Opinion

Bila sang profesor lebih sudu daripada senduk

Seolah-olah yang berlawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) di Kajang sekarang bukan Umno dan bukan MCA, bahkan sekalian sang-sang profesor.

Segala yang berlaku di Kajang itu, daripada perletakan jawatam Adun PKR Lee Chin Cheh dan hingga pencalonan Anwar Ibrahim adalah persoalan politik. Sepatutnya orang-orang politiklah yang ke depan menanganinya.

Apa yang dibuat oleh Anwar dan partinya adalah ditujukan khusus kepada Umno dan komponen Barisan Nasional (BN), maka Umno dan BN yang patut dahulu dan ke depan untuk menghadapi sepak terjangnya.

Sejak mula yang ke depan menghadapi Anwar ialah sekalian sang profesor. Umno dan BN termasuk MCA seolah-olah jadi pihak kedua atau ketiga, seperti pembantu kepada Umno dan BN.

Jika lazimnya NGO-NGO menjadi pembantu penting kepada Umno, di Kajang nampaknya Umno mendapat bantuan sang-sang profesor.

Baik profesor penuh dan yang belum jadi profesor penuh, baik yang berada di Lembah Klang seperti di Universiti Putra dan yang di sempadan Siam di kampus UUM berdahulu-dahuluan  hendak menghukum Adun yang meletak jawatan dengan denda yang berpuluh dan ratusan ribu.

Boleh bangkrap mantan Adun itu dan habis harta benda jika sabda si profesor itu dijadikan undang-undang. Denda jenayah merompak dan peras ugut pun beberapa ribu saja, apa yang dikatakan kesalahan politik yang dibenarkan oleh amalan demokrasi seolah lebih teruk daripada jenayah kelas tinggi.

Si profesor-profesor itu mengira tidak layak Anwar sebagai perdana menteri menunggu hendak mencemar wibawanya bertanding DUN dan di Kajang pula, bukan negeri kelahirannya.

Sekalian guru di universiti itulah yang mengatakan Anwar akan sukar berurusan dengan istana dan bukanlah senang Raja hendak menerimanya. Mereka kata Anwar hendak membuang Menteri Besar Khalid Ibrahim sedang hamba Allah itu adalah menteri besar  yang terbaik.

Pada hal sebelumnya pada mereka ketua pentadbir Selangor itu bukan elok sangat jika dibanding dengan menteri besar lain yang terdahulu. Cuma mereka tidak kata dia hampas saja. Tiba-tiba seolah-olah sayangnya mereka pada menteri besar itu Tuhan saja yang tahu.

Bila kita baca komen mereka  setiap hari di akhbar, seolah-olah Anwar macam budak tidak pernah sekolah dan tidak ada nilai politik langsung.

Baik profesor Melayu dan profesor India sama sahaja. Cuma profesor Cina tidak berapa buka mulut.

Pada hal Anwar bertanding di tempat yang sebelum tahun 2000 adalah diwakili oleh MCA. Patutnya profesor Cina yang cauvenis apabila kawassan MCA hendak ditandingi Melayu? Sebaliknya guru Melayu universiti pula yang sibuk kata Anwar tidak patut bertanding tempat Cina.

Bukanlah sang profesor tidak boleh bagi pandangan. Anwar itu bukanlah maksum. Ada juga kekurangannya. Bolehlah dia dikomen. Tetapi biarlah Umno yang ke depan. Profesor boleh tampil memberi pencerahan tentang gambaran politik.

Apa eloknya ada PRK dan apa tidak eloknya, dan apa yang Anwar boleh buat dan apa yang tidak dapat buat. Apa untung dan apa ruginya orang Kajang kalau “berAdunkan” Anwar atau bertukar Adun kepada BN semula atau Adun bebas pula.

Jangan orang kata sang profesor sekalian lebih sudu daripada senduk. Mereka bukan guru Kemas tetapi mereka adalah mahaguru. Yang bertanding di Kajang bukan mereka tetapi orang politik.

Mereka boleh beri pencerahan politik di Kajang itu kepada penuntut mereka, bukan hendak mengajar orang tentang Anwar dan partinya bagi pihak Umno. – 26 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments