Opinion

Apa pilihan lain selesai isu Syria?

Apa sudahnya dengan krisis – perang saudara – Syria yang sudah melewati dua tahun dengan mengorbankan ribuan nyawa, puluh ribu cedera, jutaan rakyat menjadi pelarian di negara jiran? Gara-gara huru-hara itu seluruh rakyat menderita.

Berbagai-bagai usaha damai diikhtiarkan, namun tidak nampak ia dapat diredakan. Turki yang rapat dengan Presiden Basher Assad sebelum kebangkitan rakyat habis ikhtiar memujuk diktator Syria itu supaya berundur kerana tiada cara bagi menyelesaikan huru-hara itu selain daripada Basher berundur.

Akhirnya Turki terpaksa bersama dunia menentang Basher kerana selagi Basher di situ, bukan saja perang berterusan, bahkan Turki tidak berkesudahan menanggung beban pengungsi dari Syria yang berjuta di wilayahnya.

PBB penat. Ia menghantar dua pendamai diplomat yang berpengalaman bermula dengan Kofi Annan, masing-masing balik dengan tangan kosong.

Usaha terakhir sekarang ialah resolusi Barrak Obama mahu serangan dilancarkan terhadap kedudukan Basher. Obama muncul sebagai pahlawan anti perang Amerika di Iraq dan Afghanistan. Pada masa dia hampir mengosongkan tenteranya di Iraq dan Afghanistan, dia pula mahu menyerang Syria yang dijangka mengulang tragedi di Iraq dan Afghanistan.

Rata-rata dunia termasuk rakyat Amerika sendiri tidak merestui penglibatan tentera Amerika di Syria. Obama seolah-olah keseorangan sekarang.

Sebagaimana semua mengutuk campur tangan Amerika di Mesir dan di mana saja di dunia selama ini, maka sentimen sama tentang resolusi Obama itu. Turki yang menentang Amerika masuk Iraq, Afghanistan serta campur tangannya mengguling Mursi adalah bersama Amerika dalam menghadapi isu Syria.

Kita di Malaysia sejak pergolakan Syria bermula lebih ramai yang tidak memihak kepada regimnya. Tiada pelajar Malaysia di Syria menyokong Basher. Semuanya mengira Basher kejam.

Kejamnya sama seperti bedebah Hosni Mubarak. Bezanya Mubarak menjadi boneka Amerika dan Israel. Basher seteru utama Israel dan Amerika.

Sasaran utama Mubarak selain rakyatnya ialah pejuang Ikhwanul Muslimin. Sasaran keluarga Basher ialah majoriti rakyat yang terdiri daripada Islam Sunni. Regim Basher sejak Parti Baath pimpinan bapanya berkuasa disokong oleh manoriti Alawiyah-Syiah yang 20 peratus saja dari rakyat Syria.

Golongan Alawiyah inilah yang menguasai semua kedudukan penting pemerintahan baik awam mahupun tentera. Rata-rata Sunni sebagai gorka saja.

Rata-rata anti Amerika dan Israel bersama regim Syria kerana ia anti tegar Israel dan Amerika, tetapi layanannya terhadap rakyat Sunni tidak banyak beza Israel dan Amerika terhadap Islam.

Apabila rakyat Syria mula bangun, sebelum Amerika menunjukkan sikap bersungguhnya, majoriti umat Islam dunia mengharapkan perubahan di Syria. Sekalipun Turki baik dengan Basher tetapi rakyat Turki adalah bersama majoriti rakyat Syria yang tertindas.

Apabila Obama mengugut untuk menyerang kedudukan Basher dunia tidak sekata, bahkan orang Malaysia juga tidak suka campur tangan Amerika itu seperti tidak setuju campur  tangan Amerika di mana-mana.

Puncak pada krisis itu ialah penggunaan senjata kimia. Tiada yang lebih kejam selian dari menghujankan bumi dengan senjata kimia. Pandangan umum dunia penggunaan senjata beracun itu adalah angkara tentera Basher. Turki sendiri bimbang orang gila yang berkrisis itu akan menggugurkan kimia itu ke buminya.

Rakyat Syria yang menderita mengharapkan pembelaan supaya perang itu dihentikan. Tiada yang dapat membantu rayuan rakyat Syria itu.

Kita simpati kepada rakyat yang sengsara itu, kita tolak campur tangan asing seperti yang  dihendaki Amerika. Tetapi tiada cara perang itu dapat diselesaikan. Sekalian yang sengsara mahu kes mereka diselesaikan. Resolusi yang ada sekarang hanya cadangan Obama. Kita tolak hasrat Obama tetapi tidak tahu bila perang akan selesai.

Kita tentang campur tangan asing untuk menghapuskan Ghadafi, tetapi tiada cara lain hal Libya dapat diselesaikan selagi Ghadafi ada. Rakyat Syria melihat Libya mula ada penyelesaian atas campur tangan asing bagi mengakhiri zaman kejam Ghadafi.

Apa pilihan rakyat Syria untuk selesai selain dari resolusi Obama? Kita simpati atas nasib rakyat Syria tetapi yang sengsara itu lebih merasa peritnya. – 13 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments