Opinion

Pelajar Pasti terus terpinggir daripada bajet

Seramai 3,334 kanak-kanak saja yang belajar di taska yang ibu bapanya berpendapatan tidak lebih daripada RM900 sebulan, bertuah mendapat nikmat daripada Bajet 2014.

Mereka beroleh RM250 sebulan dan taska  itu berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Untuk itu Bajet menyediakan RM15 juta.

Syabas bagi kerajaan yang peka atas kebajikan anak-anak orang golongan berpendapatan kecil itu.

Tetapi seramai itu sajakah ibu bapa miskin yang menghantar anak ke kelas pra sekolah swasta?

Tentu lebih ramai yang mendapat nikmat itu kerana sekolahnya tidak didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antaranya Pasti yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS yang di Kedah pengarahnya adalah calon PAS PRK Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat.

Pasti banyak ditubuhkan di luar bandar , di mana kebanyakan ibu bapa terdiri daripada golongan miskin dan ia pula bukanlah badan mencari keuntungan bahkan keutamaannya adalah memberi khidmat kebajikan kepada masyarakat.

Telah terbukti Pasti adalah antara kelas pra sekolah yang terbaik dan ia telah berjaya memenuhi tuntutan masyarakat sejak sekian lama. Ketika Bajet memberi perhatian kepada anak-anak miskin taska, Bajet terlepas pandang terhadap kanak-kanak Pasti yang juga mempunyai  ibu bapa berpendapatan kecil.

Dijangka ibu bapa kanak-kanak Pasti yang daif adalah lebih ramai daripada ibu bapa kanak-kanak taska yang bernasib baik itu.

Adakah terlepas pandang itu disebabkan dasar diskriminasi kerajaan terhadap institusi agama yang dianjurkan oleh PAS atau disebabkan oleh kelalaian lain?

Jika dikaji terhadap diskriminasi kerajaan BN terhadap sekolah agama rakyat termasuk sekolah pondok, mungkin Pasti termasuk dalam kezaliman itu.

Dasar penjajah dulu memang meminggirkan sekolah agama rakyat. Ia disambung Kementerian Pelajaran selepas merdeka. Kerajaan menyediakan peruntukan per kepala kepada setiap murid. Peruntukan itu dibayar mengikut tempat murid berkenaan belajar.  Jika murid itu ke sekolah Cina dan Tamil, peruntukan itu dikeluarkan.

Namun, peruntukan itu sifar bagi murid-murid ke sekolah agama rakyat dan sekolah pondok, padahal sistem sekolah pondok dan sekolah agama rakyat adalah asas persekolahan di negara ini. Lama sebelum penjajah datang sekolah pondok  sudah ada. Sistem ini bukan  saja menjadikan rakyat celik Islam bahkan ia memulakan celik membaca dan menulis.

Dasar tidak adil kerajaan itu disegarkan semula pentadbiran Dr Mahathir menjelang persaraannya memerintahkan supaya dihentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat.

Adakah terlepas pandang Bajet tentang Pasti  itu lanjutan daripada dasar pro penjajah dan pro  sekular kerajaan?

Taska rata-rata mengajar mengenal huruf – membaca, menulis dan menyanyi. Belum tentu mengenal Jawi dan asas didikan awal yang diperlukan oleh Islam. Bagaimanapun, murid Pasti lebih mahir doa sebelum makan daripada setengah ibu dan bapa mereka. Sebelum masuk ke sekolah rendah mereka sudah tahu mengambil wuduk dan mula berlatih solat.

Setengah orang Umno yang kampungnya ada Pasti, sudah tentu memilih Pasti berbanding tadika biasa.

Jika alam pendidikan kita diterajui oleh TPM Muhyiddin Yassin peka akan tanggungjawabnya kepada pendidikan untuk semua, maka ia mesti melihat secara menyeluruh. Tunjukkan dakwaan sayangnya kepada penyokong PAS dengan melihat semua institusi pendidikan termasuk Pasti.

Jangan tunggu Pasti membuat tuntutan atau meminta bantuan, tetapi beliau mesti  mencari apa yang Pasti ajar. Maka cari juga ibu bapa pelajar Pasti yang pendapatannya kurang daripada RM900 sebulan. Masukkan itu dalam Bajet tambahan nanti. – 3 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments