Opinion

Mengenang Presiden Tun Yusuf Ishak

Mungkin tidak ramai rakyat Malaysia, terutama generasi baru, mengenali Tun Yusuf Ishak, presiden Republik Singapura yang pertama.

Beliau berasal dari Padang GajahTrong, Taiping, Perak dikenali sebagai tokoh wartawan dan menjadi pengasas Utusan Melayu di Singapura.

Beliau dilantik menjadi Yang di-Pertuan Negara, (Ketua Negeri Singapura) antara 1963 hingga 1965, semasa Singapura masih sebahagian daripada Malaysia.

Apabila Singapura berpisah daripada Malaysia, Tun Yusuf Ishak terus berkhidmat sebagai presiden Singapura sehingga beliau meninggal dunia pada 23 September 1970 dan dikebumikan di Pusara Aman, Keranji Singapura.

Dalam bulan ini dan bulan depan, Singapura mengingati kelahiran dan kepergian tokoh ternama ini, justeru beliau diahirkan pada 12 Ogos 1910.

Sempena itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan pembinaan masjid baru – dinamakan Masjid Yusuf Ishak – di Woodlands, di samping penubuhan professorship dan Pusat Penyelidikan untuk memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Yusuf Ishak.

Semuanya ini dilakukan, kata Lee, untuk memberi penghormatan dan mengenang jasa presiden Singapura yang pertama itu.

Berucap dalam bahasa Malaysia baku, Lee berkata, Institute of South East Asian Studies (ISEAS) di National University of Singapore (NUS) akan dinamakan Institut Yusof Ishak.

Lee mengumumkan bahawa Yusof Ishak Professorship in Social Sciences akan dimulakan di NUS dan dipimpin oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Muslim, Yaacob Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri Singapura itu, walaupun kini orang Melayu di Singapura mencapai kejayaan besar, tetapi banyak lagi yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah, terutamanya dari segi kesihatan.

Sejarah Tun Yusuf Ishak ini begitu menarik. Ayah beliau adalah keturunan Minangkabau, Sumatera, sementara ibunya berasal dari Langkat, Sumatera juga.

Adiknya, Aziz Ishak adalah juga wartawan yang kemudian menjadi Menteri Pertanian dalam kabinet Tunku Abdul Rahman Putra.

Tun Yusuf Ishak mendapat pendidikan awal di Victoria Bridge School (kini dikenali sebagai Victoria School) dan pendidikan menengahnya di Raffles Institution.

Beliau sangat aktif dalam sukan, terutamanya sukan tinju, di samping memberi perhatian besar kepada kebajikan masyarakat.

Ketika saya bertugas sebagai wartawan di Singapura di tahun 60-an, pernah sekali – bersama wartawan yang lain – diundang bertemu dengan Allahyarham Tun Yusuf Ishak di Istana Negara.

Beliau bertanya saya mengapa mahu menjadi ‘orang surat khabar’ kerana kerjanya sangat mencabar dan tidak terikat kepada waktu. Saya menjawab, “Saya minat kerja sebagai wartawan.”

"Kalau begitu", katanya, “Baguslah!”

Kini setiap kali saya ke Singapura dan lalu berdekatan Istana Negara di Orchard Road, saya sering teringat bagaimana Tun Yusuf Ishak melayan kami, para wartawan, dengan ramah sambil menghisap paipnya.

Bayangkan jauhnya beza dunia dan suasana kewartawanan di tahun 50-an dan 60-an berbanding dengan sekarang di mana alat komunikasi begitu canggih sekali.

Waktu itu hanya ada mesin taip Royal dan Remington, menulis catatan hanya menggunakan buku dengan trengkas (tulisan ringkas), telefon hanya ada di pejabat dan tepi jalan tertentu. Demikian sukarnya perhubungan waktu itu.

Namun di tahun-tahun 40-an, 50-an dan 60-an itulah lahir nama-nama besar di dunia kewartawanan dan mula berkembangnya dunia kesusasteraan moden.

Nama-nama besar itu, antara lain, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad, A Samad Ismail, Zabha, Othman Wok, Baharudin Arif, Cikgu Harun Muhd Amin, Masuri S N, Cikgu Arif Ahmad (MAS), Kris Mas, Asraf, Usman Awang, A Samad Said dan ramai lagi.

Singapura bukan sahaja kota di mana dunia politiknya sangat dinamik, tetapi kota yang melahirkan ramai para tokoh budaya, kemasyarakatan, pendidikan, seni budaya dan lain-lainnya.

Kini Singapura yang menjadi salah sebuah bandaraya termoden di dunia, menyediakan kelajuan Internet yang sama tarafnya dengan negara Barat dan Jepun.

Sementara itu, kota raya itu juga terus berkembang dengan nilai dolarnya yang tinggi. Namun masalahnya tetapi wujud – kebanjiran pekerja asing yang merimaskan penduduk tempatan dan kos hidup yang semakin tinggi.

Namun begitu, bagi orang Melayu, walaupun ia penduduk minoriti, tetapi dengan usaha gigih mereka dan melaksanakan konsep berdikari sepenuhnya, dilihat nyata mereka dapat hidup selesa, malah ada yang menjadi peniaga dan profesional yang berjaya.

Kini rakyat Singapura yang berbilang kaum mengingati ulangtahun kepergian seorang tokoh besar Singapura, Tun Yusuf Ishak.

Ia adalah simbol kejayaan seorang profesional yang berusaha gigih sejak zaman remajanya, akhirnya mencapai kejayaan dan seterusnya memberi sumbangan besar kepada Singapura. – 19 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments