Opinion

Salahkah ajak Ahmad Said masuk PAS?

Jika semasa Datuk Seri Ahmad Said hilang pertimbangan selepas dilucutkan jawatan Menteri Besar Terengganu lalu dia keluar daripada Umno, tidak pelik dan tidak salah kalau ada orang PAS menyerunya menyertai parti itu.

Ketika dia keluar Umno, tidak siapa tahu dia hilang pertimbangan atau tidak. Tiada yang tahu berapa hari dia hendak berada di luar Umno.

Apabila dia keluar daripada Umno, dia memilih menjadi Adun Bebas.

Jika ada orang PAS yang mengenalinya mengajaknya masuk PAS, maka ia adalah satu seruan yang baik bagi menyelamatkannya supaya dia tidak terkontang-kanting menjadi orang Bebas yang tidak tahu hendak ke mana.

Dan mengajaknya masuk PAS adalah pilihan yang lebih baik daripada menjadi orang Bebas.

PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam dan ia adalah tempat politik yang terbaik bagi orang Islam.

Setiap masa kerja PAS ialah mengajak orang masuk PAS. Kalau sekarang ia mengajak orang bukan Islam menyertai PAS, maka apa salahnya kalau Ahmad Said masuk PAS.

Jika masuk PAS itu untuk membantu PAS menegakkan kalimah Allah, maka dia dapat pahala.

Tetapi kalau kerana marahkan Umno, entahlah. Tetapi setelah masuk PAS bolehlah dibetulkan nawaitunya.

Mengajak Ahmad Said dan mana-mana orang Umno untuk masuk PAS kira-kira sama seperti Rasulullah menyeru semua orang Mekah dan Madinah masuk Islam.

Setiap ahli kitab dan penyembah berhala seperti Abu Jahal dan Abu Sofian diseru masuk Islam.

Abu Jahal tidak menerimanya, tetapi Abu Sofian dan isterinya Hindun yang amat membenci baginda masuk Islam.

Dalam kempen PAS hendak menggantikan Umno, tentulah yang hendak mengisi PAS orang Umno.

Kalau orang Umno tidak keluar Umno dan masuk PAS, tidak dapatlah dijayakan kempen PAS mengganti Umno itu.

Maka membuka pintu PAS kepada Ahmad Said adalah patut dan wajar.

Jika boleh, semasa Dato Onn Jaafar keluar Umno dahulu, kiranya PAS ada pada masa itu, patut diajak dia masuk PAS.

Semasa Mahathir dipecat daripada Umno dahulu, ada yang mempelawa dia masuk PAS.

Tidak malu PAS jika dia menolak. Tengku Razaleigh sebelum membentuk Parti Melayu S46 diajak masuk PAS.

Dia tidak mahu kerana dia percaya penyokong tidak akan ikut. Bukan memalukan PAS jika dia tidak mahu.

Mengajak Najib, Muhyiddin Yasin dan Ahmad Said masuk PAS adalah kerja yang mulia, tetapi menjanjikan Najib akan dikekalkan jadi perdana menteri dan Ahmad Said balik jadi Menteri Besar Terengganu, ia tidak boleh dibuat oleh sesiapa.

Masuk PAS dahulu, lepas itu tunjukkan diri betul-betul jadi orang PAS dan buktikan apa yang Umno itu tidak betul, maka ketika itu baru boleh difikirkan apa status masing-masing.

Mereka mesti tunjukkan jadi Saidina Umar al-Khattab dulu. Walaupun Saidina Umar semasa jahiliyah pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup, tetapi setelah menyertai Islam berkata Rasulullah, jika selepas baginda ada lagi nabi, maka orang itu adalah Umar.

Pada masa Najib dan Umno menghina Ahmad Said, maka memang patut PAS meredakan duka nestapanya.

Jika dia tidak lagi laku dalam Umno, dia boleh dimuliakan dalam PAS.

Orang hendak lemas seperti itu wajar diselamatkan. Adakah dia hendak berterima kasih pada PAS, ia adalah masalahnya. Tapi dia wajar diselamatkan dan dimuliakan.

PAS punyai beratus ribu ahli . Mungkin pemimpin tidak ajak lagi dia masuk PAS.

Mungkin dalam ramai-ramai itu berkata kepadanya, tempat yang baik dan selamat untuknya ialah dalam PAS.

Tidak hina dan tidak malu PAS berkata begitu. PAS tidak kecewa jika dia balik ke dalam Umno.

Sudah ramai Cina dan India yang tidak Islam masuk PAS sekarang. Dan ramai lagi akan masuk. – 25 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments