Opinion

Sebelum ini didera ibu bapa, kini mereka didera mahkamah Sweden

Mahkamah Sweden berpuas hati akan kesalahan sepasang suami isteri, pegawai pelancongan Malaysia merotan anaknya, lalu menjatuhkan hukuman penjara beberapa bulan ke atas mereka.

Hukuman itu mengakhiri siasatan reman beberapa minggu.

Pasangan itu dikenakan tindakan demikian kerana merotan anaknya tidak sembahyang.

Merotan sedemikian adalah satu kesalahan mendera kanak-kanak di bawah undang-undang Sweden.

Kementerian luar Malaysia melakukan pelbagai tindakan diplomatik untuk membebaskan mereka, tetapi mahkamah Sweden adalah kebal daripada campur tangan diplomatik.

Tindakan mahkamah itu adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada dizalimi, termasuk daripada kezaliman ibu bapa sendiri.

Ada alasan keadilan atas tindakan itu, tidak kira apa sebab ibu tadi merotan anaknya. Dengan ketegasan undang-undang itu, terjamin perlindungan ke atas kanak-kanak.

Mungkin ia satu undang-undang yang boleh dipelajari oleh semua.

Mahkamah tadi mengira ia menjalankan keadilan bagi melindungi anak yang didera oleh ibunya itu.

Ibu dan bapa kanak-kanak itu mendera anak mereka, maka mereka dihukum penjara mandatori.

Dengan hukuman itu, anak-anak mereka terpisah dengan ibu bapa mereka sejak ibu bapa itu ditahan hinggalah tamat tempoh penjaranya nanti.

Tidakkah memisahkan kanak-kanak daripada ibu bapa mereka satu deraan pula kepada kanak-kanak itu? Saya tidak cukup maklumat apakah anak yang didera ibunya itu salah seorang saja atau keempat-empat anak-anaknya?

Jika anak yang didera ibu atau bapanya itu seorang saja, bukan sekadar seorang sahaja yang didera mahkamah Sweden, bahkan sekalian anak-anaknya didera pula oleh mahkamah.

Jika anak didera, deraan itu hari dan masa dia dirotan. Anak itu tidak cedera, tetapi terseksa semasa dipukul. Berapa lamakah sakitnya? Adakah sampai satu hari atau beberapa hari? Jika sampai lebam, kesannya buat beberapa hari, tapi sakitnya mungkin tidak sampai selama lebamnya. Kita akui anak itu didera.

Tetapi dera bagi sekalian anak-anaknya gara-gara terpisah dengan ibu bapa berbulan-bulan sekali tidak terasa kesakitan, adalah lebih menderita daripada dera yang anak itu alami daripada rotan ibunya.

Sekalian anak-anaknya tidak pernah tinggal dengan orang lain. Sekalipun ketika pasangan itu dipenjara, kanak-kanak itu kini tidak dijaga oleh ibu bapa mereka sendiri di Malaysia, tetapi mereka dipercayai tidak pernah berpisah dengan ibu bapanya selama bapanya berkhidmat di luar negeri – di Afrika Selatan dan di Sweden.

Kanak-kanak itu tiada pengalaman tinggal dengan orang lain sekalipun saudara mara sendiri.

Justeru mereka sepanjang masa di luar negeri, maka sekali sekala saja berjumpa saudara mara. Dalam keadaan demikian, saudara mara pun macam orang asing juga.

Adakah mahkamah dan keadilan undang-undang Sweden puas hati dengan deraan psikologi ke atas setiap anak-anak itu? Undang-undang adalah satu perkara, tetapi hukuman yang mendera pula anak-anaknya adalah menzalimi juga.

Islam ada hak merotan anak tidak solat pada usia 10 tahun. Jika lebih daripada sepuluh tahun mungkin lebih perlu dirotan.

Ibubapa itu menunaikan urusan agamanya. Rotan demikian bukan demi menyeksa tetapi ia adalah sebahagian daripada kaedah mendidik anak.

Dera yang terjadi belum menyebabkan anak itu mati atau cedera. Rotan sedemikian adalah demi kasih ibu bapa terhadap anak bagi memastikan tidak biadab kepada ibu bapa dan masyarakat bila mereka besar.

Didikan sedemikian menyebabkan bilangan anak Malaysia meninggalkan ibu bapa apabila besar, amat kecil dibandingkan dengan negara barat termasuk Sweden.

Kesalahan zina adalah dosa besar dalam Islam. Seorang wanita yang mengadu kepada baginda dia berzina, ditangguh baginda hukuman sebat atau rejam justeru biar kandungannya lahir dulu dan kemudian biar anaknya berhenti menyusu.

Sebabnya pelaksanaan undang-undang jangan sampai mendera si anak.

Keadilan dalam Islam bukan menghukum sahaja, tetapi termasuk tidak menzalimi yang tidak bersalah.

Bagi keadilan Sweden, anak tadi dua kali didera. Pertama didera ibunya. Kedua didera mahkamah. – 11 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments