Opinion

Suara kemanusiaan penyair Siti Zainon

Menikmati dan menekuni sebuah puisi, bermakna menyelami hati nurani seorang insan seni yang melihat kehidupan ini bukan semata-mata dari fakta fizik, lingkaran nasib miskin kaya dan segalanya, tetapi juga ia melihat bagaimana kemanusiaan itu menjadi tunggak sesebuah kehidupan.

Jika tonggak kemanusiaan itu runtuh atau dimusnahkan, maka kehidupan ini tidak mempunyai erti sama sekali betapa pun seseorang itu ditimbuni kekayaan dan luas kuasanya.

Inilah yang dipancarkan dalam puisi Usman Awang, Datuk A Samad Said,, Rabindranath Tagore, Albert Camus dan lain-lain serta penyair Nusantara yang lain W S Rendara, Taufiq Ismail, Dinsman dan ramai lagi.

Kerana itu ketika saya menekuni puisi Prof Siti Zainon Ismail – Jambatan Kota Ini – yang dipostingkan dalam ‘Madrasah Seni’ Seniman Paksi Rakyat, saya melihat elemen kemanusiaan ini begitu tinggi, terpancar dalam puisinya yang indah dan merdu ini.

Puisi Jambatan Kota Ini, memaparkan rintihan penyair itu apabila menyaksikan hilangnya kampung halamannya dengan segala sejarahnya – di tengah Ibu Kota, iaitu Kampung Chubadak, Kampung Bandar Dalam, Gombak dan kawasan sekitarnya.

Saya dapat memahami bagaimana kekecewaan sasterawan seperti Siti Zainon ini apabila menyaksikan kampung halamannya sendiri menjadi demikian rupa akibat rempuhan rancangan pemodenan bandar yang seperti tidak terkawal.

Kemusnahan ini bersama hilangnya segala nilai budaya tradisi yang dibina berabad lamanya oleh generasi lama atas asas kemanusiaan, persaudaraan Islam dan kasih sayang.

Demikianlah tangisan hati nurani penyair Siti Zainon seperti yang digambarkan dalam puisinya itu apabila berdepan dengan situasi seperti ini yang sebelum ini tidak termimpikan olehnya keadaan seumpama ini terjadi.

Bagaimanapun bagi saya, kemusnahan yang juga  parah di masa ini ialah hilangnya nilai kemanusiaan, kebebasan, kasih sayang, keadilan, demokrasi, toleransi kaum dan agama,wacana ilmu dan segala nilai luhur dalam masyarakat selama ini.

Ia digantikan dengan permusuhan dan pertarungan sengit yang dibina kerana dendam politik kuno – antara sesama parti politik, antara sesama tokoh politik dengan tokoh politik yang lain dan antara satu puak dengan puak yang lain.

Akhirnya yang terkorban ialah kemanusiaan, yang tewas musnah, yang menang juga sengsara.

Dengan krisis ekonomi yang meruncing dan pertarungan politik yang tajam di tanah air kita sekarang, maka kemanusiaan mengakhiri hayatnya. Inilah kerugian yang jauh lebih besar dideritai oleh rakyat,

Maka itu, saya kira, penyair ternama seperti Samad dan Siti Zainon sendiri memahami situasi ini.

Oleh itu, Samad kini melangkah jauh ke depan, berada di tengah masyarakat, berembun dan berpanas bersama rakannya seperti penyair/dramatis Dinsman dan lain-lain meneriakkan kebebasan, keadilan, demokrasi dan kemanusiaan di mana saja.

Pada ketika yang sama pula ramai lagi sasterawan entah berada di mana tidak diketahui.

Inilah sebuah gelombang yang akan menentukan sama ada seseorang sasterawan ini bersama rakyat atau menjauhkan diri daripada rakyat.

Berdepan dengan situasi kehilangan kemanusiaan beginilah maka penyair/pelukis Siti Zainon menerusi puisinya, Jambatan Kota Ini itu memaparkan rintihannya pabila menyaksikan “hilangnya” kampung halaman Melayu di Ibu kota dengan sejarahnya sekali.

Kemusnahan ini serentak dengan hilangnya nilai akal budi Melayu itu sendiri di tengah pertarungan politik yang amat sengit.

Tetapi soalnya di sini , siapakah “orang-orang besar” dan pemimpin politik yang masih memikirkan kekecewaan Siti Zainon menerusi puisinya itu, pada ketika tokoh ini sedang bergelut dengan survival politik mereka sendiri.

Maka di sinilah, sasterawan yang sedar seperti Samad, Siti Zainon, Dinsman, walau dalam apa keadaan pun, tetap bersuara dengan beraninya, sama ada didengar atau tidak didengar.

Ini kerana sasterawan adalah jurubicara zaman dan perakam sejarah rakyatnya. Mereka tidak akan membisu kerana itu adalah tugas sasterawan.

Maka itu pandangan mereka, teguran dan kritikan mereka sewajarnya didengar dan diambil peduli oleh masyarakat.

Di sinilah sasterawan mesti berani menegakkan kebenaran kerana ia adalah jurubicara zamannya.

Di sinilah saya teringat akan kata-kata novelis tersohor, Pramoedya Ananta Toer, “Dalam hidup kita ini, Cuma satu yang kita punya, iaitu keberanian. Kalau tidak punya keberanian, lantas apa harga hidup kita ini.”

Oleh itu saya kira, walaupun dengan segala kelembutan dan kemerduan puisinya, Siti Zainon bersuara. Menggambarkan betapa pedih hatinya menyaksikan keindahan dan segala sejarah kampung halamannya hilang begitu saja oleh pembangunan yang sedemikian rupa.

Puisinya ini bukan semata-mata khayalan penyair dengan kata-kata puitisnya, tetapi adalah rintihan kemanusiaan Siti Zainon sendiri.

Walaupun ia hanya sebuah puisi yang mungkin tidak dipandang penting di tengah gegak gempita politik dan para ahli korporat yang bergelut dengan soal untung rugi perniagaan mereka, tetapi suara sang sasterawan penting didengar. Ini kerana suara mereka adalah pancaran sebuah kejujuran.

Merenung semuanya ini, saya masih bersikap positif dan masih menaruh harapan kepada sebuah parti politik baharu – Parti Amanah Negara – jika diluluskan, supaya sama-sama mendukung suara sang penyair yang memperjuangkan kemanusiaan.

Ini kerana parti itu sudah pun berjanji mengambil peduli akan suara rakyat dari mana pun datangnya.

Maka itu, parti baru ini mestilah bersedia mendengar suara para sasterawan kerana mereka adalah jurubicara zaman dan masyarakatnya. Parti politik baru tidak boleh sama sekali terpisah dengan golongan budayawan ini.

Kalau boleh jadikanlah badan penulis seperti Seniman Paksi Rakyat  (Paksi), sebagai rakan seperjuangan untuk membina kembali kemanusiaan yang musnah, serta memulihkan kembali kebebasan bersuara, keadilan dan harga diri yang hilang.

Paksi yang turut didukung oleh Kassim Muhamad, Rozan Azen Mat Aris dan lain-lain berada di tengah perjuangan ini.

Badan inilah yang sentiasa berhubung rapat dengan sasterawan rakyat pada setiap waktu. – 7 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments