Opinion

Sudah bertemu, sepakat belum lagi

Ketegangan dalam Pakatan Rakyat (PR) kelihatannya reda sedikit,  sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Tetapi apa yang berlaku kemudian tiada siapa yang tahu.

Rakyat menanti dengan sabar agar perpaduan PR akan pulih kembali.

Majlis Pimpinan PR bermesyuarat pada Ahad lalu di mana lebih 20 pimpinan tertingginya hadir.

Pertemuan itu belum membuat sebarang kata sepakat dalam perkara berkaitan pelaksanaan hudud dan pilihan raya tempatan, dua isu besar yang masih belum disepakati. Namun perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat itu.

Namun mesyuarat tersebut bersetuju semua keputusan oleh pimpinan PR berteraskan muafakat bersama atas saling menghormati, keputusan begini menjadi asas keutuhan pakatan selama ini. Malah PR juga akan meraikan perbezaan pendapat.

Mesyuarat bersetuju mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merancang penyelesaian untuk isu Enakmen Syariah dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir dalam sidang media itu tetapi turut serta dalam mesyuarat itu.

Ada lagi perkara penting yang diputuskan bersama bagi memperbaharui dukungan penyokong PR, iaitu bersetuju supaya Konvensyen PR dianjurkan pada 10 Mei 2015.

Dengan perkembangan baru ini menimbulkan sedikit kelegaan kepada penyokong PR, di mana sejak tujuh bulan lalu rakyat yang menyokongnya sangat runsing, marah dan kecewa dengan krisis yang berpanjangan.

Kejayaan besar PR dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu ialah dapat menghilang majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN), dengan mendapat 52% undi popular.

Penyokong bimbang jika PR berpecah terus, ia hanya menimpakan kekalahan teruk kepada pakatan. Maka untuk memang kembali akan memakan masa puluhan tahun.

Di sini saya memetik pandangan mantan Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang, yang berkata sebagai pemimpin PR, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka, dalam suasana politik semasa, untuk mengukuhkan PR.

Ini, katanya, disebabkan usaha membebaskan rakyat dari penindasan dan ketidakadilan Umno/BN akan hanya mampu dilaksanakan melalui PR buat masa ini kerana ia adalah entiti gabungan politik yang mampu mencabar Umno/BN.

“Kekuatan Pakatan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak dan ia diakui Umno/BN sendiri. Maka membawa perubahan pemerintahan bukan sekadar harapan dan kehendak rakyat tetapi ia keperluan rakyat yang amat mendesak,” katanya.

Beliau menyeru semua pimpinan PR supaya menumpukan usaha mengukuhkan Pakatan di mana melalui usaha itu saja ia boleh menjadi pembela nasib rakyat.

Sebagai tokoh veteran PAS, beliau berasa amat pelik sekiranya ada yang menganggap PR tidak menguntungkan PAS dan perjuangan politik Islam. Sebaliknya beliau merasakan demi menyemarakkan kefahaman politik Islam di kalangan umat Islam, maka PAS akan menjadi pihak yang paling beruntung dengan kekalahan Umno/BN.

Beliau menyeru pimpinan PR, PAS khususnya, supaya mengutamakan penyelesaian masalah rakyat dengan menggandakan usaha mengukuhkan PR. Rakyat bakal ditimpa kos kehidupan yang semakin mencengkam dengan perlaksanaan GST. Mereka, katanya, akan terus kehilangan berbilion ringgit melalui dasar-dasar kronisme dan rasuah amalan BN sehingga menggagalkan rancangan ekonomi yang sepatutnya memecut pantas.

Ini adalah suara veteran PAS yang sangat peduli dengan perjuangan PAS melalui PR. Ia suara seorang ulama yang memandang jauh ke depan dan tidak jumud.

Dalam perkembangan lain, yang ada hubungannya dengan persoalan ini, iaitu pada Ahad yang sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan dakwaan konon wujud konspirasi dalaman PAS untuk menjatuhkan Hadi.

Beliau menegaskan pihaknya enggan melayan sebarang gerakan dalaman yang cuba memecahbelahkan kepimpinan PAS.

"Tidak ada (konspirasi), saya tidak pakai semuanya itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung parti itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ketua Pemuda PAS Kuantan, Noorzazilafadli Ibrahim dan kumpulannya yang  mendakwa konon ada usaha untuk menguasai PAS pusat dan menjatuhkan presiden PAS itu.

Kumpulannya itu mengadakan ‘himpunan’ di depan Pejabat Agung, Jalan Raja Laut, dengan menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Agung.

Namun kumpulan tersebut dianggap oleh pemerhati sebagai golongan kecil, iaitu golongan terpencil.

Krisis dalaman PAS selama ini memunculkan golongan yang melemparkan pelbagai tuduhan kepada pihak tertentu yang dimusuhinya. Mereka bertindak konon atas nama ‘mempertahanan kepimpinan ulama’, lalu mengenengahkan isu wala’ (kesetiaan) dan tidak wala’ di kalangan sesama ahli PAS.

Isu ini jika dibiarkan dikhuatiri akan menyebabkan berlaku perpecahan sesama ahli dan sangat merugikan parti.

Ia tercetus hanya kerana berbeza pendapat di kalangan pendukung PAS.

Maka itu, saya kira, jika pimpinan PAS hendak memperkukuh parti, mereka perlu segera menyelesaikan isu ini dengan mengakhirinya segera.

Dalam masa yang sama, PAS juga perlu segera meruntuhkan tembok perselisihan antara golongan agama dengan profesional. Masing-masing  memberikan sumbangan besar kepada parti.

Ingatlah akan kata-kata Almarhum, bekas Presiden PAS, Ustaz Fadhil Mohd Noor, PAS mahu melahirkan ulama profesional dan professional ulama.

Kesimpulannya, dengan kukuh dan padunya PAS, ia tentu akan menyumbang kepada perpaduan PR itu sendiri. Dengan kukuhnya PR, ia akan memberikan harapan kepada rakyat akan masa depan mereka yang lebih baik jika memenangi PRU akan datang.

Mari kita memastikan PAS mengatur langkah maju ke depan, bukan undur ke belakang. – 10 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments