin juga terlindung dengan pimpinan Anwar.

Dengan jawatan barunya sebagai MB Selangor, maka Azmin membuka tirai sebagai calon utama dan yang ada setakat ini bagi mengambil tempat Anwar. Dan prestasi kerjanya sebagai MB menyamai Khalid, maka ia adalah pengesahan ganti Anwar akan selesai.

Apakah Azmin daripada segi ketokohan dan kepintaran dapat menyamai Anwar tidak berbangkit, tetapi daripada segi kedudukan Azmin sudah berada di tangganya. Apakah dia akan menjadi jurucakap PR pada masa depan bergantung kepada keupayaannya mengembalikan PR sebagai tenaga yang  padat.

Sebagai MB mampukah Azmin mengembalikan PR yang mulai dilihat rapuh jadi padat semula? Siapa yang dapat memadatkan PR, dialah yang dapat menghadapi Khairy Jamaludin daripada pimpinan Barisan Nasional. – 8 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments