Opinion

Undi bukan lagi berdasarkan kaum

Sudah ramai yang sedar jumlah penduduk Melayu di bandar, seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Baru semakin ramai.

Malah ia sudah mengimbangi jumlah kaum bukan Melayu. Sebab itu tidak lojik menyamakan demografi pengundi pada tahun 1969, semasa peristiwa 13 Mei, 1969 berlaku, dengan suasana di bandar yang wujud sekarang.

Oleh itu, isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak boleh dikaitkan dengan premis peristiwa hitam itu, kerana waktu itu, jumlah pengundi bukan Melayu di bandar memang ramai berbanding jumlah pengundi Melayu.

Tetapi situasi ini sangat berbeza dengan suasana sekarang.

Dalam hal ini, masyarakat sivil, khususnya generasi baru hari ini yang menentang perkauman, sudah melupakan peristiwa 13 Mei. Ini menyebabkan sejarah peristiwa 13 Mei itu hanya menjadi bahan akademik.

Peristiwa hitam itu hanya sering disebut Umno untuk menakut-nakutkan, sedangkan masyarakat umum sudah melupakannya.

Masyarakat sivil dan generasi baru yang semakin ramai di bandar mahukan pilihan raya – sama ada parlimen, negeri atau PBT – diadakan secara telus dan adil.

Rakyat akan memilih calonnya yang terbaik, peduli rakyat, amanah,  jauh daripada rasuah dan penyelewengan, tanpa mengira calon itu datang daripada kaum mana pun.

Inilah asas yang diperlukan masyarakat madani.
Oleh demikian, kebimbangan kepada penguasaan undi bukan Melayu di bandar sudah tidak lagi mempunyai asas.

Menurut satu kajian, jumlah pengundi luar bandar akan jauh merosot pada tahun-tahun akan datang, di mana mungkin susut hingga tinggal 25% saja daripada jumlah keseluruhan peratusan pengundi di Malaysia hingga PRU akan datang.

Ini kerana jumlah pengundi di luar bandar banyak berpindah ke bandar besar dan kecil, mengikut anak, meninggal dunia dan beberapa sebab lagi.

Dengan itu, jumlah pengundi Melayu seperti di Lembah Klang, sekitar bandar di Johor, Pulau Pinang (terutama di tanah besarnya), di Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan lain-lain akan terus bertambah.

Urbanisasi ini juga selari dengan penghijrahan ramai penduduk desa, khasnya anak muda Melayu ke bandar perindustrian baru seperti Pasir Gudang, Kulim, Seberang Prai dan Shah Alam.

Ada kajian mengatakan sekitar 10 juta penduduk Malaysia pada tahun 1970, kurang 30% tinggal di bandar manakala selebihnya tinggal di kampung.

Tetapi pada 2010, lebih 70% penduduk Malaysia, terutamanya Melayu. ialah warga kota.

Di samping hasil migrasi penduduk kampung ke bandar kecil dan besar, juga menyebabkan lonjakan urbanisasi negara ini kerana pendefinisian semula konsep bandar dalam Banci Penduduk 1991.

Semua proses ini, iaitu perindustrian dan pembandaran menyumbang kepada pembentukan dan perkembangan kelas sosial moden, khususnya kelas menengah dan kelas pekerja di bandar, menurut kajian itu lagi.

Malah menurut kajian tersebut, semakan terhadap komposisi etnik bagi Wilayah Kuala Lumpur pada tahun 2010 menunjukkan bilangan orang Melayu mengatasi lain-lain etnik.

Bagaimanapun, masih ramai orang Melayu yang tinggal di bandar besar menjadi pengundi berdaftar di kampung halaman mereka.

Adapun peristiwa 13 Mei 1969 itu disebabkan krisis perkauman, tetapi juga disebabkan infiltrasi komunis juga didakwa membawa kepada tragedi tersebut. Namun kini, komunis bukan lagi ancaman dalam negara.

Kini suasana dan keadaan demografi politik jauh berbeza di mana masyarakat sivil dan golongan generasi muda menentang sebarang bentuk perkauman. Maka kegagalan orang politik memahaminya sesuatu yang sangat malang.

Dengan adanya kecanggihan teknologi maklumat melalui Internet, semua kejadian yang berlaku dapat diketahui dengan pantas dan hampir serta-merta.

Pada masa yang sama, secara umumnya masyarakat Malaysia lebih kritikal terhadap media massa tradisional dan mula menyemak setiap fakta yang mereka peroleh.

Generasi muda dan masyarakat sivil di bandar, menurut sebuah pendapat,  tidak mempunyai hubungan memori dan emosi dengan Peristiwa 13 Mei.

Malah, ramai di kalangan generasi muda kini sangat kritikal dengan peristiwa tersebut. Hingga filem berkenaan Tun Abdul Razak Hussein yang sebahagian latarnya peristiwa 13 Mei dikritik dan dipandang sinis.

Ertinya, propaganda 13 Mei tidak lagi laku kepada generasi muda.

Perlu diperhatikan perubahan demografi Malaysia bukan saja menyebabkan komposisi etnik di bandar utama negara berubah, malah lebih penting lagi perubahan ini datang bersama perubahan cara berfikir serta harapan sosial dan politik.

Sikap ini ditunjukkan dengan jelas dalam 2  pilihan raya umum terakhir yang memperlihatkan ada kesediaan masyarakat Malaysia untuk mengundi merentasi garis etnik. 

Selain itu, banyak kampung di pinggir bandar sudah menjadi bandar baru. Ertinya kampung sudah dibandarkan dengan segala sistem nilainya. Maka elemen perkauman semakin merosot.

Masyarakat sivil dan generasi muda kini berfikiran sangat kritikal disebabkan pelbagai pendedahan.

Sebab itu mereka tidak ada masalah jika diadakan apa jua pilihan raya. Yang mereka perlukan ialah wakil rakyat yang benar-benar peduli rakyat. 

Mereka mengundi bukan lagi berdasarkan kaum dan agama, tetapi atas keperluan memilih wakil rakyat yang benar-benar berwibawa. Ini kerana masyarakat sivil dan generasi baru menentang rasuah, penyelewengan dan mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar adil.

Dari itu, pemimpin politik terimalah hakikat ini dan perlulah memahami sistem nilai dan cita-rasa mereka ini yang kini menjadi pengundi majoriti. – 3 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments