Opinion

Rakyat desak selesai segera isu MB Selangor

Sudah lebih enam bulan sejak peristiwa yang dipanggil Kajang Move dicetuskan oleh PKR/DAP bagi menukarkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada orang lain, menyebabkan berlarutannya krisis politik di Selangor, kini belum lagi berakhir.

Rata-rata rakyat, khususnya di Selangor, merasa kecewa, bosan malah meluat dengan krisis berpanjangan ini yang mereka anggap sangat merugikan rakyat.

Malah mereka rasa pemain politik yang mencetuskan krisis ini tidak berlaku adil kepada rakyat Selangor disebabkan masa dan tenaga dihabiskan dengan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.

Sepatutnya, kata mereka, masa dan tenaga dihabiskan untuk membahaskan krisis ini digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

Hingga kini rakyat Selangor tidak jelas apa sebenarnya sebab penting hingga tercetusnya krisis ini, padahal mereka melihat Selangor terus membangun dan lancar serta kerajaannya peduli rakyat.

Ini pendapat umum kebanyakan rakyat Selangor yang mungkin disedari atau tidak disedari pemimpin Pakatan Rakyat.

Oleh itu, kedengaran rakyat bercakap di pasar malam, pasar tani, pasar biasa, restoran, kafe, di pelbagai majlis dan pertemuan di mana saja, merungut dan bertanya sesama sendiri mengapa tercetusnya krisis Selangor ini dan mengharapkan krisis ini diselesaikan segera.

Rakyat berharap pemimpin politik yang terlibat di Selangor ini segera bertolak ansur untuk mengakhiri sengketa ini.  PAS sendiri tidak jemu mengharapkan krisis politik ini diselesaikan segera.

Baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan persetujuannya supaya diadakan pertemuan dan muafakat yang dianjurkan bersama rakan komponen Pakatan Rakyat. Pertemuan ini diharapkannya mampu menyelesaikan masalah dan bukannya muafakat yang tidak membuahkan hasil.

Ini dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang memulakan pertemuan awal dengan rakan Pemuda PKR dan DAP baru-baru ini.

Suhaizan berkata dalam pertemuan Pemuda Pakatan Rakyat bersama Hadi, Presiden PAS itu turut menyatakan persetujuan supaya diadakan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Pakatan bagi menyelesaikan kemelut yang berpunca daripada tindakan mahu mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

"Kita dapat maklum balas dari presiden tentang apa masalah yang dihadapi dan mengapa PAS mengambil tindakan begitu, tetapi kita tidak boleh dedahkan," kata Suhaizan kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata Suhaizan, presiden tiada masalah, asalkan wujud muafakat untuk menyelesaikan masalah ini, jika tidak, tidak guna juga diadakan pertemuan.

Dalam pertemuan dengan pemimpin PAS itu, kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat yang disertai Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda Sosialis Kebangsaan (Dapsy) Teo Kok Seong serta Suhaizan, mereka memberikan penjelasan berhubung situasi yang berlaku.

"Mesej yang kita sampaikan adalah supaya diadakan segera mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat agar masalah ini dapat diselesaikan segera," kata Suhaizan.

Selain Presiden PAS, Pemuda Pakatan Rakyat juga akan bertemu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang bagi menyatakan pendirian mereka yang mahu kemelut menteri besar Selangor dan pertelagahan antara kepimpinan tertinggi parti diselesaikan segera.

"Kita generasi muda mahu lihat masalah ini diselesaikan segera oleh majlis kepimpinan tertinggi Pakatan,” katanya.

Menyedari pentingnya perkara itu, Muktamar Pemuda PAS ke-55 yang akan diadakan di Kota Tinggi, Johor pada Rabu menetapkan tema ‘Memperkukuh Muafakat’, berhubung isu terkini yang melanda parti pembangkang itu, kata Suhaizan.

Tema ini, katanya, diambil berhubung perkembangan terkini, apabila isu berkaitan menteri besar Selangor ini akan menguji kekuatan dalam Pakatan Rakyat dan dalaman PAS sendiri.

Kita rasa, kata Suhaizan, semua parti dalam Pakatan perlu dukungan bersama dari arah muafakat ini.

Muktamar Pemuda kali ini, kata beliau, akan menekan enam agenda utama iaitu: Menjuarai isu rakyat, ‘engagement’, berdepan pengundi Melayu muda, dakwah yang kreatif, tarbiyah dan pengkaderan serta pentadbiran.

Menurut Suhaizan, Pemuda PAS menekankan enam agenda sejak 10 bulan lepas, iaitu apa yang Pemuda PAS sudah laksanakan dan apa yang akan dilaksanakan pada masa depan dengan memberi fokus mahu menggagaskan politik baru anak muda dalam Pakatan Rakyat, iaitu politik budiman.

Sementara itu Muktamar PAS kali ini – baik Ulama, Pemuda dan Musimat – dijangka akan membahaskan krisis politik Selangor dan mendesak supaya ia diakhiri segera.

Dengan jumlah ahli PAS kini mencapai 1.3 juta orang, bermakna desakan ini adalah kehendak pendukung PAS seramai itu, yang dilihat turut bersama rakyat di luar PAS melahirkan desakan tersebut.

Rakyat berharap pemain politik yang mencetuskan krisis ini segera berunding dan bertolak ansur dan tidak berdegil melayan ego masing-masing, penuhilah kehendak rakyat yang mahu segera krisis ini diselesaikan. – 16 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments