Opinion

Perkim perlukan Dolah Badawi untuk memimpinnya

Perkim dilihat berperanan dan diberi perhatian oleh masyarakat apabila ia dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra.

Sebelumnya ketika ia dipimpin oleh Tan Sri Mobin Sheperd dan Hakim Tan Sri Abdul Aziz Zain ia dilihat sebagai NGO biasa, tapi apabila bekas perdana menteri menjadi ketuanya dilihat penonjolan Perkim sebagai badan kebajikan Islam dan dakwah begitu ketara.

Apa yang ada sekarang adalah hasil dan landasan yang letakkan oleh Tunku.

Selepas itu apabila pimpinannya diambil oleh Ketua Menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud tiada nampak yang baru pada Perkim hingga Perkim berasa ia perlu dipimpin oleh bekas perdana menteri juga.

Maka Dr Mahathir diterima menjadi pengganti Taib. Pemilihan Dr Mahathir justeru dia saja yang memungkinkan Taib melepaskan jawatan. Tiada orang lain disegani Taib untuk menggantikannya. Percubaan Perkim itu berjaya. Harapan Perkim ialah dapat seorang pemimpin seperti Tunku.

Tetapi ini belum nampak penampilan seperti peranan Tunku dulu. Perjalanan Perkim seperti biasa macam berketuakan Taib Mahmud juga. Selain Tunku berjaya menarik sebahagian orang bukan Islam menerima Islam, Tunku dapat mengajak sekurang-kurang dua tokoh politik MCA, Tun Omar Ong Yoke Lin dan Tahir T.H.Tan menghabiskan baki hidup dalam kerja-kerja kebajikan Islam.

Malah sebelum Tunku memimpin Perkim, Tunku didampingi oleh seorang saudara baru VIP Lim Yew Hock, bekas ketua menteri Singapura yang terakhir. Tidak dipastikan apakah melalui dakwah Tunku tokoh politik Singapura sebelum Lee Kuan Yew menjadi Islam, tetapi ternyata kawan baik Tunku itu menjadi pegawai penting Sekrateriat Negara-Negara Islam di Jeddah semasa Tunku menjadi Setiausaha Agungnya.

Sebagai Yang Dipertua Perkim, Tunku selalu dilihat hadir dalam acara pengislaman saudara-saudara baru.

Tetapi tidak banyak publisiti tentang peranan Dr Mahathir sebagai pemimpin Perkim. Tidak dinafikan bahawa Dr Mahathir adalah seorang cergas dalam kerja-kerja masyarakat, tetapi peranannya sebagai pemimpin Perkim tidak menonjol seperti semasa Tunku dulu.

Tidak dipastikan apakah Perkim dapat apa yang dihajatnya apabila Taib dapat digantikan?

Malah penampilan dan kecenderungan Dr Mahathir dalam kerja sukarela dan NGO Islam sejak awal tidak begitu ketara. Baik semasa sebelum menjadi pemimpin Umno dan semasa menjadi pemimpin Umno, bekas perdana menteri tidak dilihat sebagai orang berpendirian Islam tegas al-Marhum Tun Syed Nasir Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim misalnya.

Malah worldview Islamnya dilihat longgar dan mengikut bahawa orang sekarang ia agak liberal. Kepimpinannya dalam isu Islam lebih disenangi oleh golongan liberalisma daripada golongan dakwah.

Tidaklah dia boleh disama atau disekalikan dengan fahaman itu, tetapi golongan itu mendapat untung dari pendiriannya.

Agak ganjil juga dengan iman yang demikian dia memimpin Perkim sebagai sebuah badan kebajikan Islam penting bukan dakwah. Dia lebih tepat jadi orang yang dekat dengan Perkasa dan NGO yang membela Melayu dan Bumiputera.

Jika Perkim perlukan seorang pemimpin yang pernah menjadi perdana menteri, mungkin penampilan Tun Abdullah Badawi lebih sesuai. Mungkin dinamik bekerja ada pada Dr Mahathir. Tetapi imej untuk kerja sukarela Islam, Tun Abdullah lebih tepat. Apakah Pak Lah boleh jadi pemimpin lebih baik bagi Perkim berbanding Dr Mahathir perlu ditelilti dan dinilai lagi. – 16 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments