Opinion

Guru-guru dan politik: Muhyiddin menanam tebu di bibir

Jawapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran di Parlimen tentang tiada tindakan politik kepada para guru dan mereka bebas menyokong mana-mana parti, adalah satu kenyataan umum yang menyatakan kebenaran.

Lebih sedap lagi dalam kenyataan itu, betapa keyakinan bahawa pegawai awam tidak diragukan tentang kesetiaan mereka terhadap kerajaan kira-kira sama seperti sistem yang ditinggalkan oleh British, iaitu kerajaan boleh bertukar, tetapi pegawai kerajaan kekal.

Tiada sebarang cacat cela kenyataan Muhyiddin, tetapi apakah ia satu polisi baru kerajaan yang dianggotainya atau itulah dasarnya jika dia ditakdirkan sempat menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri?

Apa pun, teori kebenaran itu sentiasa betul tetapi amalannya jarang sama, seperti kata orang di pasar, "kata tidak serupa bikin".

British sendiri terkenal dengan sistem pentadbirannya yang dinamik. Ia menamakan pegawai kanan kerajaan sebagai Setiausaha Tetap Kementerian.

Parti mana juga yang berkuasa dan menjadi perdana menteri, pegawai awam adalah tetap.

Kerajaan tidak melarang mana-mana pegawai menyokong mana-mana parti.

Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, kerajaan penjajah Inggeris menukar guru-guru Umno  ke ceruk jauh yang bas pun tiada. Pegawai kanan yang menyokong kemerdekaan disekat kenaikan pangkatnya.

Dan sesudah merdeka, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra membentangkan rang ISA di Parlimen dan menyatakan undang-undang itu hanya digunakan terhadap komunis dan subversif. Tiada digunakan kepada yang lain.

Undang-undang itu elok bunyinya. Apabila dilaksanakan, ia menangkap tanpa bicara orang-orang yang berbeza pandangan dengan kerajaan.

Apabila Tunku sudah tidak berkuasa, beliau bangkitkan kenyataannya dahulu, iaitu ISA tidak disasarkan kepada yang lain selain dari komunis.

Jawab KPN Tun Hanif Omar, kenyataan Tunku tidak termasuk dalam akta, tetapi ia hanya ada dalam Hansard Parlimen.

Maka polisi tidak sama dengan amalan.

Sejak Umno menjadi tulang belakang kerajaan sejak merdeka, sepanjang masa guru yang tidak menyokong kerajaan dan parti yang berkuasa ada sahaja yang tertindas.

Adalah ajaib kiranya ada guru besar terpilih sedang dia diketahui penyokong pembangkang. Jadi guru penolong yang kanan pun mereka tidak akan dapat merasa.

Apakah yang Muhyiddin katakan itu satu perkembangan dalam apa yang dikatakan transformasi kerajaan dalam semua bidang, atau itu sekadar sedap cakap bagai menanam tebu dibibir?

Bertambah manis cakapnya ialah betapa pegawai awam sentiasa setia kepada kerajaan. Ia sepatutnya begitu.

Tetapi apakah yang dimaksudkan kepada semua kerajaan atau kerajaan pusat saja?

Tidak dipersoalkan kesetiaan itu kepada kerajaan pusat. Tetapi bagaimana dengan kesetiaan pegawai awam itu kepada kerajaan negeri yang bukan Barisan Nasional?

Jika apa yang Muhyiddin katakan bebas daripada unsur talam dua muka atau kalimah tepatnya, munafik, maka apa perlunya diwujudkan pegawai persekutuan di negeri yang ditadbir oleh pembangkang?

Kesetiaan pegawai persekutuan itu kepada perdana menteri dan bukan kepada menteri besar atau ketua menteri kerajaan pembangkang.

Dalam pemberian wang ihsan yang sepatutnya masuk ke dalam akaun kerajaan negeri, ia disalurkan melalui pejabat pegawai kerajaan pusat.

Betapa hudud tidak dapat dikuatkuasakan di Kelantan dan Terengganu apabila enakmennya diluluskan ialah larangan kepada polis dan pegawai penjara memberi kesetiaan kepada kerajaan negeri.

Jika Muhyiddin tidak bercakap propaganda, dia perlu memansuhkan jabatan pusat yang ada di Kelantan dan memastikan pegawai pusat di negeri pembangkang tidak menjadi duri dalam daging kepada kerajaan negeri. – 20 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments