Opinion

Tolong Melayu dalam batas keadilan

Penentangan terhadap pemikiran perkauman (assobiyah) sudah dilakukan oleh PAS sejak lebih tiga dekad lalu. Iaitu apabila presiden PAS waktu itu, Almarhum Tuan Guru Yusof Raya menyampaikan ucapan dasarnya bertemakan “Menggempur pemikiran assobiyah (perkauman)” di muktamar PAS 30 tahun lalu di Alor Star.

Hari ini, lebih 30 tahun kemudian, semarak perkauman terus diteriakkan dengan nyaringnya oleh pihak tertentu yang didudukung  oleh parti politik yang berdasarkan kaum. Walaupun suasana dan keadaan berlainan tetapi api perkauman itu sama warna dan panasnya. Malah golongan rasis ini kelihatan lebih ganas dan berani.

Sepatutnya, PAS yang kini sudah berumur 63 tahun, konsisten meneruskan perjuangan menentang kezaliman seperti apa yang dilakukannya  sejak 33 tahun lalu.

Lebih-lebih lagi PAS yang berada dalam Pakatan Rakyat berada di tengah isu perkauman yang menggelegak itu. Bagaimanapun saya yakin, PAS akan tetus menentang perkauman dalam apa bentukpun.

Saya mengingat kembali beberapa pesanan penting Almarhum Yusof Rawa ketika menyampaikan ucapan dasarnya itu.

Katanya, kecenderungan menolong orang Melayu dari kalangan pemimpin bangsa Melayu, tidak sehausnya melampaui batas kebenaran dan keadilan. Kecenderungan itu, kata Almarhum, tidak seharusnya dilayani sehingga membenarkan kezaliman, pembaziran, perlindungan ke atas kemungkaran, termasuk rasuah.

“Begitu juga pembaziran, kezaliman, rasuah dan penyelewengan tidak seharunya dibiarkan menjadi rintangan dalam usaha untuk memperbaikit kehidupan orang Melayu,” kata Yusof.

Kecenderungan untuk menolong orang Melayu, katanya, hendaklah sentiasa dilakukan dalam batas-batas keadilan. Sekiranya kecenderungan itu terkeluar dari batas keadilan, ia akan membentuk assobiyah (perkauman) yang dilarang oleh Islam.

Almarhum menyebut hadis Nabi: “Bukanlah daripada golonganku (umatku) mereka yang menyeru kepada assobiyah dan bukan daripada golonganku mereka yang mati dalam assobiyah.”

Menurut Almarhum lagi, usaha membantu orang Melayu gagal disebabkan rasuah dan penindasan, maka rasuah dan penindasan mestilah dihancurkan. Ini, katanya, kerana sistem assobiyah yang zalim itu menjadi punca kemunduran dan penderitaan seluruh rakyat.

Pemahaman nasionalisme assobiyah di negara kita, kata Almarhum, adalah warisan pemikiran penjajah yang dicorakkan mengikut acuan nasionalisme Barat dan sikap permusuhan terhadap Islam.

Menurut Yusof lagi, perjuangan parti-parti assobiyah masa ini tidak akan dapat mewujudkan pemikiran baru di kalangan rakyat Malaysia yang bebas dari pertentangan dan kekeliruan.

Inilah pemikiran pemimpin utama PAS yang saya ingat kembali ketika api perkauman ditiupkan hingga kini, bahkan semakin kencang dan menakutkan.

Saya yakin, masih ramai pendukung PAS terus mengingat pesan Almarhum ini dan juga pemimpin sesudahnya, justeru untuk puluhan tahun, pemimpin PAS sentiasa mengenengahkan isu menentang perkauman ini, baik dalam ceramah, seminar, kempen pilihan raya dan sebagainya.

Hari ini dalam kecamuk udara perkauman yang tidak reda-redanya dihembuskan, maka kita gembira ada di kalangan golongan ternama rakyat Malaysia dengan penuh sedar muncul dengan beraninya menentang perkauman.

Mereka mengeluarkan kenyataan yang menentang gejala perkauman dan pelampau agama yang bertindak atas nama Islam, tetapi sebenarnya, tanpa disedari, mereka mencederakan imej Islam itu sendiri.

Di tengah suasana yang sedemikian rupa, saya kira, kemunculah 25 individu warganegara terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan perlu diberi perhatian dan sewajarnya disokong penuh. Hingga kini sokongan terhadap mereka terus bertambah.

Inilah suara golongan sederhana – silent majority – yang sebenarnya mewakili rakyat Malaysia. Mereka tampil – standing ovation – berdiri gagah, dialu-alukan oleh majoriti rakyat, yang telah lama merindukan keharmunian kaum dan agama di negara ini.

Kemunculan mereka ini memberi harapan baik, suatu pencerahan kepada minda Melayu, menolong menyelamatkan negara dari pemikiran a la-Taliban yang mencetuskan permusuhan yang tidak habis-habisnya di benua kecil India sejak lama.

Yang menariknya, pihak yang segera mengalu-alulam kemunculan Melayu sederhana ini ialah anak dari Yusof sendiri, iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi Gerakan Anti Perkauman (GAP), yang meminta masyarakat memberi perhatian kepada kenyataan golongan sederhana ini.

Baginya, arus bawah kenyataan ini menghantar isyarat masalah yang ditimbulkan tidak ditangani dengan tuntas oleh kerajaan hari ini.

Katanya, konflik perundangan Islam dan sivil perlu digarap melalui rangka perundangan dan pentadbiran negara dalam konteks siyasah syari’yah yang luas disiplinnya.  

Menurut beliau, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, proses demokrasi negara ini tidak terletak kepada isu perundangan dan pentadbiran Islam yang berpotensi terdedah kepada kritikan awam. Dalam proses itu ia perlu dipertahankan dalam keadaan supaya wujud ketelusan dan keterbukaan.

Kata Dr Mujahid lagi, mengkritik dan memberi pandangan isu pentadbiran perundangan Islam bukan bererti mempertikaikan Islam dan kesucian teologinya. 

"Dalam aspek syariat ada yang kekal tidak boleh dipertikaikan dan ada yang tidak kekal di mana boleh berubah-ubah. Kedua-duanya perlu ditentukan oleh pakar di bidang syariat Islam dan pentadbiran perundangan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Baginya, saranan dalam surat terbuka 25 individu itu perlu diambil kira dalam semangat positif dan jangan dijadikan isu untuk ditunggangi oleh agenda rasis kaum dan prejudis agama sehingga menafikan aspek Islah atau reform dalam melihat masalah konflik perundangan Islam dan sivil yang wujud.

Pengerusi GAP itu berkata, pihaknya bersikap terbuka untuk melihat masalah yang diajukan selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Syariah dan terbina atas Maqasid Syari’yah. 
Pihaknya juga mencadangkan diwujudkan Suruhanjaya Reformasi Perundangan yang melibatkan semua pihak dalam mencari penyelesaian yang objektif dan berkekalan.

Demikianlah harapan semua pihak yang merindukan keharmunian kaum. – 23 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments