Opinion

Menziarahi kembali peranan Asmuni Awi dalam Muktamar PAS

Justeru mahukan ketelusan dan demi menegakkan poliltik yang bermaruah, maka Asmuni Awi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS dan sekalian anggotanya mengemukakan peletakan jawatan disebabkan oleh kesilapan teknik dalam senarai kertas undi bagi Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat.

Kesilapan itu disedari setelah pengundian berjalan setengah jam dalam Muktamar PAS ke-59 baru-baru ini.

Dia segera bertindak menangguhkan pengundian bahagian itu lalu mengemukakan peletakan jawatan serentak jawatankuasa itu.

Niat dan tindakannya mulia tetapi tiada setiap tindakan yang mulia itu betul. Pimpinan sementara parti itu menolak peletakan jawatan itu dan mengarahkan mereka meneruskan amanah yang diberikan.

Ada tiga pilihan yang pimpinan sementara boleh buat. Menolak atau menerima serta merta atau menangguhkan dulu peletakan jawatan itu. Pilihan yang dibuat ialah menolaknya.

Menerima peletakan itu serta merta adalah tidak betul kerana siapa pula hendak meneruskan yang belum selesai itu?

Kesilapan yang berlaku itu boleh dibetulkan segera tetapi tiada siapa dapat membetulkan jika Asmuni dan jawatankkuasanya melepaskan tanggungjawab itu. Tetapi kalau sekadar pengerusinya meletakkan jawatan, maka ia boleh ditimbangkan kerana jawatankuasa yang ada boleh meneruskan tugasnya.

Asmuni boleh membuat pilihan demikian dulu dan menasihatkan supaya diangkat penolongnya menjadi ketua baru, tetapi anggota jawatankuasa yang lain akan rasa bersalah kerana kesilapan itu tidak semestinya kesilapan Asmuni seorang.

Tetapi ia adalah lebih baik daripada semua jentera meletak jawatan, kerana ia akan menangguhkan terus kerja yang belum selesai itu.

Apa pun tindakan awal Asmuni itu tidak betul. Jika tugas itu diibaratkan seperti catering di majlis kenduri. Ketika semua tetamu menghadapi hidangan tiba-tiba didapati nasi tidak ditanak. Ia adalah kesilapan besar yang memalukan tuan rumah.

Beras memang sudah disediakan dan semua kemudahan dan peralatan ada. Kerana menerima kesalahan itu caterer dan semua tukang masak termasuk pelayan memulangkan semua kepada tuan rumah termasuk tanggungjawab kewangan demi menjaga maruahnya sebagai penyedia makanan.

Tetapi siapa hendak menyelesaikan semua kerja yang tinggal. Boleh tetamu meratah apa yang ada. Kerja mengemas khemah dan membasuh pinggan siapa hendak buat?

Jika Asmuni mengira ketelusan dan maruah politik perlu dijaga, langkah terbaik kiranya dia hendak menebus kesilapan itu ialah dengan menyelesaikan dulu masalah itu seperti tindakan yang diambilnya, dan kemudian bolehlah minta maaf dan meletakkan jawatan.

Waktu peletakan dibuat boleh didulukan, tetapi kuatkuasanya bermula sebaik selesai keputusan pemilihan. Bolehlah pengumumannya dibuat oleh pengerusi muktamar.

Apakah PAS akan terima itu adalah masalah PAS. Apakah pasukan itu dibubar sebagai muktamar berakhir, atau badan yang sama dengan mengekalkan Asmuni akan digunakan lagi untuk pemilihan kemudian ia adalah hal lain.

Apa pun muktamar menilai pengalaman Asmuni dan krunya, menerima permohonan maafnya kerana pengalaman amat penting. Kesilapan adalah satu pelajaran yang berguna bagi kesempurnaan dan kecekapan pentadbiran masa depan.

Asmuni membuat kerja yang mulia atas nama ketelusan dan maruah politik parti, cuma kesilapannya ia mengemukakan peletakan jawatan sebelum kerjanya diselesaikan.

Dia akan dilihat lebih mulia kiranya tindakan menerima tanggungjawab atas kesilapan dibuat selepas hidangan disiapkan. – 5 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments