Opinion

Mohamad Sabu – Dibenci tetapi dirindu

Mohamad Sabu adalah nama yang mempunyai tempatnya tersendiri dalam arena politik tanah air, boleh berdiri sendiri atas kekuatan namanya.

Beliau terkenal bukan sahaja kerana seorang ahli pidato yang evergreen, tetapi juga kerana kelincahannya, keberaniannya menghadapi pelbagai risiko politik, penghubung partinya dengan orang di luar PAS, terutamanya dalam Pakatan Rakyat.

Beliau orang nombor dua dalam PAS – sebagai Timbalan Presiden – pernah menewaskan Nasarudin Mat Isa dan Dato Nik Amar bin Nik Abdullah dalam pemilihan di Muktamar PAS sebelum ini dan setahun yang lalu, kedua-duanya ulama.

Populariti Mohamad hampir mengatasi orang lain dalam partinya, bahkan namanya sinonim dengan PAS.

Hampir setiap ceramah perdana – bukan sahaja di pentas PAS, bahkan di pentas Pakatan Rakyat – beliau menjadi tarikan utama untuk mengumpul pendengar. Bahkan ramai ahli parti yang berkata, “Kalau mahu mendapatkan dana parti lebih banyak, panggillah Haji Mohamad Sabu berceramah.”

Itulah keistimewaan Mohamad, secara relatif ada yang menyokongnya dan ada yang menentang. Tetapi ini sama sekali tidak mengurangkan popularitinya, malah ia dilihat menjadi aset penting kepada PAS itu sendiri.

Beliau yang bertanding beberapa kali untuk kerusi Parlimen – menang dan kalah – bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pelajaran jurusan pemakanan di ITM. Beliau lahir pada 14 Oktober 1954 di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sebelum menjadi timbalan presiden PAS, beliau pernah menjawat jawatan sebagai naib presiden PAS, naib pemuda PAS Pusat dan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tahun 1975 beliau menyertai ABIM dan tahun 1981, menyertai PAS. Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1982 di DUN Penanti tetapi tewas. Sekali lagi tewas kepada rakan ABIMnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1986.

Apabila berhijrah ke Kelantan, beliau menang dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990 di Parlimen Nilam Puri. Sekali lagi memang di kerusi Parlimen Kubang Kerian dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1995.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999, beliau menang di Parlimen Kuala Kedah, Kedah. Tetapi tewas di Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 kepada calon BN dan tewas lagi dalam PRU yang lalu di Parlimen Pendang, Kedah.

Mohamad adalah salah seorang daripada pemimpin PAS yang dua kali ditahan di bawah akta ISA semasa beliau menjadi aktivis Dewan Pemuda PAS Pusat. Penahanan pertama berlaku pada tahun 1984 sehingga 1986 di atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau.

Selepas menghadapi penderaan siasatan selama 60 hari, beliau dibuang daerah ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan pergerakan terhad selama dua tahun.

Penahanan kali kedua ialah pada tahun 1987 sehingga tahun 1989 bersama ramai anggota pembangkang dari PAS dan DAP di bawah Operasi Lalang.

Beliaulah tokoh politik yang paling banyak turun naik mahkamah – hingga kini – kerana menghadapi pelbagai tuduhan dan paling banyak memimpin pelbagai perhimpunan rakyat.

Itulah Mohamad dengan segala keunikannya. Dibenci musuh politik partinya, bahkan juga oleh sesetengah ahli di dalam partinya sendiri.

Namun begitu, demikian ramai pula yang menyayangi dan menyokongnya, mengingatkan saya akan lagu nyanyian Broery Marantika, ‘Benci Tetapi Rindu’ – ada yang membenci dan ada pula yang merindui dan menyukainya.  Itulah keistimewaan Mohamad.

Sama ada dibenci atau dirindui, tidak mengurangkan kehebatan dan keunikannya sebagai pemimpin politik, bahkan beliau menjadi sebuah fenomena bukan sahaja dalam warga PAS, bahkan di peringkat politik nasional.

Apabila segelintir Pemuda PAS bertindak keluar ketika Mohamad menyampaikan ucapannya merasmikan Muktamar Dewan Pemuda di Kota Tinggi September lalu, kerana tidak menyukai tokoh itu, maka seorang perwakilan dari Kuala Krai, Kelantan, Zulkifli Mohamad bangkit mempertahankan Mohamad di muktamar penuh di Batu Pahat kemudiannya dengan berkata, setiap lapisan kepimpinan seharusnya dihormati ahli PAS, bukan pemimpin tertentu sahaja.

Perwakilan itu berkata, insiden di Muktamar Pemuda itu perlu disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin PAS dan jika didapati salah, tindakan tegas perlu diambil.

"Bukan saya hendak sokong Mohamad Sabu, tetapi hormatlah beliau. Banyak jasanya. Siapa kamu jika hendak dibandingkan dengan Muhamad Sabu?" tanyanya dan menambah, “Tanpa mengira kedudukan, semua kepimpinan PAS seharusnya dihormati.” Ucapan Zulkifli disambut dengan takbir oleh muktamirin.

Dalam sidang media kemudiannya, sebagai ahli politik yang matang dan tidak mudah diprovokasi, Mohamad dengan tenang menganggap tindakan sekumpulan Pemuda itu keluar mungkin untuk menunaikan solat dan kemudiannya akan memasuki kembali dewan persidangan itu.

Jawapan yang memancarkan kebijaksanaannya sebagai ahli politik mengendurkan suasana dan Muktamar Pemuda berjalan lancar. Golongan Pemuda yang keluar Muktamar itu dikiritik hebat oleh pelbagai pihak.

Demikian juga beliau begitu tenang apabila mendengar ucapan berbentuk doa dari wakil Wilayah Persekutuan di muktamar itu, yang menghentam pemimpin yang tidak disukainya.

Dalam ucapan penggulungannya, Mohamad masih tetap tenang, tidak mengulas doa/kritik itu, membuktikan lagi sikap matangnya sebagai tokoh politik veteran. Akhirnya ucapan/doa itu dikecam hebat oleh pelbagai pihak, yang menganggapnya sebagai tidak matang berpolitik.

Ini menunjukkan kebijaksanaan politik Mohamad semakin terserlah di Muktamar tersebut. Kebencian sekelompok pendukung PAS kepadanya, sama sekali tidak merugikannya, bahkan menjadi kelebihan kepadanya.

Daripada sesetengah orang yang mulanya membencinya, akhirnya timbul simpati dan menyukainya. Inilah kejayaan diplomasi dan keterbukaan beliau, yang mungkin tidak ramai ahli politik memilikinya, walaupun beliau memiliki kelemahan dan kekurangan.

Tidak berlebihan untuk saya mengatakan sekali lagi bahawa Mohamad adalah aset penting kepada PAS. Bukan untuk memujinya melulu, tetapi fakta yang ada menunjukkan beliau pemimpin yang unik di dalam PAS dan akan tetap ada orang yang membenci, di samping tetap ada pula yang merinduinya.

Begitulah gelombang emosi manusia, hari ini dia membeci, esok mungkin menyukai pula. – 14 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments