Opinion

Dr Mahathir langgar pantang?

Pada hari bangsa Afrika Selatan mengadakan acara mamorial terhadap kematian Nelson Mandela di Stadium FNB di Soweto, Johannesburg, beratus pemimpin dunia hadir. Amerika tidak sekadar mendatangkan Presiden Barack Obama dan isteri, hampir semua mantan presiden yang masih hidup seperti Jimmy Carter, Bill Clinton dan George W. Bush, hadir.

Demikian juga Britain, di samping Perdana Menteri David Camaron, mantan PM John Major dan Tony Blair pun ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri tidak mengunjungi orang agung dunia itu mati.

Dr Mahathir antara pemimpin yang awal menemui Mandela sebaik saja dibebaskan dari tahanan 27 tahun, tahun 1990 dulu. Saya tidak mengharapkan dia pergi kerana dia baru menjalani pantang doktor setelah keluar dari IJN.

Dia baru mengumumkan perletakan jawatan sebagai penasihat Petronas justeru mendengar nasihat doktor supaya mengurangkan kegiatan. Termasuk tidak banyak keluar negara. Dia baru keluar IJN semasa Mandela mati, maka saya rasa tidak mungkin dia pergi.

Jika kedudukan di Petronas pun dia berundur, tidak berbangkit dia menggagah ke Afrika Selantan. Maka ketiadaannya pun tidak mengapa.

Saya takwil Malaysia menghantar menteri rendah saja, Tengku Adnan dan Maximus Ongkili, bagi penghormatan mendiang Mandela.

Tiba-tiba diumumkan Dr Mahathir yang menjalani pantang itu diutus bersama isterinya mewakili Najib pada penghormatan mendiang di Pretoria pula. Dia tidak ada di acara besar di stadium Soweto tetapi di acara lain sebelum pengkebumian.

Baguslah dia pergi kerana dia jauh lebih elok dari menteri biasa, malah Dr Mahathir mungkin lebih dikenali oleh kerabat Mandela dan pemimpin kerajaan dibandingkan dengan Najib sendiri.

Akan tetapi menakjubkan juga. Dia baru menjalankan pantang mengurangkan kegiatan termasuk berjalan jauh keluarga negara.

Pengalaman saya dua kali ke Johannesburg, penerbangan tak henti-henti 10 jam. Yang sihat pun penat. Tiada dapat saya bayangkan bagi orang yang baru menjalani nasihat pantang doktor. Gempar meletak jawatan dari Petronas belum reda, digagahnya pula meninggal rumah merentas Lautan Hindi yang penerbangannya ke sana paling kurang 10 jam.

Reaksi Najib atas pelaksanaan pantangnya, tidak perlulah dia bersara dari Petronas. Ia tidak perlu buat kerja di pejabat khas di Petronas seperti penjawat lain. Ia boleh buat sambil di bilik tidur dan di dapur kediamannya.

Bagaimanapun, Najib menghormati keputusannya kalau hendak berhenti juga. Ia mengingatkan saya kepada reaksi Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra terhadap perletakan jawatan Tun Dr Ismail dari kabinet.

Komen Tunku, abang Dr Ismail, Datuk Sulaiman Abdul Rahman, bekas menteri perumahan, meninggal semasa berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia. Maka Tunku terharu kalau ada lagi adik beradiknya mati kerana berkhidmat dengan kerajaan.

Dr Ismail meletakkan jawatan juga kerana kesihatan. Bila Tunku tidak berkhidmat lagi selepas 13 Mei 1969, Dr Ismail kembali ke kabinet jadi Timbalan Perdana Menteri. Dia memangku jawatan Perdana Menteri semasa Tun Razak keluar negara. Dia meninggal mengejut. Macam betul apa yang Tunku gurau dulu.

Tidak diketahui apakah Dr Mahathir ke Pretoria itu atas kehendaknya sendiri atau Najib minta untuk mewakilinya mengunjung mendiang sebelum dikebumikan? Tetapi Najib tahu bahawa Dr Mahathir baru menjalani pantang.

Adakah Najib mengirim Dr Mahathir untuk menguji pantang Dr Mahahtir? Kalau dia boleh melanggar pantang berjalan jauh keluar negara, maka dia juga boleh langgar pantang untuk terus jadi penasihat Petronas.

Betulkah keluar dari Petronas kerana menghormati nasihat doktor? Kata Mukhriz, ayahnya berhenti kerana tak mahu makan gaji buta tapi tak buat kerja. - 27 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments